Tuesday, June 14, 2011

Kulinari Barat air tangan sendiri


SETIAP resipi dalam buku ini mengandungi penerangan tentang nutrisi.


SEKIRANYA anda menjengah mana-mana toko buku popular di negara ini, buku-buku masakan makanan Barat sememangnya bertimbun. Namun, ramai yang berdepan dengan masalah apabila ramuan-ramuan yang dicadangkan sukar didapati di negara kita.

Melihat kepada permasalahan itu, seorang tukang masak yang berasal dari Johor, Chef Haris Amir Jais, 27, mengambil inisiatif mentransformasikan masakan Barat yang popular kepada selera Malaysia dalam sebuah buku.

Bukan itu saja, Haris melakukan beberapa eksperimen dengan mengolah bahan-bahan tertentu dalam masakan yang sukar ditemui di pasar raya dengan bahan-bahan yang lebih mudah dicari.

Bahan-bahan yang ditukar itu dijual pada harga yang murah seperti menggantikan ikan kod dengan ikan merah.

“Anda juga boleh menukarkan wain putih yang tidak halal dengan epal cider selain saya menggantikan sayuran yellow squash dengan lobak merah muda untuk hidangan tertentu,” ujarnya yang menghasilkan buku sulungnya yang bertajuk Masakan Barat Di Rumah.

Beliau mengambil masa selama enam bulan untuk menyiapkan karya itu sambil dibantu oleh chef-chef yang berpengalaman.

Graduan dari Institut Teknologi Tun Abdul Razak dalam bidang Diploma Kulinari itu memberitahu, karya tersebut dihasilkan adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada suri rumah mencuba lebih 30 jenis makanan ala Barat dengan cara yang lebih mudah.

Haris membahagikan masakan-masakannya kepada jenis jus dan stok, makanan laut, salad, ayam, daging, sup dan pasta.

Sebagai permulaan, buku itu secara langsung akan memperkenalkan kepada pembaca terlebih dulu bahan-bahan asas untuk memasak menu Barat.

Antaranya ialah daun rosemary (selalu digunakan untuk memasak stew), marjoram (digunakan dalam masakan berempah), daun bay (digunakan dalam sup, daging dan hidangan laut), kulit kayu manis dan banyak lagi.

Menyentuh tentang cara penyediaan, Haris tidak memberi panduan secara panjang lebar.

“Saya tidak berbuat demikian kerana cara pembuatannya memang senang dan saya percaya cubaan pertama pembaca terhadap satu-satu menu, insy-Allah akan menjadi,” katanya yang mempunyai kepakaran khusus dalam masakan Barat dan mempunyai lapan tahun pengalaman dalam bidang itu.

Lebih menarik lagi hasil karya anak muda itu ialah gubahan menu pencuci mulutnya. Untuk kategori itu, terdapat enam resipi yang dikongsi bersama. Antaranya ialah mango mousse yang diubah suai dan hanya menggunakan serbuk agar-agar, gula, krim putar, telur, sebiji mangga, kacang dan sedikit pewarna.

Dalam pada itu, Haris turut menyelitkan info tambahan atau peringatan kepada pembaca dalam menyiapkan satu-satu masakan.

Sebagai contoh, dalam buku itu, beliau mengingatkan bahawa resipi mango mousse, anda seharunya menyejukkan moussenya selama enam jam sebelum dihidangkan.

Bukan untuk menu itu saja, setiap paparan resipi akan disertakan dengan info tambahan yang sangat berguna kepada pembaca yang ingin mencuba.

Menyentuh tentang nutrisi makanan dalam sajiannya, chef yang bertugas di Hotel Micasa itu memberitahu: “Setiap resipi dalam buku ini mengandungi nutrisi makanan yang seimbang, setiap satu hidangan juga mempunyai serat dan zat yang bersesuaian.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: