Friday, June 17, 2011

Jozan ‘mengganas’


JOZAN sukses dalam membuktikan kehebatan mereka.


JOZAN terus mengungguli gelanggang Maharaja Lawak pada saingan minggu ke-11 dengan meraih sorakan dan ketawa penonton paling gemuruh.

Berlangsung di Dewan Jubli Perak di Kuantan, Pahang, gandingan mantap Johan dan Zizan menggamatkan suasana dengan ketawa penonton yang tidak kering gusi melihat aksi-aksi mereka.

Berkonsepkan prop, persembahan Jozan malam itu nyata menghidupkan karakter yang dibawa sekali gus mendapat pujian daripada juri Ahmad Idham, Saiful Apek dan Mamat Khalid.

Ahmad Idham menyifatkan persembahan yang dilakukan Jozan adalah terbaik dan gandingan itu mungkin melayakkan diri mereka ke pusingan akhir sekiranya mengekalkan momentum sedia ada.

Sementara itu, untuk persembahan kedua, mereka terus menggamatkan suasana penonton dengan aksi lawak bersahaja menggunakan dua barang yang diberikan iaitu mesin penyedut hampagas dan sekaki tongkat.

Untuk persembahan itu pula, Mamat Khalid melalui komennya berkata, Jozan dapat menggunakan barang-barang tersebut dengan ekspresi penuh komedi untuk menghiburkan penonton.

“Idea yang Jozan tampilkan sangat kreatif dan penonton benar-benar terhibur dan berpuas hati dengan persembahan Jozan,” katanya lagi.

Pujian melambung yang diterima Jozan pada minggu ke-11 itu memberi kelebihan kepada Johan dan Zizan menguasai gelanggang Maharaja Lawak apabila mereka memperolehi markah tertinggi dengan 62 peratus undian.

Markah diterima Jozan pada minggu lalu juga lebih tinggi berbanding saingan di Pulau Pinang pada minggu sebelumnya iaitu 55 peratus.


BARISAN peserta yang terus bersaing dalam Maharaja Lawak.


Kedudukan selepas persembahan di Kuantan pula diikuti Sepah (55 peratus), Nabil (54 peratus), Jambu (51 peratus) dan seperti biasa R2 yang terpaksa berpuas hati dengan kedudukan tercorot melalui 33 peratus undian sahaja.

Persembahan Jambu dan R2 pada minggu lalu juga sedikit mengecewakan di kalangan sebilangan penonton yang tidak begitu berasa geli hati dengan aksi-aksi mereka.

Namun, Jambu bernasib baik apabila aksi Yus dalam persembahan pertama berjaya mencuit hati para penonton dan bagaimanapun aksi gandingan itu bertukar hambar dalam persembahan kedua.

“Persembahan Jambu agak biasa dan perlu lebih kreatif serta lebih mencabar. Persembahan kedua pula agak hambar dan kurang menghiburkan, namun bernasib baik kerana penonton tetap bersorak,” kata Mamat Khalid dalam komennya.

Pengurus Saluran Astro Warna, Nizam Sani berkata, setiap minggu pihaknya akan memberi kejutan yang dirancang buat penonton sebelum pertandingan akhir pada 24 Jun ini.

“Minggu ini pun tiada penyingkiran dilakukan, oleh itu para peserta masih mempunyai peluang untuk membaiki serta memantapkan lagi persembahan masing-masing.

“Inilah format Maharaja Lawak yang selalu memberikan kejutan buat penonton dan termasuk para pesertanya bagi memastikan ia sentiasa menarik dan terhibur,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: