Thursday, June 16, 2011

Kisah penyanyi legenda Perancis


PENULIS biografi No Regrets: Edith Piaf, Burke, menunjukkan bukunya sempena Festival Penulis Sydney pada Mei lalu.


SEBUAH buku biografi mengenai penyanyi legenda Perancis, Edith Piaf yang diterbitkan baru-baru ini mendedahkan lebih banyak kisah hidupnya sebelum menjadi bintang terkenal.

Pendedahan itu termasuk mengenai rasa kerinduan dirinya untuk berpuisi dan falsafah hidupnya sebagai seorang gadis yang cuba mengatasi kehidupan yang sukar.

Penulis buku itu, Carolyn Burke berkata, buku biografi tersebut yang bertajuk, No Regrets - The Life of Edith Piaf cuba menyingkap lebih dalam mengenai kisah awal kehidupannya sebagai orang miskin.

Seterusnya mengundang penilaian semula masyarakat mengenai seorang penyanyi terkenal awal abad ke-20 itu.

"Kita dapatkan kisah Piaf semasa muda dan tidak dikenali," kata penulis buku kelahiran Australia itu.

Buku tulisan Burke merupakan antara penulisan pertama yang melakarkan lebih daripada 100 pucuk surat yang ditulis oleh Piaf ketika muda kepada salah seorang mentornya, Jacques Bourgeat.

Buku itu ditempatkan di Perpustakaan Kebangsaan Perancis dan hanya kebelakangan ini dibuka untuk penelitian.

"Surat-surat itu menjelaskan mengenai aspek-aspek diri Piaf yang kita tidak pernah tahu.

Plato

"Anda akan lihat kesungguhannya terhadap pendidikan bagi membaiki dirinya. Kita belajar mengenai pembangunan emosi dan spiritual dirinya yang mempunyai keinginan yang tinggi untuk mempelajari puisi dan falsafah," jelas Burke.

Burke berkata, surat-surat itu mendedahkan mengenai kelembutan Piaf pada usia pertengahan, penulisan puisi Bourgeat yang mengarahkan wanita muda yang kurang pendidikan ekoran kesempitan hidup tentang apa yang perlu dibaca dan bagaimana mahu meningkatkan bahasa Perancis.

"Selain itu, dia turut membaca Baudelaire, Rimbaud dan Plato. Dia juga bersungguh-sungguh untuk mengetahui mengenainya.

"Saya duduk di sana sambil membaca tulisan tangan Piaf. Melihat kesilapan ejaan dan tatabahasa tulisannya. Dia berkata-kata mengenai perkara yang disukainya.

"Adakah saya melakukan yang terbaik? Adakah ini surat yang terbaik? Mentornya cuba membantu Piaf belajar bahasa Perancis dengan baik. Ia sangat penting untuk mengetahui mengenainya," katanya.

Piaf dan Bourgeat saling berkirim surat sejak 25 tahun lalu dan Burke percaya surat-surat itu menyediakan sumber maklumat terbaik untuk diteliti mengenai siapa Piaf.

Piaf mula menulis lirik pendek selepas berjumpa dengan Bourgeat di sebuah kelab malam di Paris. Burke percaya dengan bantuan Bourgeat, Piaf mempunyai keyakinan dan pengalaman dengan bahasa untuk menjadi seorang penulis lirik.

"Sebagai seorang wanita yang tiada pendidikan, tiada latar belakang yang baik dan tiada apa-apa langsung malah keluarganya berasal dari kelas bawahan.

"Bagaimana dia berusaha untuk melakukan yang terbaik untuk orang lain. Ia sesuatu yang menarik bagi saya," katanya.

Hampir 50 tahun selepas kematian Piaf pada usia 47 tahun, dia masih menjadi satu pengaruh budaya yang mengagumkan. Dia menjadi inspirasi kepada penyanyi seperti Martha Wainwright dan Lady Gaga selain mempunyai peminat setia di seluruh dunia.

Kajian Burke membawanya kepada penemuan beberapa orang peminat seperti pengumpul barangan yang berkaitan dengan Piaf.

Antaranya, pakaian hitam signatur Piaf, rakaman lama lagu nyanyiannya dan beberapa rakaman video peribadi rakan-rakannya.

Dia memahami kesungguhan mereka yang terpesona dengan keindahan bahasa dan kuasa suara Piaf apabila mula-mula mendengar nyanyiannya di radio semasa menjadi pelajar di Paris.

Perang


KUASA suara Piaf masih diingati oleh para peminatnya hingga ke hari ini.


Hasilnya sebuah biografi diterbitkan yang dikritik hebat kerana terlalu baik terhadap Piaf yang terkenal dengan banyak teman lelaki, berkawan dengan gengster dan ketagihan ubat tahan sakit pada akhir tahun hidupnya.

Burke berkata, bukunya itu bukan menutup kesalahan Piaf tapi sudah tiba masanya untuk memberi penilaian yang baik mengenai Piaf.

"Masalahnya ialah rakyat mempunyai banyak tanggapan stereotaip tentang penghibur yang ada khususnya Piaf. Orang beranggapan, 'Oh, kami tahu yang itu ialah - seorang budak miskin terbiar yang memusnahkan diri'.

"Buku saya pula di laluan lain sepenuhnya yang menunjukkan betapa kreatifnya dia dan bagaimana dia membentuk dirinya sebelum ini sebagai legenda," katanya.

Burke cuba menggambarkan pengalaman Piaf dalam Perang Dunia Kedua tentang bagaimana dia membantu melindungi rakan-rakan Yahudi, membantu merancang banduan melarikan diri dan menyanyi beberapa lagu tulisan seorang Yahudi yang bertentangan dengan arahan penjajah Jerman.

Adakala hidupnya seperti rekaan. Bapanya adalah seorang ahli peliuk badan. Ibunya seorang penyanyi yang telah mengabaikan Piaf semasa kecil dan menjadi penagih dadah.

Kehidupan awal kanak-kanak Piaf dibesarkan di rumah keluarga bapanya seumpama rumah pelacuran.

Burke berkata, kebanyakan tulisan mengenai Piaf sebelum ini dibesar-besarkan atau kerana dendam.

"Umpamanya cerita mengenai jual beli ubat. Perkara itu semuanya adalah preskripsi ubat yang diambil untuk menangani sakitnya yang kronik.

"Kesakitan itu terjadi daripada beberapa kejadian kemalangan jalan raya. Apa yang diambilnya mendapat nasihat doktor untuk membolehkannya terus menyanyi," katanya.

Burke ingin mengingatkan dunia dan Perancis bahawa Piaf merupakan seorang penghibur yang mempunyai banyak kreativiti, keberanian dan ketahanan walaupun mengalami keadaan sukar dan masalah peribadi.

"Saya jelaskan bahawa dia seorang yang tegas dan dia akan mengarahkan pengiringnya melakukan perkara seperti yang dikehendakinya.

"Mereka perlu makan makanan yang sama setiap malam selama seminggu jika itu yang dia mahukan. Mereka juga perlu bangun pada awal pukul 4 pagi jika dikejutkannya," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: