Tuesday, June 7, 2011

Menyamar Pegawai Imigresen untuk menipu

Ketibaan pelawat asing di pintu masuk utama negara yang terdedah dengan kegagalan syarat kemasukan menyebabkan ia dijadikan modus operandi kepada penipuan bersindiket.

BUSUKNYA nama Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) apabila penipuan bersindiket kembali mengganas di negara ini.

Cinta dan janji manis merupakan faktor utama menyebabkan ramai mangsa mudah terpedaya namun taktik menggunakan nama Imigresen KLIA semakin berleluasa.

Warga Afrika bijak memasang perangkap terutama di kalangan wanita tempatan sehingga mereka kerugian ratusan ribu ringgit.

Benarkah wujudnya Pegawai Imigresen di KLIA sebagai dalang dalam penipuan bersindiket atau ada orang luar yang menyamar meraih kepercayaan untuk menipu?

IWAN SHU-ASWAD SHUAIB menemuramah Pengarah Imigresen KLIA, Mohd Zulifkar Ahmad untuk mendapatkan jawapannya.

Mudah percaya

> Sebanyak 44 kes berkaitan dengan penipuan bersindiket yang dilaporkan kepada Imigresen KLIA membabitkan Pegawai Imigresen palsu dari Januari sehingga Mei 2011.

Mohd Zulfikar Ahmad

> Kebiasaannya mangsa menunggu kenalan dari luar negara untuk berjumpa di KLIA. Bagaimanapun mereka panik apabila orang yang ditunggu tidak muncul di balai ketibaan.

> Mangsa dihubungi oleh seseorang yang mendakwa sebagai Pegawai Imigresen dan memberitahu kenalan itu telah ditahan di atas sebab tertentu (sebenarnya palsu).

> Dengan jaminan dan kepercayaan atas nama Imigresen menyebabkan mangsa membayar sejumlah wang mewakili pelbagai caj bagi membebaskan kenalannya.

> Mangsa mudah mempercayai Imigresen berikutan organisasi itu antara bahagian pertama di pintu masuk utama negara selepas pelawat asing tiba di KLIA.

> Bukan semua warga asing yang dikenali dari laman sosial berakhir dengan penipuan bersindiket kerana ada antaranya juga menjadi pelawat tulen.

> Apa yang penting adalah bukan siapa yang tiba di KLIA tetapi masyarakat jangan mudah percaya dan sentiasa mengambil langkah berwaspada, jika ada pihak yang menuntut wang bagi pihak Imigresen.

Tiada caj

> Tindakan Imigresen menahan pelawat asing bagaimanapun sentiasa berlaku di pintu masuk utama negara atas kegagalan mereka mematuhi syarat kemasukan.

> Imigresen tidak sewenang-wenangnya membebaskan golongan ini yang dikenakan Notis Penolakan Masuk (NTL) kerana ia melibatkan isu keselamatan negara namun terdapat pertimbangan berdasarkan rayuan dibuat oleh penjamin.

Mangsa hanya memeriksa maklumat penerbangan pada paparan skrin tanpa mendapatkan pengesahan rasmi apabila orang yang ditunggu tidak kelihatan di balai ketibaan.

> Seramai 22,759 warga asing dikenakan NTL di pintu masuk utama negara di bangunan terminal utama (MTB) KLIA dan Terminal Syarikat Penerbangan Tambang Murah (LCCT) dari Januari 2010 sehingga April 2011.

> Sebanyak 8,539 rayuan dibuat oleh penjamin gagal manakala 840 rayuan diluluskan bagi tempoh Januari 2010 sehingga April 2011.

> Pembatalan NTL atau kelulusan rayuan ditentukan berdasarkan pemadanan keterangan menerusi soal siasat terhadap penjamin dan pelawat asing yang ditahan.

> Permohonan rayuan hanya boleh dilakukan oleh penjamin agar menanggguhkan proses NTL bagi membuktikan tujuan kemasukan pelawat asing adalah tulen.

> Imigresen tidak mengenakan sebarang caj kepada penjamin sekiranya permohonan rayuan pembatalan NTL diluluskan bagi ‘membebaskan’ tahanan.

> Imigresen juga tidak mempunyai kaitan dengan penahanan pelawat asing membabitkan isu membawa masuk sejumlah wang yang tidak diisytiharkan. Ini adalah palsu.

> Bagaimanapun, segelintir masyarakat sebenarnya tidak tahu bagaimana untuk memeriksa dan apakah langkah seterusnya sekiranya berlaku kejadian seumpama itu.

> Orang ramai seharusnya mendapatkan pengesahan terlebih dahulu di Imigresen KLIA yang beroperasi 24 jam bagi memastikan kesahihan maklumat itu.

Hanya menyamar

> Modus operandi penipuan bersindiket melibatkan individu yang mendakwa dirinya sebagai Pegawai Imigresen tidak berlaku di kalangan pegawai.

> Jika benar, Pegawai Imigresen terbabit sudah tentu tidak berani bersemuka dengan mangsa bagi mendapatkan wang yang kononnya untuk kos pembebasan.

> ‘Pegawai Imigresen’ itu sekadar menjadi pengantara bagi mengaburi mangsa dan semakin berani berurusan dengan mangsa secara bersemuka kerana sebelum ini hanya berhubung menerusi panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

> Berdasarkan aduan yang diterima, seorang mangsa pernah berjumpa dengan suspek di KLIA sebagai salah satu cara untuk meyakinkan urusan penipuan mereka.

> Namun perkara ini tidak seharusnya diambil ringan kerana ia melibatkan soal integriti maka pemantauan perlu dilakukan terhadap para pegawai.

> Antara yang dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen adalah pengisytiharan wang dan penyerahan telefon bimbit ketika bertugas di barisan hadapan.

Integriti pegawai

> Imigresen KLIA diiktiraf sebagai Perkhidmatan Imigresen Lapangan Terbang Terbaik Dunia oleh Skytrax, baru-baru ini. Ia merupakan pengiktirafan dua tahun berturut-turut sejak tahun lalu.

> Penipuan bersindiket tidak menjejaskan pengiktirafan kerana ia adalah penilaian berdasarkan tinjauan terhadap kecekapan perkhidmatan Imigresen.

> Pengiktirafan berdasarkan maklum balas daripada 11.38 juta soal selidik melibatkan lebih 100 kewarganegaraan dan 240 lapangan terbang dunia.

> Namun tidak dinafikan ia memberi kesan kepada integriti di kalangan Pegawai Imigresen yang menyebabkan segelintir masyarakat mudah percaya terhadap mereka.

> Kepercayaan terhadap Imigresen adalah baik tetapi jangan sewenang-wenangnya percaya terhadap individu yang mengaku sebagai Pegawai Imigresen.

> Penipuan bersindiket mendekatkan masyarakat dengan Imigresen namun mereka perlu mendapatkan pengesahan secara rasmi agar tidak menjadi mangsa.

> Sebarang aduan atau maklumat, orang ramai boleh menghubungi Pejabat Imigresen KLIA yang beroperasi 24 jam di talian 03-87763681 atau 03-87763679.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: