ADA sesuatu yang menyengat, tajam dan berbisa menusuk kalbu apabila orang lama kembali gagah. Tanpa perlu berkira-kira tentang estetika dalam roh seni yang diperjuangkan, semangat mereka yang enggan pudar serta tidak pernah mati itu yang harus dikagumi.
Mereka bangkit bukan untuk terus dijulang seperti pada era kegemilangan tetapi meneruskan legasi yang masih berbukit impaknya di mata umum.
Nama-nama seperti D’lloyd, Sweet Charity, Ramli Sarip, Blues Gang, Alleycats bahkan Wings dan Search bukanlah hiburan anak-anak muda yang baru mengenal muzik, bukan juga kepada pencinta ribut K-Pop yang sedang melanda jiwa remaja.
Mereka juga tidak berhajat untuk menyerang peminat muzik generasi baru.
Tetapi harus diingat, apabila orang lama kembali memetik gitar, memukul dram dan mengaumkan vokal yang pernah menggegar negara, pasti banyak jiwa akan meronta untuk kembali ke momen nostalgia.
Baru-baru ini juga, Muzikal Kenangan Mengusik Jiwa menampilkan pelantun sebenar irama 60-an seperti Hussin Ismail, A. Halim, L. Ramlee, Fatimah M. Amin, J. Sham dan Datuk Ahmad Jais sebagai daya tarikan dalam teater muzikal yang menampilkan artis baru sebagai pemain utamanya itu.
Akan datang, gegaran lebih terasa apabila tiga nama besar Ramli Sarip, Blues Gang dan Alleycats mengumumkan konsert besar yang bakal mereka adakan.
2 RAKSASA 2011
Artis: Sweet Charity vs Blues Gang
Tarikh: 9 Julai 2011
Lokasi: Stadium Merdeka
Dua grup dengan nama cukup gah dan perkasa bakal menggegarkan lapangan Stadium Merdeka.
Lama tidak keluar dengan produk mahupun persembahan berskala besar, ini adalah masa yang tepat buat Sweet Charity dan Blues Gang menghembuskan lagu-lagu popular dan bertenaga mereka buat nyanyian bersama khalayak.
Ujar Ito, sang vokalis mewakili Blues Gang, mereka akan menyanyikan lagu malar segar kegemaran ramai tetapi disuntik dengan nafas baru.
“Pada Konsert 2 Raksasa 2011 kelak, kami akan menyanyikan sekurang-kurangnya 10 buah lagu, termasuklah lagu wajib seperti Mak Siti, Apo Nak Dikato, Khatulistiwa dan Oh Mama, Saya Mahu Kahwin,” ujarnya mewakili anggota yang lain iaitu Julian Mokhtar (gitar), Ghani Abu Talib (keyboard), Jim Madasamy (bass) dan Shaik Karim (dram) serta seorang anggota baru iaitu Azizi Isnin (gitar).
Buat vokalis Sweet Charity yang sekali gus digelar Papa Rock, Ramli Sarip, konsert itu punya momen tersendiri buat mereka. Ini adalah tahun ke-27 mereka mengadakan konsert sejak konsert pertama pada tahun 1984.
“Konsert 2 Raksasa 2011 merupakan kesinambungan konsert pertama kami yang diadakan pada tahun 1984.
“Konsert ini bakal mengembalikan nostalgia dan mengubat kerinduan peminat Blues Gang dan Sweet Charity yang bukan sahaja terdiri daripada golongan lama tetapi juga muda,” kata Ramli pada sidang media Konsert 2 Raksasa 2011 di Kuala Lumpur.
Yakin genre rock dan blues boleh disatukan di atas satu pentas, Ramli juga merasakan ia bakal menjadi kenangan terindah buat penyokong mereka selama ini.
“Ia bakal menjadi sejarah. Saya teringat ketika Konsert Raksasa pada tahun 1984, banyak dugaan yang kami tempuhi dan ia menjadikannya satu memori yang sangat istimewa,” ujar Ramli mewakili Rosli Mohalim (gitar), Ahmad Jaafar (keyboard) dan Rahman Sarbani (dram).
“Sweet Charity akan mempersembahkan lagu-lagu wajib seperti Teratai dan Kamelia kerana ia adalah permintaan daripada peminat sendiri.
“Tidak akan ada gimik yang dilakukan, tetapi daripada 20 buah lagu yang akan kami persembahkan, terdapat enam buah lagu yang jarang dinyanyikan dalam persembahan sebelum ini,” ujarnya.
Mengulas tentang energi untuk mengawal sebuah konsert berskala besar, ini bukan masalah buat jentera-jentera muzik hebat ini.
“Rasanya tidak timbul masalah tentang stamina kerana kami menyanyi menggunakan teknik tertentu dan bukan menggunakan kudrat.
“Biarpun kami sudah agak lama tidak muncul di televisyen tetapi kami masih aktif sebagai penyanyi. Kami mampu melakukannya,” ujar Ito atau nama sebenarnya Mohd. Arid Kedut.
Tiket konsert yang dianjurkan oleh Netzah Productions Sdn. Bhd. itu dijual pada harga RM73 dan boleh didapati di laman web www.airasiaredtix.com.
Sebarang pertanyaan, hubungi 03-8775 4666 atau semua cawangan Redtix di Rock Corner dan Victoria Music.
ALLEYCATS SAMPAIKAN SALAM
Artis: Alleycats
Tarikh: 16 hingga 18 September 2011
Lokasi: Istana Budaya
Sudah 43 tahun Alleycats bersenandung dalam industri seni tanah air. Dalam usia mencecah empat dekad itu, grup ini merupakan pemuzik bukan Melayu yang paling berjaya memikat hati pendengar Melayu.
Kali ini mereka bakal bersenandung lagi membawakan lagu-lagu mereka yang terpahat jelas di minda pencinta mereka. Sebelum ini, mereka mengadakan Konsert Senandung Semalam Bersama Alleycats di Istana Budaya pada tahun 2007.
Jika dikenang kembali, konsert amal lalu diadakan bagi memberi penghormatan kepada Loganathan, anggota kumpulan Alleycats yang meninggal dunia akibat barah paru-paru pada Jun 2007 selain mengisi dana Yayasan Paru-paru Malaysia.
Tanda tarikh 16 hingga 18 September ini kerana Alleycats bakal muncul kembali.
“Ini kali keempat kami mengadakan konsert tanpa Loga. Masih rasa asing sebenarnya. Konsert ini adalah sempena ulang tahun ke-43 kami dalam dunia hiburan sekali gus sebuah tribut buat Loga juga,” ujar David yang menyatakan bahawa ini merupakan kali pertama mereka berkolaborasi dengan orkestra tradisional.
Dalam konsert 90 minit ini, anak Loga iaitu Priyadashini, 24, bakal menyanyikan lagu-lagu bapanya. Sebuah peringatan buat sang ayah yang telah pergi pada Jun 2007.
Membuktikan jiwa kental mereka sebagai anak Malaysia, grup ini bakal membawakan lagu-lagu dalam bahasa Inggeris, India, Cina dan Melayu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: