Tuesday, June 14, 2011

Pakej umrah bulan Syaaban, Ramadan


AMIN KHAN menunjukkan model pesawat baharu bagi penerbangan untuk menunaikan umrah di Subang semalam.


SUBANG – MASholidays, anak syarikat milik penuh Malaysia Airlines (MAS), akan menawarkan kira-kira 2,400 tempat duduk menerusi pakej Lambaian Kaabah Umrah dan Ziarah pada bulan Julai (sepanjang bulan Syaaban) dan Ogos (Ramadan) pada tahun ini.

Pengerusi MASholidays merangkap Naib Presiden Eksekutif Strategi Komersial MAS, Datuk Dr. Amin Khan berkata, pakej tersebut merangkumi penerbangan pergi balik Kuala Lumpur-Jeddah menggunakan pesawat MAS, penginapan di hotel bertaraf empat atau lima bintang yang berhampiran Masjid Nabawi dan Al-Haram, penyediaan makanan dan bayaran visa.

Menurutnya, ia juga termasuk pakej ziarah ke lokasi-lokasi bersejarah di Mekah dan Madinah, pengangkutan bas berhawa dingin dengan seorang mutawif yang akan menemani kumpulan.

“Pakej Lambaian Kaabah Umrah dan Ziarah telah mula diperkenalkan pada tahun 1999 bagi memenuhi permintaan tinggi penerbangan mengerjakan ibadah umrah di negara ini.

“Sebagai operator umrah yang berlesen, MASholidays menyediakan perkhidmatan umrah dan haji sehenti yang terbaik bagi memenuhi keperluan dan keselesaan serta ketenangan minda pelanggan di sana,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Mengulas lanjut, Amin menerangkan, pakej yang ditawarkan serendah RM5,950 seorang dengan memberi pilihan daripada segi tarikh penerbangan, tempat duduk di kelas ekonomi atau perniagaan dalam penerbangan tanpa henti ke Tanah Suci itu.

“Kami juga menganjurkan kelas persediaan umrah setiap Sabtu pada minggu ketiga pada setiap bulan kepada para pelanggan dan orang ramai secara percuma,” katanya.

Amin menjelaskan, pada masa ini penerbangan ke Tanah Suci melibatkan pesawat Boeing 747 dan 777, namun menjelang tahun 2014, syarikat akan menggunakan pesawat Airbus 330 (A330) baharu bagi tujuan penerbangan haji dan umrah.

Maklumat lanjut mengenai pakej tersebut atau tempahan boleh dibuat melalui laman web holiday.malaysiaairlines.com atau menghubungi talian 03-78634000/4040 dan umrah@malaysiaairlines.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: