Monday, June 27, 2011

GIG TV9 himpun band rock


SEBAHAGIAN pemuzik baharu yang terlibat dalam konsert GIG TV9.


KETIKA ini, saluran TV9 dilihat semakin agresif menganjurkan pelbagai acara menarik dalam usaha mereka untuk menarik lebih ramai penonton terutamanya golongan muda menonton saluran tersebut.

Setelah menganjurkan konsert Be Part Of The Moment sempena sambutan ulang tahun kelima saluran tersebut bulan lalu, kali ini mereka akan menganjurkan pula karnival dan konsert rock GIG TV9 dengan kerjasama syarikat telekomunikasi DiGi.

Akan berlangsung selama dua hari pada 9 dan 10 Julai ini di I-City Shah Alam, Selangor, penganjuran karnival dan konsert berkenaan bertujuan untuk memeriahkan lagi industri muzik indie yang semakin berkembang ketika ini.

Pengurus Besar TV9, Sherina Mohamed Nordin, berkata, pelbagai aktiviti menarik akan dianjurkan seperti persembahan artis indie terkenal, pertandingan Battle Of The Indie Bands dan bengkel muzik.

“Acara ini adalah salah satu acara terbesar yang dianjurkan oleh pihak TV9 pada tahun ini dan ia telah dirancang sejak awal tahun yang lalu.

“Memandangkan sasaran kami adalah kepada golongan muda, maka artis yang akan membuat persembahan juga adalah terdiri daripada artis indie yang cukup popular di kalangan golongan tersebut,” ujarnya pada satu sidang akhbar baru-baru ini.

Tambah Sherina lagi, acara yang berlangsung pada hari pertama itu akan dimeriahkan dengan persembahan artis indie tempatan seperti AwanBand, The Azenders, Pesawat, Azlan & The Typewritter dan Projek Pistol.

Sementara pada hari kedua, para pengunjung akan dimeriahkan dengan artis yang mempunyai nama besar dalam persada muzik tanah air seperti kumpulan Wings, Hujan, Aizat, Bunkface dan 6ixth Sense.

Selain konsert secara besar-besaran, Sherina juga memberitahu satu bengkel muzik secara percuma akan turut diadakan dan hanya terhad kepada 100 pengunjung.

“Sewaktu bengkel berkenaan, kami akan mengundang beberapa individu yang berjaya dalam industri hiburan di negara ini untuk memberi pendedahan kepada pengunjung tentang dunia muzik,” ujarnya.

Sementara itu, pihak TV9 turut memberi peluang kepada kumpulan indie di seluruh Malaysia untuk mengembangkan lagi bakat mereka menerusi satu pertandingan yang dikenali sebagai Battle Of The Indie Bands.

Untuk pertandingan tersebut, sebanyak lapan buah kumpulan telah terpilih ke peringkat akhir iaitu The Jespers, Oh Chentaku, Pop Konspirasy, Bintang Batu, Broken Riffs, BeforeAfters, Pheelers dan Skudap Skudip.

“Tentang pemilihan kumpulan yang layak ke peringkat akhir, ia dibuat berdasarkan penyertaan yang kami buka menerusi laman web TV9 pada awal bulan Jun lalu.

“Sebanyak 200 penyertaan yang kami terima dalam tempoh seminggu dan pemilihan dibuat dengan cara memilih lagu-lagu yang telah dimuat naik oleh mereka melalui laman web,” jelasnya.

Bagaimanapun, hanya lapan kumpulan sahaja yang terpilih ke peringkat akhir untuk bersaing pada konsert rock GIG TV9 yang akan diadakan pada 9 Julai nanti.

“Lapan kumpulan yang bertanding itu akan bersaing bagi merebut empat tempat ke peringkat akhir yang akan diadakan pada keesokan harinya dan kumpulan yang muncul juara akan membawa pulang hadiah wang tunai RM8,000,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: