Friday, June 17, 2011

NORA mahu takluk dunia


HEBAT... Barisan tenaga kreatif untuk pementasan The Secret Life of Nora yang diumumkan dalam sidang akhbar yang berlangsung di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.


SELEPAS Enfiniti Vision Media (EVM) mengumumkan projek teater muzikal terbaru mereka, The Secret Life of Nora (NORA), ramai yang sudah tidak sabar lagi untuk menunggu pengumuman seterusnya.

Maklumlah, apabila memperkatakan tentang EVM dengan produk mereka, pastinya ia adalah sesuatu yang cukup ditunggu-tunggu.

Lihatlah sahaja bagaimana mereka memberikan impak besar menerusi dua teater muzikal mega mereka sebelum ini iaitu Puteri Gunung Ledang the Musical dan P. Ramlee the Musical yang mendapat sambutan di luar dugaan.

Berdasarkan kepada dua kejayaan tersebut, sudah pasti NORA juga telah memberi satu gambaran kepada peminat teater muzikal tempatan bahawa ia akan menjadi sesuatu yang luar biasa.

Bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 29 September hingga 16 Oktober ini, NORA sudah bersedia untuk menggegarkan panggung bertaraf dunia itu.

Apatah lagi, barisan tenaga kreatif yang bakal merealisasikan NORA kelak bukan sembarangan kerana kesemuanya terdiri daripada mereka yang berpengalaman luas dalam bidang masing-masing.

Sewaktu pengumuman dilakukan di pejabat EVM yang terletak di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini, daripada senarai mereka yang terlibat untuk pementasan mega ini sahaja sudah memberi gambaran jelas bahawa naskhah NORA bukan calang-calang.

Demi memberikan perubahan serta suntikan yang lebih segar dan baru, pihak EVM nampaknya begitu berani menyahut cabaran dengan menggabungkan bakat tempatan dan antarabangsa.

Semuanya adalah untuk memastikan NORA mampu menjadi sebuah pementasan yang bukan hanya akan berjaya di dalam negara tetapi juga di peringkat antarabangsa.

"Setiap kali menghasilkan sebuah karya baru, kami mahu menampilkan perubahan dan memberikan santapan yang berbeza kepada peminat serta audiens.

"Malah, sebagai pemain utama dalam pementasan ini, Datin Seri Tiara Jacquelina sendiri mencabar dirinya dengan membawakan watak yang tidak pernah dibawanya sebelum ini.

"Kami memang mahu menggunakan kepakaran anak tempatan serta orang luar bagi memastikan NORA mampu pergi jauh bukan hanya di peringkat Asia tetapi ke serata dunia.

"Ini sekali gus dapat membuktikan kepada negara luar bahawa Malaysia mampu menghasilkan sebuah teater muzikal yang bertaraf antarabangsa," ujar Naib Presiden Operasi Kumpulan Enfiniti, Izan Satrina dalam majlis pengumuman tersebut.

Walau bagaimanapun, Tiara selaku penerbit eksekutif dan pemegang watak utama dalam NORA tidak dapat hadir ke majlis tersebut kerana masalah peribadi.

Seramai 14 orang telah dipilih dalam tenaga kreatif NORA dan daripada jumlah itu, hanya tiga muka lama yang pernah mencurahkan khidmat mereka sebelum ini iaitu Roslan Aziz sebagai pengarah muzik, Pat Ibrahim (koreografer) dan Raja Maliq (penasihat rekaan set).

Muka baru yang pertama kali bekerja dengan EVM ialah Steven Dexter sebagai pengarah, Chedd Eddie Yusof (penolong pengarah), Raymond Miranda (penulis naskhah), San Weng Onn (komposer) dan Jerome Kugan (penulis lirik).

Turut terpilih adalah Alfian Sa'at yang dipilih sebagai penulis teks dan lirik bahasa Melayu, Francis O' Connor (pereka rekaan set), Moe Kassim (pereka kostum), Nick Richings (pereka tata cahaya), Ken Freeman (jurutera bunyi) dan Melissa Teoh (pengurus produksi).

Ternyata, Tiara dan EVM membuat pilihan yang tepat tenaga kerja untuk NORA kerana kesemuanya merupakan mereka yang profesional serta pernah memenangi anugerah berprestij di dalam dan luar negara.

Malah, ada di antaranya juga yang pernah berkhidmat dalam pementasan mega dan popular di West End, London dan Broadway, New York, Amerika Syarikat.

Melihatkan pelaburan yang dikeluarkan oleh EVM untuk mendapatkan mereka yang terbaik dalam bidang masing-masing untuk NORA, sudah pasti kos penerbitannya bukan kecil-kecil anak.

Terdengar juga desas-desus sebelum ini mengatakan kos keseluruhan untuk mementaskan NORA memakan belanja hampir RM10 juta.

"Kami bersyukur dan bertuah kerana dapat kesemua orang-orang hebat ini untuk NORA kerana kami percaya dengan pengalaman serta kepakaran mereka mampu memberikan magis dalam pementasan ini.

"Memang benar. Untuk mendapatkan yang terbaik, kita harus berani melabur untuk melihat hasil yang dapat memberikan kepuasan maksimum.

"Tetapi, kami tidak mahu menjadikan soal bajet sebagai isu besar kerana apa yang penting adalah visi dan matlamat kami untuk melihat NORA pergi jauh.

"Kerana itu jugalah, apabila NORA akan dipentaskan nanti, kami akan menjemput beberapa orang produser teater muzikal dan pihak media dari luar negara untuk menontonnya," kata Izan Satrina penuh optimis.

Bukan itu sahaja, ramai juga yang menantikan pengumuman siapakah barisan pelakon NORA yang akan menggegarkan Panggung Sari kelak.

Menjawab persoalan itu, Izan Satrina menjelaskan semuanya akan diumumkan dalam satu sidang akhbar yang akan diadakan dalam waktu terdekat ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: