Tuesday, June 28, 2011

Pencarian bakat K-Pop Malaysia


JEHAN MISKIN bertanggungjawab mencari bakat dalam bidang tarian dan nyanyian berkonsepkan K-Pop.


SELEPAS ledakan drama dan filem Korea mencipta fenomena sendiri dalam masyarakat tempatan kini muncul pula genre baharu muzik pop Korea atau lebih dikenali dengan jenama K-Pop.

Selaras dengan penangan hebat ini, Astro Hitz (saluran 705) melalui kerjasama Organisasi Pelancongan Korea menerbitkan sebuah rancangan baharu pencarian bakat K-Pop Hitz Talent Show.

Menerusi rancangan berdurasi sejam ini, peminat setia K-Pop bukan sahaja boleh menonton, malah mencuba nasib serta mengasah bakat mereka dalam dunia K-Pop melalui uji bakat yang telah bermula 18 Jun lalu sehingga 9 Julai nanti.

Sebanyak empat sesi uji bakat akan dijalankan setiap hari Sabtu bermula 18 Jun lalu di Wangsa Walk, Berjaya Times Square (25 Jun), The Curve (2 Julai) dan SACC Mall, Shah Alam (9 Julai).

Manakala, setiap peserta sama ada secara solo mahupun berkumpulan tidak melebihi lima orang boleh memilih untuk mencuba peluang menari atau menyanyi lagu-lagu bintang terkenal Korea dalam setiap sesi uji bakat yang dijalankan bermula 9 pagi itu.

Pada sesi uji bakat, pengacara Jehan Miskin akan mencari aksi tarian atau nyanyian K-Pop terbaik sekitar Lembah Klang dengan menaiki van khas yang dihiasi logo K-Pop.

Kata Jehan: “Rancangan ini dibuat dalam tempoh yang singkat dan kelainannya terdapat pada van pelbagai fungsi yang turut menjadi pentas setiap kali sesi uji bakat berlangsung.”

Setiap peserta akan diberikan tempoh masa lima minit untuk menunjukkan gaya K-Pop masing-masing dan dua peserta terbaik setiap lokasi akan dipilih oleh juri hiburan profesional.

Menurut Pengurus Saluran Astro Hitz, Cheong Cheng-Vei, markah akan dikira berdasarkan kreativiti, gaya persembahan, kemahiran dan vokal (nyanyian).

“Had umur setiap peserta pula mestilah 18 tahun ke atas dan setiap peserta solo mahupun berkumpulan perlu menunjukkan hanya satu bakat sama ada nyanyian atau tarian,” katanya ketika majlis pelancaran K-Pop Hitz Talent Show di Menara Hap Seng baru-baru ini.

Empat minggu, empat lokasi, namun hanya lapan peserta terbaik akan terpilih untuk mara ke pusingan akhir yang berlangsung di Dragonfly, Kuala Lumpur pada 15 Julai nanti.

Juara akan membawa pulang hadiah percutian ke Korea selama 4 hari 3 malam selain berpeluang membuat persembahan secara langsung di Lotte World Theme Park, Korea.

Saksikan K-Pop Hitz Talent Show pada setiap hari Khamis pukul 3.30 petang bermula 23 Jun hingga 4 Ogos di Astro Hitz (saluran 705) dan maklumat lanjut boleh didapati di laman sesawang www.astro.com.my atau www.facebook.com/astrohitz.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: