AARON Aziz dan isteri.
KEHILANGAN bapa ketika dia masih terlalu kecil, iaitu pada usianya dua tahun membuatkan pelakon kacak dan sasa kelahiran Singapura, Aaron Aziz, amat menghargai setiap detik dan waktu bersama tiga cahaya matanya.
Semuanya kerana dia bimbang anak-anaknya Danish Anaqi, 7, Dewi Ariana, 5, dan Dahlia Arissa, 1, tidak mendapat kasih sayang sepenuhnya daripada seorang bapa sebagaimana yang pernah dia sendiri lalui.
“Waktu itulah yang akan saya gunakan sebaik-baiknya untuk bersama anak-anak. Saya cuba menolak sebarang undangan ketika sedang bercuti kerana tidak mahu keluarga terabai.
“Jika terlalu sibuk, paling tidak, saya akan memastikan dapat menikmati sarapan pagi bersama isteri dan anak-anak. Kalau terbabit dengan penggambaran pada waktu malam, saya akan luangkan waktu pada sebelah siang dengan menghantar mereka ke sekolah,” katanya yang ditemui pada majlis pengumuman kempen Hari Bapa anjuran pengeluar biskut Oreo, Kraft Foods Malaysia.
Ini tahun kedua pemegang watak utama sebagai Malik dalam filem KL Gangster itu terbabit dalam kempen Hari Bapa. Bagaimanapun, dia dan keluarga tidak pernah membiasakan diri menyambut hari istimewa seperti Hari Bapa mahupun ibu. Bukan bererti lupa atau tidak ambil peduli, bagi Aaron ingatan untuk insan istimewa perlu hadir setiap hari.
Justeru, dia tidak pernah mendambakan hadiah istimewa pemberian isteri mahupun anak. Bagi Aaron, melihat senyuman tiga buah hatinya itu sudah cukup memadai dan membuatkan hatinya girang.
“Jika tidak meraikannya sekali pun, saya berharap golongan bapa dapat meluangkan waktu walaupun seketika demi anak-anak. Jika anak ramai, saya faham mungkin mereka sukar untuk luangkan masa bersama. Tapi kalau anak seorang pun sukar untuk diberikan tumpuan, itu memang tidak patut sama sekali,” kata Aaron yang tidak memanjakan anak-anaknya dengan kemewahan.
Menurut Aaron, anak-anak memang sudah diajar tidak meminta-minta. Biasanya mereka akan meminta kebenaran daripadanya terlebih dulu jika mahukan sesuatu, tetapi dia tidak akan mendapatkan barang yang diinginkan mereka pada waktu itu juga.
Sebaliknya, dia hanya akan membelikan apa yang dipinta mereka selepas tempoh tertentu, malah mereka juga hampir terlupa dengan barang yang dimahukan itu. Dalam ketegasan itu, Aaron masih lagi seorang bapa yang lembut.
Di rumah Aaron sering melakukan pelbagai aktiviti menarik bersama anak-anak. Aktiviti dilakukan ada kalanya pelik seperti mencari semut dan kemudian memberi makan kepada binatang itu, tetapi ternyata aktiviti berkenaan amat digemari oleh anak-anaknya.
“Alhamdulillah setakat ini anak-anak tidak pernah bersungut dengan kesibukan saya. Mereka memahami kerjaya saya, mungkin sebab ada ketikanya mereka juga terbabit dalam iklan komersial yang saya jayakan. Jadi mereka tahu macam mana susah dan penatnya kerja saya.
“Lagipun saya selalu katakan kepada mereka, jika saya tidak bekerja, siapa yang akan membelikan mereka mainan dan makanan. Mungkin disebabkan itu mereka tidak pernah merungut,” kata Aaron yang baru saja selesai menjalani penggambaran filem untuk Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB).
Rezeki lelaki berusia 35 tahun ini juga nampaknya terus murah apabila dia kini terikat dengan empat drama bersiri untuk syarikat terbabit.
Namun, dia tegas menafikan menjadi wajah eksklusif untuk TV3 hanya disebabkan menerima banyak tawaran sekali gus. Sebaliknya, kata Aaron, dia masih lagi boleh berlakon dalam drama untuk stesen televisyen lain.
Jahat cuma di filem
EMPAT kali berlakon di bawah arahan Syamsul Yusof, Aaron Aziz mengakui dia selesa dan serasi dengan pengarah muda itu. Kebebasan diberikan Syamsul kepada pelakonnya dalam KL Gangster membuatkan mereka berasa tidak terkongkong kerana dapat berkongsi kreativiti.
“Pemikiran kami sama, Syamsul bukan pengarah yang stereotaip. Baginya, watak jahat tidak perlu digambarkan seperti kebanyakan filem lain. Dia memberi kami ruang untuk melakukan apa saja termasuklah mereka dialog sendiri. Dia tak kisah jika kami tidak mengikut skrip asalkan dialog mempunyai kesinambungan.
“Apabila diberikan kebebasan sebegini, sebagai pelakon kami berasa seronok kerana pengarah menerima pendapat kami. Secara tidak langsung juga ia membuatkan filem itu nampak ikhlas,” kata Aaron yang membawakan watak jejaka bernama Malik iaitu samseng yang sudah kembali ke pangkal jalan.
Sebagai seorang yang sudah berkeluarga, pasti hasil lakonannya turut ditonton oleh anak-anak. Apabila beberapa kali melakonkan watak agak ganas, tentunya peminat tertanya-tanya, bagaimana reaksi mereka apabila menonton bapa beraksi sedemikian rupa?
Bagaimanapun Aaron beruntung kerana watak jahat yang dibawakan, katanya, tidak pernah mempengaruhi minda anak-anak. Mereka memahami bapa mereka seorang pelakon, justeru mereka tahu apa yang dilihat di kaca televisyen hanyalah lakonan semata-mata.
“Anak-anak faham saya seorang pelakon. Mereka tahu kalau saya bawakan watak jahat, itu hanyalah untuk filem saja. Di rumah saya masih lagi bapa yang mereka kenali. Cuma anak kedua saya pernah menangis ketika melihat tubuh saya berlumuran darah dalam filem Evolusi KL Drift. Bagaimanapun selepas dijelaskan mengenai perkara terbabit, dia boleh memahami,” kata Aaron yang akan terus berlakon selagi khidmatnya diperlukan.
Menurut Aaron yang mula mencipta nama di negara ini sejak 2004, dia tidak pernah terfikir untuk berpatah balik ke Singapura kerana selesa dan seronok kehadirannya di sini diterima.
“Tak kenal maka tak cinta, selepas beberapa tahun berlakon di sini, timbul pula rasa seronok. Kalau boleh saya mahu terus menetap di sini. Mungkin satu hari nanti saya mahu mencuba bekerja di belakang tabir pula,” katanya yang berharap filem KL Gangster akan mendapat sambutan baik daripada peminat filem tempatan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: