Thursday, June 9, 2011

Impak watak Halimah

pix_middle
SHEERA...seksi jangan melampau.
SHEERA...seksi jangan melampau.

DIA menganggap kontroversinya dengan produser drama bersiri Halimah Jongang, A Aida sudah pun reda. Pelakon Sheera Iskandar akui tidak ingin memanjangkan lagi isu berkenaan.

Kini, sampai masanya, Sheera atau nama sebenarnya, Tengku Shaheera Ilani Tengku Iskandar, 25, memberi fokus kepada karier lakonannya sekali gus mengukuhkan lagi namanya.

“Saya juga tidak mahu memikirkan kontroversi itu lagi kerana sampai sekarang ia senyap begitu saja. Saya akui terbabit dalam tiga musim dalam drama bersiri Halimah Jongang dan karakter Halimah sudah sebati dengan saya.

“Saya tak sangka apabila lakonan saya sebagai Halimah berakhir seperti itu. Saya tidak mahu lagi mengulas lanjut dan mahu lihat ke depan,” katanya.


Pada masa sama, anak pelakon veteran Aznah Hamid ini juga ingin mempelbagaikan lagi karakter lakonannya.


“Sebelum ini, orang memanggil saya Diana gara-gara lakonan saya dalam siri Janji Diana dulu. Peminat di Singapura pula memanggil saya Shirin yang juga watak saya dalam siri Si Capik.

“Apabila saya berlakon dalam Halimah Jongang, ke mana saja saya pergi orang memanggil saya Halimah. Semuanya gara-gara impak watak itu.

“Justeru, setiap kali dapat tawaran berlakon, saya pastikan setiap watak diserahkan ada kelainan dan memberi kesan kepada penonton,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, hubungan Sheera dan pelakon veteran dalam drama bersiri juga seperti keluarga besarnya.

“Saya sangat rapat dengan dua pelakon veteran iaitu A Galak dan Allahyarham Mahyon Ismail kerana kami sama-sama berlakon dalam drama Janji Diana dulu.

“Malah, saya juga memanggil A Galak datuk dan arwah pula ‘Mak Mahyon’ kerana kami memang rapat. Terus terang, saya terkejut apabila dapat tahu Mak Mahyon meninggal dunia kerana ketika itu saya berada di Singapura. Saya juga cukup terasa pemergiannya dalam bidang seni,” katanya.

Drama terbaru lakonannya Sheera adalah siri 20 episod Ahmad Albob Yang Punya dalam slot lagenda di TV3. Selain itu, dia muncul dalam telefilem Alin Ke Elin? (RTM) serta Ipar Ku Diva di Astro Warna (Saluran 132).

Terbaru, Sheera juga dilantik menjadi ikon selebriti untuk kempen derma darah di Pusat Darah Negara, awal tahun ini (Januari). Ternyata Sheera semakin laris.

Saya terpanggil untuk menjadi ikon untuk kempen derma darah kerana ingin memberi kesedaran kepada orang ramai terutama daripada kalangan artis mengenai kepentingan derma darah. Mungkin ramai tidak tahu, satu tiub darah juga boleh menyelamatkan lima nyawa.

“Sebagai individu, saya ingin beri sesuatu kepada orang yang memerlukan di luar sana. Saya tidak rasa takut untuk menderma darah kerana selepas sekali derma kita ingin menderma lagi. Bukan senang nak derma darah, kalau kita tak sihat, tak boleh derma darah juga.

“Lucunya, teman lelaki saya juga memang ‘takut jarum’ dan selepas diberi penerangan kepentingan derma darah ini baru dia beranikan diri menderma darah,” katanya.


Pegang watak pusher dalam KL Gangster

WATAK gadis liar dan ‘pusher’ dalam filem KL Gangster yang baru ditayangkan turut memberi cabaran tersendiri buat Sheera.

“Saya bawa watak pembantu, Zati yang juga adik kepada bekas gangster Malik (Aaron Aziz). Ketika Datuk Yusof Haslam tawarkan saya berlakon dalam cerita gangster ini saya sendiri memang tak tahu bagaiman karakter saya.

“Namun apabila membaca skrip, saya terus tertarik dengan watak Zati kerana ia lain dan memang mencabar kredibiliti. Sebagai pelakon, saya memang sukakan sesuatu yang baru. Lebih gementar, saya juga satu-satunya pelakon wanita dan dikelilingi ramai lelaki dalam filem ini.

“Malik pula gangster yang sudah insaf dan selepas keluar dari penjara dia keluar untuk mencari adiknya, Zati yang sudah rosak akhlak untuk kembali ke pangkal jalan. Cerita ini membabitkan pertelingkahan adik-beradik,” katanya.

Berkongsi pengalamannya bekerja dengan pengarah terbaik filem Evolusi KL Drift 2 pula kata Sheera, dia pernah bekerja dengan Syamsul dalam Sembilu Kasih sebelum ini.

“Pada pemerhatian saya, Syamsul pengarah yang peka dan tahu apa yang dikehendakinya. Pelakon produksinya juga diberi kebebasan dari segi dialog dan tidak terikat sangat dengan skrip. Dia hanya bagi gambaran saja. Saya juga pernah bekerja dengan Aaron dan Ady Putra dalam drama TV. Ady juga pernah menjadi teman lelaki saya dalam drama,” katanya.

Pada masa sama, Sheera juga buat kajian mendalam bagaimana menjiwai karakter `pusher’ seperti digambarkan dalam skrip.

“Saya pun tidak tahu macam mana karakter `pusher’ dan ia memang satu cabaran besar untuk menjiwai watak. Saya kena berpakaian seksi, seluar pendek dan berlagak macam gadis liar.

“Pada mulanya, Mama memang tak berapa suka saya berpakaian seksi tapi selepas berbincang dengan pihak �produksi barulah Mama membenarkan saya berpakaian singlet dan seluar pendek dalam filem itu. Seksi boleh tapi jangan terlalu melampau,” katanya.

Antara filem lakonan Sheera yang lain adalah Bicara Hati, KL Menjerit, Sembilu 2005 dan Cinta Yang Satu. Filem lakonannya yang masih belum ditayangkan lagi adalah Gentayangan, Datin Ghairah dan Aku Bukan Tomboy.



PROFIL

NAMA PENUH: Tengku Shaheera Ilani Tengku Iskandar
PANGGILAN KOMERSIAL: Sheera Iskandar
KELUARGA: Anak sulung daripada tiga beradik
TARIKH LAHIR: 18 April 1985
TEMPAT LAHIR: Kelantan
USIA: 25 tahun
STATUS: Bujang
KERJAYA: Pelakon
PENDIDIKAN: Diploma Pengurusan Perniagaan dari Yayasan Pelajaran Mara
DRAMA/TELEFILEM: Antaranya Janji Diana, Bintang Di Hati Bintang Di Langit, Mengejar Awan, Jangan Ada Dusta, Pinggiran Hati, Janjiku dan Telenovela Usia, Fatimah Najwa, Halimah Jongang, Siong, Alin Ke Elin?, Iparku Diva, Ahmad Albob Yang Punya.
FILEM: Bicara Hati, KL Menjerit 1, Sembilu 2005, Cinta Yang Satu, KL Gangster, Aku Bukan Tomboy
TEATER: Pelesit (2008)

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: