|
|
Islam adalah agama yang sentiasa menyuburkan silaturrahim dan perasaan kasih sayang sesama insan. Lebih-lebih lagi apabila saudara seagama ditimpa musibah.
Antara insiden yang menyayat hati ialah tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Jalan Sungai Semungkis, Kampung Gahal, Hulu Langat, Selangor yang mengorbankan 16 nyawa pada 21 Mei lalu.
Sehubungan itu, seramai 20 pegawai dan kakitangan Masjid Negara berkunjung ke Hospital Ampang di Pandan Mewah, Ampang, Selangor dalam Program Lawatan Mahabbah dan Penyampaian Sumbangan Masjid Negara.
Program tahunan itu sejajar dengan bulan Jamadilakhir, selain ia dilaksanakan secara bergilir-gilir di hospital-hospital di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad mengetuai rombongan. Beliau diiringi Timbalan Pengarah Hospital Ampang, Dr. Roosli Mohamed Salleh.
Rombongan turut menziarahi mangsa-mangsa tragedi tanah runtuh di Hulu Langat yang dirawat di Wad 5D, Hospital Ampang.
Syaikh Ismail bersama kakitangan Masjid Negara turut memberikan kata-kata perangsang dan semangat kepada mangsa untuk meneruskan kehidupan kerana apa yang telah berlaku adalah sebahagian daripada ujian Allah SWT.
Objektif utama program itu adalah mengeratkan lagi hubungan antara kakitangan Masjid Negara dengan pegawai dan petugas Hospital Ampang.
Selain itu, ia bagi memupuk budaya bersedekah di kalangan masyarakat bersempena bulan Jamadilakhir yang mulia ini.
Ia juga diharap dapat memberi sedikit sinar keceriaan kepada pesakit-pesakit yang menerima rawatan di hospital tersebut menerusi program lawatan sebegini.
Sempena lawatan itu, ahli rombongan menyerahkan sumbangan hamper makanan, wang tunai, risalah mengenai Islam serta Buku Panduan Solat ketika Sakit keluaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kepada para pesakit di Wad Perubatan (5A dan 5C) dan Wad Pembedahan (6B dan 6C).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: