Thursday, June 2, 2011

Jambu unggul, Balas tersingkir


BALAS terpaksa akur meninggalkan gelanggang Maharaja Lawak apabila mendapat undian terendah.


KUMPULAN Jambu terus mengungguli gelanggang Maharaja Lawak (ML) pada saingan minggu kesembilan rancangan realiti televisyen (TV) itu Jumaat lalu.

Lawak yang disampaikan oleh gabungan Yusri Edoo (Yus) dan Zamaratul Amri Zakaria (Tauke) berjaya menggamatkan suasana studio Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Klang, malam itu.

Gandingan bersama Acong Sweetchild pada persembahan mereka malam itu nyata menghidupkan karakter mereka sekali gus mendapat pujian daripada ketiga-tiga juri tetap rancangan berkenaan iaitu Ahmad Idham, Saiful Apek dan Mamat Khalid.

Mamat Khalid dalam komennya berkata, persembahan yang dilakukan Jambu menarik kesemua juri untuk memberikan komen dan itu merupakan satu petanda baik.

"Jambu telah berjaya memecahkan sempadan bahasa dalam melawak di mana kita tidak perlukan batas-batas bahasa dalam lawak.

"Persembahan malam ini tetap internasional," komen Mamat.

Pujian melambung untuk kumpulan Jambu. Manakala Balas menerima komen yang berbeza dan tidak memihak langsung kepada mereka.

Gandingan bersama Bell Ngasri nyata tidak membantu Balas untuk meraih undian sekali gus memanjangkan hayat mereka berentap dalam program realiti tersebut.

Bagaikan sudah menjangka langkah mereka akan terhenti pada malam itu, Balas tidak terkejut tatkala diumumkan tersingkir daripada pertandingan.

"Kami sudah menjangkakan akan tersingkir pada minggu ini. Maklumlah sudah di akhir-akhir pertandingan, peserta yang ada merupakan yang terbaik.

"Apalah sangat kami ini jika dibandingkan dengan Jambu, Jozan, Sepah dan Nabil. Mereka sudah boleh dianggap sebagai otai sedangkan kami masih lagi baru," ujar Balas ketika ditemui selepas rancangan ML lalu.

Dalam saingan minggu kesembilan itu Jambu menperolehi 56 peratus undian diikuti oleh Jozan (53 peratus), Nabil (52 peratus), Sepah (49 peratus), R2 (40 peratus) dan Balas (35 peratus).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: