Sunday, June 5, 2011

Memang fikir akan mati


PESAWAT Eagle 150B musnah sama sekali setelah terhempas di kawasan sawah padi di Bachok namun juruterbangnya selamat.


HARI itu tidak seperti selalu. Jiwanya serba tak kena dan tekaknya kurang selera. Sesi latihan penerbangan yang akan dilalui pukul 3.30 petang itu tidak memacu adrenalinnya. Sudah enam kali dia menerbangkan pesawat sebelum ini tapi kali ini perasaannya aneh.

Isyarat rasanya pada 9 Mac 2010 itu rupa-rupanya membawa petanda. Pada hari itulah nyawanya dirasakan seperti mahu terbang dari jasad apabila pesawat ringan Eagle 150B yang dikendalikannya terhempas dari ketinggian hampir satu kilometer di kawasan sawah padi di Kampung Tualang Salak, Jelawat, Bachok, Kelantan.

Tuan Ahmad Humaizi Tuan Muhammad Kamal, 29, nyaris maut apabila pesawat ringan yang dikendalikan dengan seliaan jurulatih Kapten M. Ramesh, 29, terhempas pada kejadian pukul 4.40 petang, selepas 70 minit berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa.

Humaizi patah kaki kiri manakala Ramesh terseliuh pada kaki. Kedua-dua mangsa nahas itu dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM). Kubang Kerian.

“Pada masa itu, saya memang fikir akan mati. Tapi, saya kata dalam hati, kalau saya mati hari itu pun saya reda sebab saya dah buat apa yang saya nak buat dalam hidup. Jadi juruterbang memang minat saya sejak kecil lagi,” katanya.

Humaizi ialah Pengerusi Persatuan Belia Juruterbang Malaysia (PBJM) yang juga salah seorang daripada 11 juruterbang muda yang mencipta rekod mengelilingi negara kurang daripada 24 jam menggunakan pesawat ringan, 15 Mei lalu dan disahkan Malaysia Book of Records sempena Himpunan sejuta Belia di Putrajaya baru-baru ini.

Mimpi

Anak kelahiran Kelantan itu menyatakan kejadian terhempas itu berlaku kurang dari tiga minit. Sebaik sahaja pesawat semakin menghampiri sawah padi, Humaizi melihat sawah itu seolah-olah mahu menghentam pesawat kecilnya.

“Apabila pesawat semakin menghampiri daratan, saya mengucap dua kalimah syahadah. Tali pinggang keledar adalah perkara paling mustahak yang saya fikirkan. Pada masa itu, saya ingat keluarga dan kata-kata ibu.

“Ibu saya pernah berkata ‘Walaupun tempat belajar penerbangan ada di banyak negeri tapi eloklah belajar di Kelantan, nanti kalau jadi apa-apa, senang’. Ayat ibu ‘nanti kalau jadi apa-apa, senang’ menerjah ingatan saya,” katanya yang mesra disapa sebagai Mizi.

Humaizi mendedahkan, seminggu sebelum kejadian itu dia sering didatangi mimpi buruk.

“Antaranya saya bermimpi mendarat cemas dekat pantai. Tak sangka ada perkara buruk nak jadi,” katanya.

Mengimbas tentang detik itu, Humaizi berkata, sebelum kejadian, dia dan jurulatihnya sudah habis latihan dan mahu pulang ke lapangan terbang. Namun, disebabkan ada sebuah pesawat penumpang mahu mendarat, mereka diminta mendahulukannya.

Oleh kerana itu, pesawat ringan mereka berlegar-legar dahulu di ruang udara Bachok.

Semasa berlegar-legar, tiba-tiba enjin pesawat ringan itu bergegar. Selepas itu, kipas depan kapal terbang pula tercabut. Lebih teruk lagi, kipas yang tercabut itu kemudian melanggar salah satu sayap menyebabkan sayap itu patah manakala badan pesawat senget.

“Ketika itu, saya jadi kaku apabila melihat bukit iaitu Bukit Marak di depan kami. Jurulatih yang lebih berpengalaman cepat-cepat mengambil alih pemanduan untuk mengelak bukit dan mencari kawasan lapang.

“Detik mencemaskan itu semakin mendebarkan apabila jurulatih saya menjerit meminta tolong kerana alat kawalan dirasakan begitu berat dan memerlukan kudrat dua orang untuk mengendalikannya.

“Apabila semakin mengenai daratan, saya pejamkan mata. Selepas itu, saya dengar bunyi dentuman yang amat kuat.

“Saya cuba mencelikkan mata. Terasa darah di dahi akibat terkena tingkap pesawat. Macam mimpi apabila saya sedari saya masih hidup. Memikirkan pesawat saya kecil, ringan, dan kebinasaan teruk yang dialami pesawat saya, mungkin peluang untuk hidup sangat tipis.

“Apabila kaki saya cuba untuk memijak bumi, saya dapati kaki saya sakit. Ketika itulah saya sedar kaki saya patah,” kata pelatih Asia Pacific Flight Training itu.

Humaizi disahkan patah kaki kiri. Selama tiga bulan berikutnya, dia hidup bersama tongkat sebelum pulih sepenuhnya.

Pengajaran

Diberikan peluang kedua, Humaizi tidak mempersiakannya. Dia segera menubuhkan PBJM selepas pulih. Persatuan itu bertujuan melindungi kebajikan juruterbang muda dan sebagai platform untuk anak muda mengetahui lanjut tentang kerjaya juruterbang.

“Semasa beransur pulih, saya berusaha menghimpunkan semangat dengan mencabar diri untuk kembali berada di ruang udara. Saya merayu kepada pihak akademi untuk mengendali pesawat semula.

“Akhirnya, pada Julai tahun lalu, saya dibenarkan kembali mengendalikan pesawat setelah mendapat pengesahan daripada doktor,” katanya yang akan menamatkan pengajian enam bulan lagi.

Sesungguhnya, cintanya untuk bergelar juruterbang begitu tinggi. Lelaki yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kewangan dari Universiti Multimedia Cyberjaya ini sanggup berhenti kerja sebagai pegawai seranta Felda pada usia 27 tahun demi mengejar impian bergelar juruterbang.

Ditanya apa yang dipelajari daripada peristiwa terhempas itu, dia berkata, tanggungjawab seorang juruterbang sangat besar.

“Sesetengah orang melihat kerjaya juruterbang sebagai menyeronokkan dan hebat, tetapi di sebaliknya, nyawa penumpang berada di tangan mereka.

“Semua juruterbang boleh menerbangkan pesawat namun untuk mengetahui sejauh mana profesionalisme mereka ialah dengan diuji ketika kecemasan,” katanya.

Ada sesuatu yang berubah pada diri Humaizi selepas kejadian itu.

“Dulu, saya tak ambil kisah sangat pasal tali pinggang keledar. Sekarang, naik bas ekspres pun saya pakai tali pinggang keledar. Biarlah orang nak kata saya skema atau apa,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: