Sunday, June 12, 2011

Persembahan ‘Magical Musicals’ Kurang Magis!

Magical Musicals dipentaskan di Sunway Lagoon sehingga 17 Julai ini.

PETALING JAYA: Peluang menonton persembahan Magical Musicals di Amphitheatre, Sunway Lagoon, Jumaat, dilihat kurang memberikan impak kepada penonton.

Bagi penulis, persembahan yang diterbitkan oleh Sunway Lagoon dengan kerjasama Aspire Star itu seperti kekurangan magis dan kadangkala membosankan.

Hanya terdapat beberapa adegan sahaja yang menghiburkan diikuti dengan lagu popular pilihan seperti Shakalaka Baby/ Jai Ho, Dreamgirls, One Night Only, We Will Rock You/ We Are The Champions, Mamma Mia! dan Dancing Queen.

Namun, penulis akui kehebatan lontaran vokal setiap pelakon patut diberikan pujian kerana mereka sememangnya berbakat dalam bidang seni suara.

Persembahan muzikal ini dibarisi oleh pelakon utama iaitu Neil Couperthwaite sebagai Ryan, Amanda Salmon (Stephanie), Stevie Tate Bauer (Megan), Gareth Heesom (Josh), LJ Neilson (Amber) dan Stephen Weller (Danny).

Walaupun dipentaskan di tempat terbuka, ia tidak mengganggu perjalanan latar pentas, muzik, audio, kostum dan pencahayaan yang masih menambat selera dan hati penonton.

Malah pihak produksi turut memasang skrin LED yang membantu mencantikkan panorama persembahan itu.

Muzikal ini mengisahkan tentang muda-mudi di sebuah bandar kecil yang membuat persembahan untuk menunjukkan bakat masing-masing. Di samping memaparkan lakonan, penonton turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian 30 buah lagu dan tarian.

Lagu-lagu tersebut dipilih daripada muzikal cinta sepanjang zaman seperti Mamma Mia!, Dreamgirls, Saturday Night Fever, Moulin Rouge!, Grease, West Side Story dan program televisyen Glee!.

Magical Musicals dipentaskan sehingga 17 Julai ini pada pukul 7 malam di Sunway Lagoon.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: