GIGIH...siapa sangka modal RM500 yang dikeluarkan 20 tahun lalu membuahkan hasil lumayan.
“YANG bulat tidak akan datang bergolek dan yang pipih tidak akan datang melayang.
“Saya percaya, Tuhan tidak akan menzalimi orang yang berusaha dan jika ada kemahuan, pasti di situ akan ada jalannya,” demikian kata usahawan wanita berjaya yang juga pengetua serta pengasas Akademi Nu’della dan Malaysian Holistik Spa (MHS), Norulnaha Abdul Razak.
Biarpun sudah berjaya memiliki rangkaian perniagaan kecantikan sendiri yang dikenali ramai, wanita berusia 52 tahun itu tetap merendah diri.
Ibu kepada empat anak berusia antara 22 hingga 16 tahun itu berkata, dia bukan berasal daripada keluarga berada kerana ayahnya hanya anggota polis dan ibunya pula suri rumah sepenuh masa.
Meskipun sudah memiliki kerjaya stabil ketika itu (guru sekolah rendah), wanita ini mengakui hatinya lebih kepada bidang kecantikan terutama berkaitan rawatan spa.
Anak keempat daripada 11 beradik itu sejak remaja lagi suka berniaga dan pernah menjalankan pelbagai jenis perniagaan termasuk menjual barangan jualan langsung.
Norulnaha berkata, dia seorang yang bercita-cita tinggi dan tidak mudah mengalah untuk mencapai sesuatu yang diidamkan. Selepas tamat kursus perguruan, dia turut menyertai kursus kecantikan di sebuah akademi di Taman Tun Dr Ismail kerana ketika itu sudah memiliki perancangan membuka perniagaan kecantikan sendiri.
Tidak hairanlah jika dengan hanya berbekalkan modal RM500, Norulnaha memberanikan diri memulakan perniagaan berkenaan meskipun ketika itu dia baru saja mendirikan rumah tangga dan sedang menunggu cahaya mata pertama mereka.
“Dengan modal yang tidak seberapa itu serta sebuah beg peralatan dan troli, saya memulakan bisnes secara kecil-kecilan dengan sasaran utama golongan suri rumah serta pekerja kilang kawasan flat perumahan di sekitar Bangi kerana mereka kebanyakan tidak mempunyai masa dan kenderaan untuk keluar mendapatkan rawatan kecantikan di luar.
“Memang penat kerana pada sebelah pagi saya mengajar di sekolah dan petangnya menarik beg dan troli itu turun naik flat untuk berkunjung ke rumah pelanggan.
“Soal malu atau penat saya tolak tepi kerana apa yang penting dapat mencari rezeki yang halal dalam bidang yang digemari,” katanya.
Keperitan yang dilaluinya itu sememangnya banyak mengajar Norulnaha erti kesabaran dalam memajukan lagi perniagaannya.
Anak jati Kuala Lumpur ini mengakui, untuk memulakan sesuatu perniagaan, bukan modal yang perlu diutamakan sebaliknya kekuatan dalaman serta motivasi diri individu itu sendiri.
Menjadikan dirinya sebagai contoh, Norulnaha berkata, meskipun suami, Borhan Ahmad, 52, mempunyai pendapatan yang stabil, dia tidak mahu bergantung sepenuhnya kepada suaminya itu.
Sebagai wanita, katanya, kita perlu mempunyai pendapatan sendiri dan satu bonus jika punca pendapatan berkenaan dapat diwariskan kepada anak-anak.
“Wanita perlu berfikiran terbuka dan tidak malu untuk melangkah setapak ke hadapan. Kita tidak boleh selamanya berada di zon selesa atau tahap tertentu saja, sebaliknya perlu berani meneroka bidang baru seperti perniagaan kecantikan ini.
“Saya percaya, rakyat Malaysia tidak akan hidup susah kerana banyak peluang di depan mata dan apa yang perlu hanya usaha gigih dan keazaman yang tinggi saja,” katanya.
Bercerita mengenai perniagaannya, Norulnaha berkata, Butik Kecantikan Ainaa-Ailaa Sdn Bhd (BKAA) adalah syarikat induk yang membantu melahirkan ramai usahawan baru dalam bidang spa dan kecantikan.
Menerusi BKAA, Akademi Nu’della turut diwujudkan bagi melatih individu yang berminat untuk mendalami bidang kecantikan yang ditauliahkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) bagi pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap satu, dua dan tiga (bidang kecantikan ) serta tahap satu dan dua, bidang gaya rambut.
BKAA juga mengorak langkah lebih jauh dengan mewujudkan sistem francais dengan jenama Nu’della Malaysia Holistik Spa dengan matlamat untuk memartabatkan rawatan tradisional masyarakat Malaysia di mata dunia.
Norulnaha berkata, BKAA turut menjadi penasihat kepada beberapa badan kerajaan seperti Mara, Kemas, Risda dan Insken dalam usaha untuk membangunkan usahawan yang berketerampilan, berdaya maju dan dinamik.
Sejajar dengan hasrat berkenaan, pihaknya menjalankan pelbagai kursus kemahiran serta keusahawanan dengan kerjasama agensi kerajaan mahupun swasta seperti program pembasmian kemiskinan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) untuk melatih golongan ibu tunggal di negeri utara Semenanjung selain mempunyai inkubator sendiri di Kulim, Kedah untuk tujuan latihan.
Lebih istimewa, dia turut mengadakan kursus merancang dan memulakan perniagaan spa, kecantikan serta kesihatan secara percuma kepada golongan yang berminat di ibu pejabatnya, di Seksyen 4, Bangi.
Norulnaha turut memiliki perancangan untuk membawa konsep spa syarikatnya ke peringkat yang lebih tinggi. Berbeza dengan pusat kecantikan lain, MHS mengamalkan konsep amalan spa Islamik (ISP) yang modulnya dijalankan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta tenaga pensyarah daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Katanya, konsep itu tidak didapati di spa biasa melainkan rangkaian MHS saja.
“Menerusi konsep ISP, spa kami hanya menggunakan produk yang halal selain melaksanakan konsep Islam sepenuhnya.
“Ini kerana, kami mahu pelanggan berasa selesa dan yakin terutama berkaitan aspek aurat yang selama ini dipinggirkan oleh sesetengah pusat kecantikan,” katanya.
Wanita gigih itu juga menegaskan dia tidak mempunyai orang kanan kerana serik dengan pengalaman ditipu sebelum ini. Pengalaman pahit itu bagaimanapun menjadi pengajaran berguna kepada dirinya supaya lebih berhati-hati di masa akan datang.
Dalam pada itu, Norulnaha berkata, apa yang dimiliki hari ini tidak bermakna tanpa sokongan keluarga terutama suami dan ibu yang tidak pernah jemu memberi semangat kepadanya.
Norulnaha mengakui dia sememangnya tidak mengejar kejayaan dunia saja kerana apa yang dimahukan sebenarnya adalah keseimbangan kehidupan hari ini dan akhirat kelak.
Baginya, jika memiliki jutaan ringgit sekali pun, ia tidak akan bermakna sekiranya keluarga berpecah-belah dan hidup dalam keadaan kurang harmoni.
“Tidak kira setinggi mana pangkat atau sebanyak mana harta kekayaan yang dimiliki, tugas seorang wanita tetap kepada suami dan keluarga.
“Jadi, walau sesibuk mana pun kerja seharian, kita perlu memastikan ada masa untuk keluarga dan pada masa sama, jangan terlalu mengejar kemewahan dunia hingga melupakan Dia yang Esa.
“Paling penting, hargailah masa yang ada ini sepenuhnya kerana jika kita kehilangan waktu yang berharga itu, ia tidak mungkin akan dapat kembali lagi,” katanya sebelum mengakhiri perbualan.
PROFIL
NAMA: Norulnaha Abdul Razak
UMUR: 52 tahun
STATUS: Berkahwin dan mempunyai empat cahaya mata
ASAL: Kampung Pandan, Kuala Lumpur
JAWATAN: Pengasas, pengetua dan tenaga pengajar Akademi Nu’della serta Malaysia Holistik Spa
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: