Tuesday, June 7, 2011

Majalah Wanita raikan ibu tunggal


Ketua Pengarang UKSB, Badrul Azhar Rahman menyerahkan cenderahati kepada Wan Hasmah Wan Mohd. sambil diperhatikan Normala Hamzah (dua dari kiri) pada majlis Hari Ibu anjuran majalah Wanita dan URTV, di Kuala Lumpur baru-baru ini.


KASIH ibu membawa ke syurga, itulah ungkapan yang sering kita dengar berkaitan insan yang bergelar ibu.

Kini bagai sudah menjadi tradisi apabila setiap kali tibanya sambutan Hari Ibu, wanita istimewa itu akan diraikan oleh anak-anak dengan membawa mereka menikmati hidangan makan malam sama ada di hotel mahupun restoran eksklusif.

Baru-baru ini tradisi tersebut diteruskan dengan cara yang tersendiri apabila majalah Wanita terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd. (UKSB) telah meraikan lebih 200 ibu tunggal dan wanita yang kurang bernasib .

Majlis anjuran majalah Wanita dan URTV dengan kerjasama Nu Della Sdn. Bhd. yang diadakan di Hotel Legend itu bertujuan menghargai jasa dan pengorbanan mereka yang bergelar ibu.

Kehadiran mereka bersama kaum keluarga bukan sekadar untuk berhibur tetapi turut mendapat motivasi daripada Dr. Zubaidah Abdullah.

Pengarang Kanan Unit Keluarga UKSB, Normala Hamzah, memberitahu, majlis itu dianjurkan khusus untuk meraikan para ibu kerana jasa dan pengorbanan mereka tidak dapat dinilai.

"Kita sedia maklum tidak semua wanita di negara ini bertuah diraikan oleh anak-anak.

"Istimewanya majlis ini ialah kita turut menjemput beberapa wanita yang kisah mereka pernah disiarkan dalam majalah Wanita menerusi segmen Kongsi Rasa," katanya

Hadir meraikan majlis tersebut ialah Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Wan Hasmah Wan Mohd.

Kehadiran penyanyi cilik Afiq dan Dayana (Idola Kecil) memeriahkan suasana selain persembahan fesyen dari D'eksklusif mengetengahkan fesyen-fesyen Muslimah.

Penyanyi Janji Manismu, Aishah turut menghiburkan para hadirin.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: