Tuesday, June 7, 2011

Kongsi kemudahan


Datuk Seri Idris Jala
Datuk Seri Idris Jala

SYARIKAT minyak dan gas perlu mengadakan lebih banyak usaha sama sesama sendiri kerana ia boleh menjimatkan kos, sekali gus membolehkan mereka menurunkan harga produk bahan api ke paras lebih rendah dan meringankan beban pengguna.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Datuk Seri Idris Jala berkata, terdapat banyak ruang untuk pemain industri berkenaan menjalinkan kerjasama antaranya melalui perkongsian tempat simpanan atau kemudahan.


“Sektor minyak dan gas harus menjalani pembaharuan struktur untuk mengekalkan harga bahan api pada paras rendah yang dapat memberi manfaat bukan saja kepada pelanggan, malah peserta industri.

“Peserta industri juga perlu menjalin kerjasama pada tahap sama rata dan pada masa sama mengekalkan persaingan,” katanya dalam ucapan khas pada Persidangan Minyak dan Gas Asia ke-16 di Kuala Lumpur, semalam.


Persidangan itu dirasmikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petroliam Nasional Berhad (Petronas), Datuk Shamsul Azhar Abbas.


Dalam perkembangan lain, Idris berkata, antara cabaran terbesar untuk mengurangkan hutang kerajaan ialah dengan mengurangkan subsidi.

“Apabila kerajaan meminjam wang untuk pelaburan, ia merangsang pertumbuhan. Bagaimanapun, sekiranya pinjaman untuk bagi perbelanjaan operasi ia akan menjejaskan negara.


“Subsidi akan memberi kesan kepada perbelanjaan kerajaan dan sekiranya hutang meningkat kepada lebih 50 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara ditambah dengan defisit lebih 10 peratus daripada KDNK, kerajaan akan terjejas seperti yang berlaku kepada Greece,” katanya.

Sementara itu, Shamsul Azhar berkata, harga minyak mentah patut berada pada paras antara AS$75 (RM225) hingga AS$80 (RM240) setong.


“Harga mentah utama kini tiga kali ganda berbanding penanda arasnya dengan peningkatan lebih AS$25 (RM75) setong dalam tempoh hanya beberapa bulan.


“Harga memainkan peranan penting dalam keputusan peruntukan sumber pengguna dan pengeluar, tetapi ia turut dipengaruhi tindakan bank pusat dan spekulator kewangan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: