Friday, June 24, 2011

Lonjakan RM6.84b

Tan Sri Samsudin Osman
Tan Sri Samsudin Osman

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meneruskan kecemerlangan prestasi menakjubkan apabila merekod pendapatan pelaburan kasar tertinggi setakat ini sebanyak RM24.06 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2010.

Dalam laporan tahunan KWSP bagi 2010 seperti yang dibentangkan di Parlimen semalam, kumpulan itu mencatatkan lonjakan pelaburan kasar sebanyak 39.76 peratus tahun lalu berbanding RM17.22 bilion pada tahun sebelumnya.


Ini membolehkan KWSP mengisytiharkan kadar dividen 5.80 peratus untuk 2010, meningkat 15 mata asas berbanding 2009 selain mencatatkan bayaran dividen tertinggi sebanyak RM21.61 bilion, peningkatan 11.55 peratus daripada RM19.37 bilion yang dibayar untuk tahun sebelumnya. Mengulas keputusan membanggakan itu, Pengerusinya, Tan Sri Samsudin Osman (gambar) berkata, kecemerlangan prestasi kewangan itu diraih hasil pemulihan ekonomi negara ini tahun lalu daripada kegawatan ekonomi dunia pada 2009.

“Daripada sudut kewangan, KWSP memanfaatkan pemulihan pasaran untuk meraih pendapatan kasar tertinggi setakat ini.


“Bagi sudut operasi pula, kumpulan terus memantapkan asas kukuh sedia ada untuk meningkatkan lagi kecekapan operasi, menepati sasaran prestasi utama serta meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan pelanggan,” katanya pada satu kenyataan media di Kuala Lumpur, semalam.


Beliau berkata, sungguhpun begitu, KWSP mengekalkan strategi berhemah dan memperuntukkan sebahagian besar pelaburan pada tahun 2010 dalam aset pendapatan tetap.

“Sebagai kumpulan yang mengelolakan tabung persaraan, KWSP tetap berhati-hati dan melabur sebahagian besar pelaburan tahun lalu ke dalam aset pendapatan tetap antaranya membabitkan pelaburan dalam pinjaman dan bon sebanyak 32.38 peratus; Sekuriti Kerajaan Malaysia (26.9 peratus) dan instrumen pasaran wang (5.45 peratus).


“Ekuiti muncul kelas aset terbesar merangkumi satu pertiga atau 34.85 peratus daripada jumlah aset, manakala 0.42 peratus dilabur dalam sektor hartanah,” katanya.Untuk masa depan, Samsudin berkata, pihaknya akan terus berusaha mengungguli pasaran dengan pendekatan berhati-hati serta memantau pasaran global dan tempatan.


“Objektif utama KWSP adalah untuk meningkatkan simpanan persaraan pencarum dan memastikan pulangan yang memuaskan. KWSP menjangka persekitaran pelaburan akan terus mencabar pada 2011, terutama selepas pencapaian pada 2010,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: