Saturday, June 18, 2011

Muzika

pix_gal0
Pengisian matang Adam 4

Album: Adam 4 Artis: Adam Genre: Pop Dance
Terbitan: Aico Empire Group


ADAM 4 memperlihatkan kemampuan Adam untuk tidak hanya dikenali sebagai penyanyi, sebaliknya album itu turut membawa karier muziknya ke satu tahap baru.

Naib juara Akademi Fantasia musim kedua itu cuba berdikari dengan mencorakkan keseluruhan perjalanan album itu.
Selepas tiga percubaan yang disokong oleh trio adik beradik, KRU, Adam memanfaatkan pengalaman itu untuk mencari destinasi muziknya sendiri.

Biarpun mempunyai kebebasan untuk menentukan arah yang ingin ditujuinya, Adam sebaliknya selesa membawa identiti yang diciptanya ketika dinaungi KRU dulu.

Adam masih kental mengadun elemen pop dan dance yang membentuk kekuatan imejnya di mata penggemar seperti dalam tiga album terdahulu.

Cuma album ini lebih memperlihatkan sisi matang Adam, terutama pada penyampaian dan pilihan lagu yang mencerminkan kedewasaannya.

Tidak dinafikan bayangan KRU masih dapat dirasai dalam album ini. Tetapi itu bukan bermakna pembaharuan yang dibawakan Adam tidak langsung dirasai.

Peminat boleh menilai menerusi lima lagu yang dimuatkan iaitu Tension, Kau, Pergilah, Ellena dan Boleh Bah Kalau Kau. Adam 4 juga dilengkapi lima lagu instrumental untuk peminat setianya.



Nuansa pop komersial Naif


Album: Planet Cinta
Artis: Naif
Genre: Pop
Edaran: Muzikon Sdn Bhd


KALI terakhir muncul dengan Televisi pada 2007, karier rakaman Naif bagaikan tertunda apabila berdepan masalah pengedaran album.

Planet Cinta menyaksikan Naif memilih untuk menghasilkan karya yang lebih mesra telinga. Album ini juga memperlihatkan Naif menterjemahkan pengertian cinta itu daripada pelbagai sisi.
Lantas Planet Cinta dibaluti oleh sentuhan pop yang lebih mudah dicerna. Garapan muziknya juga ringkas dan sederhana, mudah dibawa malah pantas menyentuh hati pendengar.

Naif cuba mencari kesederhanaan pada gaya persembahan mereka selepas melakukan pelbagai eksperimen dalam Televisi.

Barangkali elemen komersial yang lebih dititikberatkan itu serasi dengan hasrat Naif supaya Planet Cinta didukung lebih ramai peminat.
Di Indonesia, lagu Karena Kamu Cuma Satu diangkat sebagai single pertama. Lebih banyak mengusung nuansa muzik ‘oldies’, kebanyakan lagu yang diisi dalam Planet Cinta pantas mencuri pendengaran peminat.

Sentuhan pop yang sedikit mendayu juga mendominasi pengisian album ini seperti pada lagu Buta Hati dan Apa Adanya.

Bagaimanapun, sentuhan eksperimen masih dapat dirasai peminat terutama pada lagu Cuek yang kaya dengan ketukan dram dan gitar.

Naif masih mampu meletakkan karya pop mereka dalam kualiti tersendiri yang dibaluti nuansa berbeza pada setiap lagu yang diisi.


Destinasi muzik yang jelas

Album: Get Em Girls
Artis: Jessica Mauboy
Genre: Pop R&B
Edaran: Sony Music Entertainment


PENYANYI kelahiran Darwin, Australia ini memasuki industri hiburan selepas memboloskan diri dalam program realiti, Australian Idol pada 2006.

Meskipun cuma berpuas hati pada tempat kedua, Jessica Mauboy meraih kontrak bersama Sony Music Australia dan diberi peluang melahirkan kompilasi, The Journey pada 2007.

Album itu memuatkan himpunan lagu yang pernah dipersembahkannya sepanjang menyertai Australian Idol.

Percubaan pertamanya diperoleh pada 2008 menerusi album sulung, Been Waiting.

Album memuatkan lagu seperti Running Back, Burn dan Because meraih platinum berkembar serta diiktiraf sebagai album kedua mencatat penjualan tertinggi di Australia pada 2009.

Get Em Girls adalah album keduanya yang dirakamkan di Los Angeles, New York dan Atlanta menemukan Mauboy dengan ramai komposer popular Amerika Syarikat.

Album ini menemukan Mauboy dengan apa yang dicarinya, malah destinasi muziknya juga semakin jelas. Album ini padat diisi lagu yang bernuansa urban, malah mungkin mengingatkan pendengar kepada apa yang pernah dipersembahkan Beyonce Knowles.

Barangkali jati dirinya sebagai penyanyi masih belum dicungkil sepenuhnya kerana Get Em Girls cuma mengangkat genre popular yang sudah sebati dengan pendengar.

Namun dari segi potensi, Mauboy mampu muncul sebagai pelapis yang akan membanggakan industri dengan kekuatan bakatnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: