Sunday, June 12, 2011

Pengantin Melayu suka tarikh cantik


ROSHIMAH menunjukkan sekeping foto pelanggannya.


HATI Roshimah Othman sayu saat melihat pasangan pengantin baharu itu bersanding di atas pelamin.

Mengenakan songket kuning sedondon, pengantin wanita yang berkulit putih itu kelihatan cantik bersanggul, manakala si lelaki pula segak bertanjak dan berkaca mata hitam.

Roshimah, 50, puas melihat mereka tersenyum bangga di atas pelamin biarpun hanya dibayar sebanyak RM500 sahaja untuk sebuah majlis yang besar seperti itu.

Baginya majlis itu merupakan majlis terbaik yang pernah dilaksanakannya biarpun pada ketika itu dia hanya memiliki peralatan ringkas untuk merealisasikan sebuah majlis perkahwinan.

“Bayaran sebanyak itu sekadar cukup untuk mengisi minyak kenderaan untuk membawa barang-barang ke tempat majlis sahaja.

“Tetapi saya puas kerana dapat memberi sumbangan dengan sebuah majlis perkahwinan kepada pasangan istimewa itu,” kata Roshimah.

Hatinya lebih sayu apabila pengantin lelaki tersebut yang merupakan seorang cacat penglihatan itu ‘melihat’ sumbangan yang diberikan Roshimah itu dengan tangannya.

“Dia meraba-raba dengan tangannya pada setiap perhiasan yang ada di majlis tersebut dengan perasaan yang teruja. Saya sebak melihat kegembiraannya itu,” katanya kepada Jurnal.

Itu kisah yang berlaku hampir enam tahun dahulu. Kini, Roshimah tidak lagi menyediakan perkhidmatan pengurusan majlis secara separuh masa tetapi menjadikannya sebagai sebuah bisnes keluarga.

Kisah itu menjadi penguat azam kepada Roshimah untuk terus berkhidmat merealisasikan impian setiap pengantin baharu.

Letak jawatan

“Saya tidak mengejar keuntungan semata-mata sebaliknya mahu melihat pasangan pengantin baharu tersenyum gembira dengan majlis bahagia mereka,” katanya yang kini mempunyai dua orang pekerja tetap.

Pada 2007, Roshimah berhenti kerja sebagai pembantu pengurus di sebuah syarikat swasta. Biarpun sudah berkhidmat selama hampir 30 tahun di situ, dia nekad membuka bisnes perancang perkahwinan atas nama D’La Rossa Creation.

Dia tidak melalui banyak detik sukar menguruskan perkhidmatannya itu kerana ahli keluarganya merupakan penyumbang utama semangat dan tenaga kerja kepada Roshimah.

Melalui pakej lengkap yang disediakan untuk majlis perkahwinan daripada gubahan bunga segar sehinggalah kepada tugasan sebagai deejay, semuanya diuruskan oleh orang yang dia kenali.

“Urusan saya lebih mudah kerana suami dan anak-anak banyak memberikan semangat. Ahli keluarga yang lain juga banyak membantu kerana ada yang terlibat menyumbang khidmat masing-masing.


KEUNTUNGAN bukan perkara pokok bagi Roshimah, tetapi wanita itu gembira jika pelanggannya puas hati.


“Adik perempuan saya menjadi jurusolek, adik lelaki sebagai jurufoto, anak saudara pula mempunyai set sistem bunyi (PA) dan abang ipar menyediakan perkhidmatan katering.

“Ketika membuat persiapan majlis, ia bagaikan menjadi perhimpunan kami semua juga,” katanya lagi.

Jika orang lain menghabiskan waktu hujung minggu dengan bercuti, berbeza pula baginya kerana waktu tersebut merupakan tempoh sibuk untuk dia bekerja.

Menurut Roshimah, dia akan turun padang melakukan persiapan sendiri menjelang majlis perkahwinan. Tetapi pada hari biasa dia akan berada di butiknya yang terletak di Kajang, Selangor untuk urusan perancangan dan bertemu klien.

“Hari minggu mahupun cuti sekolah merupakan hari-hari sibuk bagi seseorang perancang perkahwinan kerana ramai memilih hari cuti untuk melangsungkan majlis.

Tiga pengantin sehari

“Jadi saya akan uruskan perihal perancangan majlis pada hari-hari biasa. Ketika itu saya mempunyai sedikit kelapangan,” katanya.

Berbicara soal tarikh perkahwinan, Roshimah akui bahawa trend memilih tarikh ‘cantik’ mula menjadi ikutan oleh masyarakat Melayu kini.

Tambahnya, bakal pasangan pengantin kini bukan sahaja memilih tema-tema terkini seperti moden kontemporari dan tradisional bahkan tarikh perkahwinan juga menjadi perkara penting oleh sebahagian daripada mereka.

Sehingga kini Roshimah sudah menutup tempahan untuk beberapa tanggal yang mempunyai kombinasi tarikh yang menarik seperti 9.10.2011, 11.11.2011 dan 20.11.2011.

“Untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik, saya hanya menerima sebanyak tiga tempahan sahaja dalam masa sehari.

“Ia penting bagi menjamin kualiti terbaik kepada pelanggan. Jadi, untuk tarikh tersebut tempahannya sudahpun penuh,” kata ibu kepada tiga cahaya mata itu lagi.

Dia yang memegang prinsip ikhlas melakukan sesuatu perkara itu kini mempunyai dua orang pekerja tetap yang menjadi pembantu setianya.

Haneyza Amit, 33, dan Aftarol Mohd. Khozin, 37, merupakan pereka fesyen tetap bagi butik D’La Rossa Creation.

Menurut Roshimah, kedua-dua pekerjanya itu akan mereka pakaian pengantin yang diinginkan oleh pelanggan kerana dia sentiasa menghasilkan rekaan terkini yang sesuai dengan kehendak semasa.

Selain itu, butik tersebut turut menghasilkan rekaan kasut sendiri untuk dipadankan dengan pakaian pengantin. Dia yakin dengan kasut-kasut rekaan perekanya itu dan melihat potensinya untuk dikembangkan.

“Jika diberikan rezeki, saya bercadang untuk menghasilkan kasut atas jenama sendiri pula nanti,” kata Roshimah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: