Sunday, June 19, 2011

Peserta lelaki juara Cabaran Daisy


MOHD. NAWAWI (kiri) dan Mohamad Suhasman bersama hadiah yang dimenangi pada Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 Zon Timur di Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU – Dua peserta lelaki berjaya mengungguli kategori kek dan biskut pada Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 peringkat Zon Timur yang diadakan di Giant Kuala Terengganu di sini semalam.

Chef muda dari syarikat pembuat kek, Ziq Bakery & Cake, Mohd. Nawawi Alias, 24, yang mempertaruhkan resipi 'Kek Lapis Khazanah Tradisional' berjaya memikat hati para juri yang diketuai Chef Liza Zainol untuk memenangi kategori kek.

Menurut Mohd. Nawawi yang berasal dari Kampung Serada di sini, dia pada mulanya agak gemuruh untuk menyertai cabaran itu kerana menyedari kelebihan yang dimiliki peserta wanita serta pesaing lain yang lebih berpengalaman dalam bidang itu.

“Walaupun baru tiga tahun berkerja dalam bidang ini tanpa sebarang kelulusan berkaitan pembuatan kek, sokongan kuat yang diberikan oleh majikan memberi saya semangat untuk buat yang terbaik,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad selepas pertandingan itu.

Mohd. Nawawi bersama pemenang kategori biskut, Mohamad Suhasman Mohamad Rozi, 23, masing-masing menerima hadiah wang tunai RM300 yang disampaikan oleh Chef Liza. Semua 30 peserta bertanding pula turut mendapat saguhati wang tunai RM100 serta hadiah daripada Daisy dan Tupperwere.

Bagi Mohamad Suhasman yang mengungguli kategori biskut, pengalamannya yang belajar membuat biskut sejak berusia 12 tahun daripada ibunya memberi keyakinan kepada pembantu tukang masak di Dewan Makan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Bharu, Kelantan berkunjung ke Kuala Terengganu bagi mencuba nasib.


SEBAHAGIAN daripada peserta Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 di Kuala Terengganu semalam.


Anak muda yang berasal dari Tumpat, Kelantan yang mempertaruhkan resipi biskut Garlic Creamy Daisy pada cabaran itu memberitahu, usahanya yang datang dari jauh berbaloi dengan kejayaan itu.

“Bukan senang nak menang, banyak kali cuba membuat resipi ini di rumah dengan menggunakan minyak jagung Daisy kerana sebelum ini saya biasa menggunakan mentega untuk membuat biskut.

“Ingatkan tidak menjadi, rupanya-rupanya resipi menggunakan produk Daisy ini lebih sedap dan menjimatkan kos kerana penggunaannya tidak banyak berbanding mentega biasa,” katanya.

Seramai 30 peserta bertanding dalam kategori biskut dan kek pada Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 Zon Timur itu.

Mohd. Nawawi dan Mohamad Suhasman akan mewakili Zon Timur ke pertandingan Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 peringkat akhir akan diadakan di Plaza Shah Alam, Selangor pada 17 Julai depan.

Daisy pilihan terbaik


SEBAHAGIAN daripada pengunjung terawal yang menerima sumbangan minyak jagung Daisy pada Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 di Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU – Kandungan soft-poly dalam minyak jagung Daisy iaitu lemak poli tidak tepu yang diekstrak daripada isi jagung bermutu tinggi mampu menjadikan biskut dan kek lebih enak dan menyihatkan.

Ini kerana, kandungan tersebut yang bukan sahaja mudah diadun dalam ramuan bahkan pada masa yang sama, ia menjadikan biskut lebih gebu dan ringan.

Menurut Chef selebriti, Liza Zainol yang juga duta minyak jagung Daisy, kek yang menggunakan adunan minyak itu akan lebih halus dan lembap.

“Pada masa yang sama, hidangan kek dan biskut yang menggunakan minyak jagung Daisy dapat membantu mengurangkan kolesterol dalam badan,” katanya yang turut membuat demonstrasi pada Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 Zon Timur di Giant, di sini semalam.

Perkara sama turut diakui pengedar jenama Tupperware Terengganu, Tengku Mariam Ahmad yang memberitahu banyak kebaikan jika menggunakan produk tersebut.

“Sebab itu, Tupperware mahu bekerjasama dengan Daisy selain ingin mempromosikan produk kami,” katanya.

Dalam program sama, seramai 200 pengunjung terawal yang membawa dua keping kepala akhbar Kosmo! diberikan minyak jagung Daisy secara percuma.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: