Monday, June 20, 2011

Sofess cetusan cita-cita


Sharifah Nur Fardilah Wan Saufi berasa lega dapat mencapai impiannya membantu pelajar yang kurang berkemampuan dengan adanya www.sofess.com.


Tidak ada masa bagi gadis manis ini untuk merintih dan bermonolog memikirkan mengenai apa yang diidamkan tetapi tidak dapat dicapai.

Dalam usia yang masih muda, pastinya jalan di hadapan bagaikan hamparan luas yang menyediakan ruang kejayaan dengan syarat teguhkan semangat dan menjadikan disiplin kuat sebagai pegangan.

‘‘Aku kena kuat dan dengan pengalaman yang ku lalui, biarlah orang lain tidak melaluinya.”

Demikian antara kata-kata azimat yang sehingga ke hari ini menyentap perasaan Sharifah Nur Fardilah Wan Saufi, 21, anak jati Kuching, Sarawak mengimbau kenangannya ketika masih di bersekolah.

Dia mahukan sesuatu yang dapat memberi jaminan supaya peperiksaan yang bakal ditempuhi menjanjikan kejayaan termasuk perlu ada program sokongan seperti tutorial dan kelas bimbingan.

Bagaimanapun, atas faktor kewangan, Sharifah Nur Fardillah , 21, hanya bersabar. Tetapi tekadnya bulat untuk melakukan sesuatu supaya pelajar sebaya tidak menghadapi masalah seperti yang pernah dilaluinya.

Proses mentelaah pelajaran amat getir jika tidak banyak mendapat sokongan seperti bahan rujukan tambahan. Itu pengalaman yang dilaluinya.

Bukan semua keluarga mampu menghantar anak mereka ke kelas tuisyen dan sebagainya.

‘‘Sebab itu saya melunaskan janji saya pada hari ini untuk mewujudkan tutorial maya menerusi sofess.com,” katanya yang kini masih meneruskan pengajian ekonomi di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Sofess.com membuka ruang pembelajaran secara maya yang memberi peluang pelajar khususnya tingkatan empat dan lima memperoleh sokongan pembelajaran menerusi kemudahan yang ditawarkan secara percuma.

Mereka hanya perlu melayari www.sofess.com. laman web atau portal pendidikan yang diasaskan oleh seorang pelajar yang mempunyai semangat luar biasa .

Semangat tersebut diterjemahkan dengan bantuan Dana Belia 1Malaysia yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pada 21 Januari lalu.

Sharifah Nur Fardilah merupakan seorang daripada enam penerima Dana Belia 1Malaysia yang dianjurkan oleh Yayasan 1Malaysia Development Berhad (Yayasan 1MDB)

Penerima lain termasuk Kevin Zahri Abdul Ghaffar, Koh Kang Boon, Nasrul Amri Samsudin, Site Rohainie Ramli dan Thalayan Elangainathan.

Sejumah RM710,000 telah disalurkan kepada keenam-enam penerima dana terbabit bagi membiayai projek masing-masing.

Mereka dipilih daripada senarai permohonan yang diterima menerusi saringan ketat dan difahamkan hampir 800 permohonan diterima setakat ini.

Sharifah Nur Fardilah menganggap dirinya bertuah kerana diberi peluang untuk membangunkan projek yang dicita-citakannya itu dan wang RM100,000 yang diterima tidak akan dipersiakan.

Pilihannya tepat kerana, di tengah-tengah kegilaan rakyat Malaysia terutama golongan muda kepada Internet, gajet dan ditambah lagi dengan munculnya jaringan sosial, idea tersebut sangat membantu.

Jika anda melayari sofess.com terdapat luahan kata-kata kenapa idea ini menterjemahkan hasrat dan harapannya Sharifah Nur Fardilah iaitu: ‘‘Bagaimana jika ada Wiki jaringan sosial untuk pelajar-pelajar di Malaysia? Tutorial online percuma untuk kertas soalan peperiksaan? Nur Fardilah menyedari hakikat bahawa tidak semua ibubapa mampu menghantar anak-anak mereka ke kelas tuisyen, sama seperti yang dialami Nur Fardilah semasa zaman persekolahannya.

Suatu hari, adiknya bertanyakan tentang ini, membuatkan Nur Fardilah terfikir bahawa pembelajaran online adalah percuma. Seperti Wiki, para pelajar dan guru boleh menyumbangkan kandungan portal, seterusnya membina bank data untuk kegunaan pengguna lain, secara percuma.”

Sofess.com merupakan gabungan maksud hasrat dan harapan yang dibentuk menerusi Social, Family, Educational Search Solutions .

Ia membenarkan pelajar-pelajar, terutamanya pelajar tingkatan empat dan lima, mengakses nota dan bahan-bahan pembelajaran lain secara percuma.

Bahan lain termasuk nota dan seminar web daripada guru serta pelajar cemerlang akan disediakan untuk membantu pelajar-pelajar menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pada masa sama menggunakan platform itu untuk menambah kenalan.

‘‘Saya menjadikan masalah yang saya hadapi sebelum ini sebagai sumber inspirasi mewujudkan sofess.com selepas melihat bagaimana maklumat dapat dikongsi dalam laman Wikipedia.

Dia berkata, setakat ini pengunjung sofess.com telah bertambah, menjadikan dirinya lebih yakin kepada usaha tersebut.

Malah katanya, pelajar, ibu bapa dan guru boleh berhubung antara satu sama untuk saling meluaskan pandangan dan meningkatkan prestasi akademik pelajar.

Log video seminar dan bengkel daripada guru-guru berpengalaman tentang pelbagai topik juga akan dipaparkan pada sofess.com bagi memudahkan pembelajaran pelajar.

Nota dan tip peperiksaan disediakan untuk pe rkongsian melalui ruangan jaringan sosial portal sofess.com.

Dengan itu katanya, moto Your Learning Community telah tercapai kerana ia menjadi platform segenap lapisan umur menjadi pengunjung setia web berkenaan.

Sementara itu, seorang adiknya, Sharifah Nur Farahin memberitahu, dia akan memainkan peranan untuk meningkatkan mutu kandungan web berkenaan .

Malah katanya, paparan antara laman web berkenaan akan dikemaskini dengan memasukkan elemen-elemen yang lebih menarik bagi menjadikannya mesra pengguna.

‘‘Selain kandungan laman web akan terus dipertingkatkan, pengunjung mahukan sesuatu yang cantik dan tidak boring,”katanya yang turut ditemani rakan mereka Nurul Afifah Muhamad.

Sharifah Nur Fardilah turut bersetuju bahawa laman web percuma tidak menjanjikan bahawa pengunjung akan berpusu-pusu tetapi aspek kosmetik perlu ditekankan.

Golongan remaja terutamanya akan mudah tertarik kepada sesuatu yang kreatif dan mempunyai elemen yang cantik dan sesuai dengan jiwa mereka.

Berdasarkan daripada Facebooknya, kewujudan portal berkenaan bukan sahaja menjadi bahan perbincangan, malah ramai yang memujinya terutama dari kalangan remaja.

Antara kandungan web berkenaan termasuk teknik menjawab soalan peperiksaan, soalan-soalan tahun lepas, dan tips belajar, tips kerjaya dan nasihat serta boleh berkongsi pendapat dengan pengunjung lain.

Menurut Sharifah Nur Fardilah lagi, dia akan menambah kemudahan baru dalam portal berkenaan pada masa akan datang.

“Wang Dana Belia 1Malaysia yang saya terima sebanyak RM100,000 dan kini RM50,000 telah dibelanjakan untuk pembangunan web ini.

“Dengan peruntukan ini, saya telah mampu untuk merealisasikan impian saya untuk membantu pelajar-pelajar dari segenap lapisan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: