Monday, June 6, 2011

Siaran Bernama Radio24 ke seluruh dunia


Sheikh Raffie Abd Rahman menunjukkan aplikasi Radio24 pada telefon pintar Blackberry.


Bagi penggemar siaran radio24 yang dikelolakan oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) kini anda tidak lagi bimbang 'kehilangan' isyarat radio berkenaan apabila berada diluar kawasan siarannya.

Hal demikian kerana anda boleh mendengar siaran radio berkenaan bila-bila masa dan dimana jua anda berada melalui telefon pintar.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Radio24, Sheikh Raffie Abd Rahman, pihaknya telah mendapat kerjasama syarikat radio Internet dan ADA FM untuk tujuan tersebut.

"Kini siaran Bernama radio24 tidak lagi terhad di Lembah Klang semata-mata, malah ia kini boleh didengari oleh peminatnya biarpun mereka berada di luar negara.

"Malah bukan sahaja pendengar dapat mendengar radio malah menjadi antara mereka yang mengetahui berita yang terkini dan terpantas kerana siaran berita yang ke udara akan sentiasa diperbaharui setiap masa," ujarnya ketika ditemui di Wisma Bernama baru-baru ini.

Jelas beliau, sebelum ini siaran radio tersebut hanya boleh didengari di sekitar Lembah Klang sahaja dan tidak memiliki pemancar radio di seluruh Malaysia berikutan pemasangan stesen pemancar radio memerlukan kos yang mahal.

Tambah Sheikh Raffie, pada masa kini, pihaknya terpaksa menyewa pancaran yang dikelolakan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk ke udara melalui frekuensi 93.9FM.

"Oleh kerana kos yang mahal jadi pihak kami memilih alternatif ini sebagai jalan melebarkan ruang lingkup siaran berita radio ke seluruh negara malah juga seluruh dunia," ujarnya.

Beliau juga percaya dengan kepelbagaian berita yang disiarkan oleh Radio24 tersebut, pastinya ia menjadi pilihan utama para pendengar tambahan pula ia kini mampu didengar pada bila-bila masa dan dimana jua.

Lebih membanggakan ia merupakan satu-satu radio berita yang menggunakan kaedah penggunaan aliran mudah alih (Mobile Streaming) dengan menggunakan telefon pintar di negara ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: