PETALING JAYA: Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menasihatkan pengarah klip video kontroversi, Gambit Saifullah supaya tidak membandingkan hasil karyanya dengan filem-filem lain sebaliknya harus bertanggungjawab dengan apa yang dilakukan.
Presidennya, Harun Salim Bachik berkata, tindakan Gabit menghasilkan klip video lagu Marilah dianggap tidak bermoral selain mencemarkan imej negara jika dipasarkan di luar negara.
"Jangan dia (Gambit) bandingkan filem ...Dalam Botol dan filem lain dengan klip video itu kerana kreativiti yang dia hasilkan tidak memberikan manfaat dalam konteks budaya Malaysia.
"Lagipun, apa yang dipaparkan di dalam drama dan filem mempunyai mesej tertentu yang lebih jelas berbanding klip video kerana ia mempunyai masa yang singkat selain boleh memberi macam-macam tafsiran," katanya kepada mStar Online di sini, Selasa.
Harun diminta mengulas berhubung penyebaran klip video Marilah nyanyian Prema Yin yang dilakonkan dengan aksi berahi melibatkan penyanyi itu dengan pelakon Shahz Jazle.
Alasan Gambit, aksi yang di arahkannya itu adalah untuk pasaran Amerika Syarikat.
Harun berkata, sebagai rakyat Malaysia, Gambit seharusnya menghasilkan klip video yang memaparkan budaya-budaya negara ini untuk diketahui bangsa asing bukannya menampilkan sesuatu yang boleh mencemar nama negara.
"Klip video itu agak keterlaluan. Walaupun ia dihasilkan untuk pasaran luar negara, mereka sepatutnya peka dengan budaya dan agama rasmi negara kita iaitu Islam serta budaya yang kita amalkan.
"Jadi, mereka perlu berhati-hati melakukan klip video itu dan jangan terlalu terikut-ikut dengan budaya barat," jelasnya lagi.
Katanya, banyak lagi unsur lain yang boleh diterapkan untuk menyampaikan kasih sayang dan cinta dalam sesebuah karya.
Bukan sahaja Gambit kata Harun sebaliknya Prema Yin dan Shahz Jazle turut bertanggungjawab dalam kontroversi berkenaan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: