Thursday, June 2, 2011

Menjejak mangsa culik Mohd Nazarudin Saidin: Dr Abu nama misteri

PERKAMPUNGAN nelayan di Pulau Jolo, Filipina.
PERKAMPUNGAN nelayan di Pulau Jolo, Filipina.
Lelaki dakwa jadi orang tengah dengan pihak penculik di Zamboanga

USAHA menjejaki rakyat Malaysia, Mohd Nazarudin Saidin yang diculik ketika mencari cicak tokek atau gecko di selatan Filipina berjaya menemukan saya dan jurugambar, Datu Ruslan Sulai dengan beberapa orang hubungan di Zamboanga yang kemudian cuba mengatur supaya kami dapat menemui kumpulan penculik itu.

Namun, kami hanya diberikan nombor telefon seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Dr Abu, iaitu suatu yang lazim digunakan kumpulan bersenjata untuk merujuk kepada kumpulan Abu Sayyaf yang dianggap sebagai sayap pergerakan al-Qaeda di Filipina.
Kumpulan penculik yang dipercayai turut dianggotai anggota kumpulan PSP, sebuah kumpulan yang kuat dengan pegangan agama itu dikatakan mempunyai kaitan dengan kumpulan yang diketuai oleh Albahsy Misaya, yang ada kaitan dengan al-Qaeda.
Dalam perbualan itu, Dr Abu enggan membenarkan kami menemui Mohd Nazarudin atau menyatakan lokasi mereka kerana bimbang kami akan membocorkan maklumat kepada pihak berkuasa.

“Cukup untuk anda mengetahui Nazarudin kini berada dalam tangan kami. Beritahu keluarga dia keadaannya baik,” katanya dalam bahasa Inggeris dalam loghat tempatan.

Namun, saya dan penterjemah, Amran Mahalan cuba memujuknya bagi mendapatkan peluang menemui Mohd Nazarudin serta merakam gambarnya, tetapi Dr Abu menyatakan mereka akan mempertimbangkan permintaan itu dan kami mungkin diperlukan membayar kos tertentu untuk bertemu mangsa.

Sebelum itu, beberapa pihak di Zamboanga yang ditemui, memberikan maklumat bahawa Mohd Nazarudin mungkin diculik oleh kumpulan yang diketuai oleh Albahsy Misaya.
Matlamat utama kami menghubungi mereka ialah untuk mengesahkan kenyataan Ketua Superintendan Direktorat Operasi Polis Bersepadu Mindanao Barat, Felicisimo Khu, yang mengesyaki Mohd Nazarudin ditahan di sekitar kampung Barangay, Buansa, Jolo oleh kumpulan itu.

“Berpandukan maklumat risikan tentera, kali terakhir kumpulan itu dikesan ialah di kampung berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, kumpulan yang ditemui tidak dapat mengesahkan maklumat itu kerana mereka juga tidak pasti kebenarannya. Namun, laporan media sebelum ini menyatakan, Alhabsy Misaya ialah salah seorang pemerintah dalam kumpulan Abu Sayyaf dan dikatakan bertanggungjawab melakukan berapa serangan bom di Jolo tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Indanan, Ketua Inspektor Mohammad Khan Kamlon, berkata penculik dipercayai menuntut wang tebusan sebanyak 80 juta peso (kira-kira RM5.6 juta) sebagai tukaran membebaskan tebusan dengan wang pendahuluan yang perlu dibayar sebanyak lima juta peso (RM350,000).

Mohd Nazarudin diculik pada tengah malam 8 Mei lalu, ketika sedang tidur bersama rakannya, Abdul Ghafar Akkirulla di sebuah rumah, di Idanan, Jolo. Mereka ke kawasan berkenaan untuk mencari cicak tokek atau gecko yang mendapat harga tinggi di pasaran gelap.

Bekas isteri Mohd Nazarudin, Mazlina Mohamad, sebelum ini berkata, mangsa ke Filipina untuk mendapatkan cicak untuk dijual kepada pembeli luar, tetapi ditahan lanun ketika di Jolo.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment