Tuesday, June 7, 2011

Potensi suara Belalang Rusa


PERTANDINGAN suara Belalang Rusa menjadi salah satu budaya masyarakat Melayu terutama di Kelantan. - Gambar hiasan


KOTA BHARU - Belalang Kerrek atau lebih dikenali sebagai Belalang Rusa berpotensi diketengahkan sehingga ke peringkat antarabangsa ekoran keunikan suara yang dimiliki serangga itu, kata Pengarah Jabatan Penerangan Kelantan, Ramly Yusof.

Beliau berkata, serangga berkenaan yang sering digunakan dalam pertandingan di negeri ini memukau perhatian ramai dan menjadi satu produk pelancongan yang boleh menaikkan nama Malaysia.

"Pertandingan suara belalang ini memang terkenal sejak dahulu, dijalankan pada waktu malam dan keunikan suaranya dinilai sama ada sangat baik, sederhana baik dan kurang baik.

"Suara belalang ini mempunyai potensi tersendiri dan dengan sifatnya yang menarik perhatian ramai, ia sebenarnya mempunyai keunikan tersendiri yang perlu kita manfaat dan kembangkan sehingga ke peringkat antarabangsa," katanya semasa Program Info Komuniti 1Malaysia di Kampung Peringat dekat sini semalam.

Dalam pertandingan suara belalang pada program itu, sebanyak 53 ekor belalang ditampilkan dengan tiga daripadanya terpilih sebagai pemenang.

Ramly berkata, pertandingan suara belalang juga memberi manfaat sampingan apabila dengan penglibatan peserta pelbagai peringkat umur, ia memberi ruang kepada mereka mengetengahkan kesenian dan bakat mereka dalam menjaga belalang berkenaan.

Katanya, ada juga individu yang berjaya meraih pendapatan sampingan hasil daripada menjual serangga berkenaan dan menyertai pertandingan suara belalang yang dianjurkan.

"Aktiviti bertanding dengan suara belalang satu aktiviti yang sihat untuk masyarakat, ia perlu diteruskan kerana peserta bukan sekadar dapat berkongsi idea tetapi juga mengasah bakat dalam kesenian itu," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: