Wednesday, June 1, 2011

Maxis terus unggul

Sandip Das
Sandip Das

MAXIS Berhad (Maxis) terus unggul selaku peneraju industri telekomunikasi apabila mencatat jumlah langganan 14.1 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2011.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sandip Das berkata, daripada jumlah itu, 3.3 juta membabitkan langganan pascabayar termasuk jalur lebar tanpa wayar, manakala 10.8 juta lagi prabayar.


“Ini satu pencapaian sangat membanggakan, lebih-lebih lagi berdepan dengan persaingan sengit dalam pasaran,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan prestasi kewangan bagi suku pertama 2011 di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah Maxis, Datuk Mokhzani Mahathir; Ketua Pegawai Operasi, Jean-Pascal van Overbeke dan Ketua Pegawai Kewangan, Nasution Mohamed.


Mengulas lanjut, Sandip berkata, syarikat memperoleh pendapatan sebelum faedah, percukaian, susut nilai dan pelunasan (Ebitda) lebih baik bagi penggal itu dengan catatan RM1.09 bilion, meningkat 0.7 peratus berbanding RM1.082 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.


Katanya, syarikat turut meraih keuntungan selepas cukai agak baik dengan catatan RM540 juta, meskipun sedikit terjejas disebabkan kos kewangan bersih lebih tinggi berikutan langkah syarikat ke arah mengoptimumkan struktur modalnya.

“Berikutan suasana pasaran dalam suku pertama tidak menentu, kami perlu mengambil pelbagai langkah mengoptimumkan margin.


“Sungguhpun perolehan syarikat lebih rendah, kami mencatat margin Ebitda melebihi 50 peratus,” katanya.

Selain itu, syarikat meneruskan momentum pertumbuhan kukuh dalam perolehan bukan suaranya yang menyaksikan perolehan keseluruhan mudah alih melonjak daripada 34.8 peratus dalam suku pertama 2010 kepada 42.1 peratus pada suku pertama tahun ini.


“Pertumbuhan perolehan bukan suara melonjak 22 peratus kepada RM857 juta bagi sukuan semasa, berbanding RM704 juta dalam tempoh sama, tahun lalu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: