Sunday, June 12, 2011

Perbincangan meja bulat 1Malaysia beri input baru

pix_gal0
Ruang interaksi online ilham PM peluang rakyat curah idea

KUALA LUMPUR: Perbincangan meja bulat 1Malaysia yang julung kali diadakan secara online hasil ilham Datuk Seri Najib Razak akan dilancarkan esok, bagi membolehkan rakyat mengemukakan komen, cadangan atau idea saksama serta konstruktif, khususnya pemikiran, input baru dan segar.
Melalui usaha Perdana Menteri untuk meningkatkan ruang berinteraksi dengan semua rakyat tanpa mengira kedudukan geografi, profesion serta usia itu, tokoh amat dihormati dan disanjung tinggi atau pakar dalam bidang masing-masing (SMEX) dari pelbagai latar belakang, termasuk yang berpangkalan di luar negara, akan bertindak sebagai perantara.Najib berkata, Serbegeth ‘Shebby’ Singh (bekas pemain bola sepak negara yang kini menjadi pengacara rancangan sukan di televisyen) akan tampil dalam topik pertama perbincangan Meja Bulat Online 1Malaysia itu dengan tajuk ‘Memupuk Gaya Hidup Yang Sihat Di Peringkat Sekolah’.

Malah, Perdana Menteri mengaku teruja untuk menyertai perbincangan bijak dan sihat berkenaan esok seperti tidak sabarnya beliau untuk mendapatkan idea baru dan segar, juga mungkin jalan penyelesaian daripada rakyat.

“Saya berpendapat dan mahu membuat eksperimen dengan idea online yang unik ini – bahawa ini mungkin satu lagi kaedah bagi rakyat Malaysia berinteraksi bukan saja dengan saya, malah sesama kita semua sebagai satu komuniti online. Oleh itu, sejak sebulan lalu, saya meminta pejabat saya menjemput sebilangan rakyat Malaysia yang secara amnya dikenali sebagai ikon atau tokoh dalam bidang masing-masing.

“SMEX ini akan menyertai saya dalam menyokong anda semua melalui pelbagai perbincangan serta dalam menghimpun idea anda untuk renungan dan pertimbangan saya. SMEX ini begitu komited untuk menyampai dan menerangkan beberapa isu, berkongsi masa serta pengalaman mereka bagi membantu anda menyusun idea dan seterusnya menyampaikan sorotan utama perbincangan anda kepada saya untuk didalami lebih lanjut atau dipertimbangkan untuk pelaksanaan.
“Antara bidang yang akan dibincangkan ialah ekonomi, perpaduan nasional, kesihatan, penyertaan belia dan sukan. Saya sendiri berhasrat mengetuai satu perbincangan meja bulat pada Julai nanti, untuk mendapatkan pemikiran rakyat bagi Belanjawan Negara 2012, sama seperti yang saya lakukan melalui blog ini dalam penyediaan dua belanjawan lalu.

“Di samping itu, saya juga menjadualkan satu sesi khas untuk bertemu semua SMEX dalam perbincangan Meja Bulat 1Malaysia, dan saya akan maklumkan dengan lebih lanjut melalui Twitter pada masa terdekat,” katanya dalam laman web peribadi beliau: www.1Malaysia.com.my, semalam.

SMEX terbabit ialah pakar serta ahli sukan terkemuka - Serbegeth ‘Shebby’ Singh, Datuk K Rajagobal, Datuk Lee Chong Wei, Azizulhasni Awang, Jazeman Jaafar, Ho Ro Bin dan Azlan Iskandar; pemimpin korporat – Tan Sri Tony Fernandes dan Tengku Datuk Seri Azmil Zahruddin Raja Abdul Aziz; pendidik dan pakar bidang kreativiti, Tan Sri Lim Kok Wing; artis – Lisa Surihani, Aznil Nawawi, Amy Search, Pete Teo dan Low Ngai Yuen; pencipta pendrive, Pua Khein Seng; pakar media sosial, David Lian.

Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Marimuthu Nadason; Pengerusi Yayasan 1Malaysia, Dr Chandra Muzaffar; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa, Datuk Dr. Mahani Zainal Abidin; Ketua Pegawai Eksekutif Talent Corporation, Johan Mahmood Merican; Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia, Dr Maketab Mahmood; Pengarah Global Environment Centre, Dr Faizal Parish; serta penyokong 1Malaysia dan perpaduan nasional, Anas Zubedy.

Najib berkata, perbincangan Meja Bulat 1Malaysia memperbaharui konsep meja bulat yang sudah lama wujud dan digunakan oleh masyarakat untuk membincangkan isu dengan berhemah, sesuai dengan landskap online yang semakin berkembang serta dikhususkan untuk memenuhi keperluan warganegara Malaysia.


Platform terbaik erat perpaduan masyarakat


KUALA LUMPUR: Program Meja Bulat Online 1Malaysia yang diperkenalkan Datuk Seri Najib Razak adalah platform terbaik untuk menghimpunkan permasalahan dihadapi rakyat di negara ini sekali gus mencari jalan penyelesaiannya.

Beberapa individu dipilih dalam program yang bermula esok, berpendapat medium baru berinteraksi dengan orang ramai itu turut diyakini mampu mengeratkan perpaduan di kalangan masyarakat di negara ini.

Pengerusi Yayasan 1Malaysia, Prof Dr Chandra Muzaffar, berkata program itu diharapkan dapat memberi penerangan dan kefahaman lebih jelas mengenai perpaduan kepada masyarakat.

"Usaha Perdana Menteri itu juga menunjukkan kerajaan kini bersikap lebih terbuka untuk mengetahui kemahuan rakyatnya tanpa mengira agama dan kaum sesuai dengan gagasan 1Malaysia," katanya.

Katanya, beliau percaya langkah itu juga memberi peluang kepada semua pihak sama ada pro kerajaan atau tidak untuk menyuarakan pandangan mereka terus kepada Perdana Menteri.

Pelakon dan Personaliti Televisyen, Lisa Surihani, berkata pemilihannya dalam program itu adalah satu penghargaan dan berharap ia dapat menarik lebih ramai belia untuk berinteraksi bersamanya.

"Jika boleh, saya mahu mewujudkan budaya beramal dalam masyarakat di negara ini. Saya berharap selepas berinteraksi secara terus ia dapat meningkatkan kesedaran rakyat untuk terus beramal," katanya.

Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk N Marimuthu, berkata peluang itu akan digunakan untuk menerangkan lebih lanjut mengenai hak pengguna.

Katanya, beliau akan menggunakan saluran itu untuk menerangkan kepada pengguna mengenai perkara berkaitan kepenggunaan.

Sementara itu, jurulatih bola sepak Kebangsaan, Datuk K Rajagobal, berkata beliau akan mengenengahkan isu berkaitan suka.

"Ia medium terbaik untuk berhubung terus dengan kerajaan sekali gus dapat menyampaikan idea, pandangan dan cadangan yang mungkin boleh dipertimbangkan Perdana Menteri," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: