Saturday, June 11, 2011

Pelatih Puspen merusuh


MOHD. SALLEH (depan) memeriksa sebuah kereta yang rosak dalam kejadian rusuhan melibatkan pelatih Puspen di Sengkang, Bukit Gambir, Ledang semalam.


LEDANG - Seramai 21 pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen), Muar mengambil kesempatan melarikan diri dalam kejadian rusuhan di pusat berkenaan di Sengkang, Bukit Gambir di sini malam kelmarin.

Bagaimanapun polis berjaya menahan semula seramai 16 daripada 21 pelatih yang meloloskan diri dalam kejadian itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ledang, Deputi Supritendan Mohd. Salleh Abdul Razak berkata, kejadian rusuhan itu bermula apabila sekumpulan pelatih bertindak membakar beberapa bangunan termasuk bangunan pentadbiran, bangunan pemulihan dan stor serta pondok pengawal.

Menurutnya, pelatih berkenaan juga merosakkan lapan kenderaan dan dua motosikal di pusat berkenaan.

Katanya, pihak polis yang menerima panggilan pada pukul 9.15 malam telah tiba di tempat kejadian lima minit kemudian bagi mengawal keadaan rusuhan tersebut.

"Selepas pemeriksaan dilakukan, didapati terdapat 21 daripada 377 pelatih menghilangkan diri, pihak polis dengan segera menggerakkan operasi bagi menjejaki pelatih yang melarikan diri," katanya yang memberitahu punca rusuhan tersebut masih dalam siasatan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: