Saturday, June 18, 2011

Kaca mata hitam serlah personaliti

MENARIK...kaca mata Original Levi’s 501 edisi terhad tampilkan rekaan aviator dan wayfarer sambil disertakan fon kepala rona putih.
MENARIK...kaca mata Original Levi’s 501 edisi terhad tampilkan rekaan aviator dan wayfarer sambil disertakan fon kepala rona putih.

ANDAI perhatian yang diinginkan dan suka pada glamor, sepasang kaca mata hitam besar yang sering digayakan barisan selebriti dunia sudah cukup untuk melengkapkan penampilan anda.

Sememangnya fungsi kaca mata hitam era ini tidak lagi sekadar melindungi mata daripada panahan mentari. Kaca mata hitam kini menjadi keperluan dalam berfesyen malah sebahagian daripada kehidupan kita, meskipun kadangkala digayakan tidak kena pada tempatnya.

Berdasarkan sejarah, pemakaian kaca mata gelap ini mula dijadikan aksesori fesyen sekitar 1940-an, terutama di pantai dan ia kemudian dipopularkan selebriti serta pelakon di Hollywood sebagai salah satu cara untuk melindungi identiti mereka daripada gangguan paparazi.

Bagaimanapun, seiring dengan peredaran masa, pemakaian kaca mata hitam dalam era ini ibarat mewakili personaliti diri, gaya serta mampu mengubah sebarang busana untuk suntikan lebih anggun.


Dengan pelbagai bentuk direka untuk lelaki, wanita atau kedua-duanya, sepasang kaca mata hitam sudah memadai untuk tampil lebih bergaya tanpa perlu berbelanja besar.


Kaca mata hitam jenis aviator misalnya, menjadi antara pilihan menarik kerana gaya klasik yang ditampilkan terutama pada bentuk seperti titisan air mata dengan rangka logam nipis.

Golongan lelaki khususnya, lebih menggemari kaca mata jenis ini kerana gayanya yang tampak maskulin dan ringkas.

Asalnya, kaca mata aviator ini diperkenalkan untuk kegunaan juruterbang tentera Amerika Syarikat pada 1936. Bagaimanapun, ia mula mendapat sambutan di kalangan masyarakat umum pada lewat 1960-an apabila ramai remaja meminatinya.

Populariti itu makin hebat pada lewat 1980-an selepas sering digayakan bintang terkenal seperti Michael Jackson dan Tom Cruise dalam filem Top Gun.

Namun, ramai antara kita yang hanya mementingkan bentuk rekaan satu-satu rekaan kaca mata itu berbanding keselesaan, keselamatan serta kesesuaiannya dengan bentuk wajah.

Anda mungkin peminat kaca mata hitam aviator dan bangga menggayakannya sedangkan wajah anda berbentuk bulat atau bersegi. Wajah anda berbentuk hati tetapi sering memilih kaca mata hitam kecil yang membuatkan rahang kelihatan lebih panjang dan terlalu menonjol.

Pengarah Eyewear Creations (M) Sdn Bhd, Derrick Hoo, berkata majoriti antara kita lebih suka memilih kaca mata hitam berdasarkan faktor luaran tanpa memikirkan aspek lain.

"Biasanya perkara pertama yang kita lihat apabila memilih kaca mata hitam ialah bentuk, rekaan, warna serta logo jenamanya. Jarang pula yang memilihnya disebabkan kelebihan lain seperti lapisan perlindungan sinaran ultraungu (UV) A dan UVB, pad hidung, ketebalan bingkai serta panjang cangkuk telinganya.

"Jadi, masalah akan timbul selepas beberapa kali memakainya kerana kita hanya memberi tumpuan kepada aspek luaran hingga akhirnya boleh memudaratkan mata dan merosakkan kaca mata itu," katanya.

Justeru, beliau menyarankan pengguna mementingkan dua perkara utama sebelum membeli kaca mata hitam bagi mengelakkan rasa kesal dan tidak selesa.

"Pertama, kaca mata - baik hitam atau biasa - perlu terletak elok di atas hidung, tidak melurut ke bawah atau terlalu tinggi. Ia juga menutup kening dan pastikan bingkai bawahnya tidak menyentuh pipi.

"Kedua, cari kaca mata yang mempunyai pad hidung boleh laras bagi membolehkan kita mengubah kedudukannya pada hidung, sekali gus memberi keselesaan ketika memakainya.

"Jika kaca mata pilihan anda itu mempunyai pad hidung tetap, pilih pad hidung yang sedikit rendah kerana ia lebih sesuai untuk wajah orang Asia yang rata-rata mempunyai batang hidung yang rendah dan besar dengan jarak antara hidung lebih luas berbanding orang Barat," ujarnya.

Koleksi musim bunga dan panas M Missoni, Signature Psychedelica, adalah antara himpunan kaca mata hitam yang direka menepati bentuk wajah masyarakat Asia, di mana ia menampilkan ciri-ciri keselesaan serta menarik digayakan.

Berteraskan gabungan palet warna ceria, corak geometri dan cahaya, rekaan Missoni mencerminkan kehangatan serta semangat wanita moden yang mencintai kehidupan.

Pusaran rona terang jelas menyerap rekaan ranggi gaya era 60-an yang penuh bertenaga menerusi tiga modelnya - Cruise, Zig Zag dan Wave - dengan 12 pilihan warna bagi setiap satu model.

Bagi peminat muzik pula, kaca mata Original Levi's 501 edisi terhad hadir meraikan rock 'n roll dengan rekaan aviator dan wayfarer. Setiap rekaan itu menampilkan empat variasi warna dan setiap kotak disertakan fon kepala putih bercetak logo Levi's.

Namun, hanya 200 set saja dipasarkan di Malaysia pada harga RM428 sepasang. Semua kaca mata hitam ini sudah berada di pasaran dan boleh didapati di pusat optikal utama seluruh negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: