Sunday, June 19, 2011

Gedik saya bukan jenayah besar – Ana




SEJAK kebelakangan ini, macam-macam gosip menerjah hidup Juara Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-25, Ana Raffali.

Tak tahulah kalau ia umpama satu badi kepada mereka yang berada di kemuncak kejayaan.

Bukan apa, nampak macam sudah jadi satu kemestian, kalau nama sudah berada di puncak, maka berkoyan-koyan cerita tak baik melekat pada seseorang artis itu.

Nampaknya, gadis berusia 26 tahun ini juga seakan tidak terkecuali.

Sama ada di atas kesilapannya sendiri atau mungkin ada pihak yang ingin menguji sejauh mana dia mampu bertahan dalam industri penuh warna ini.

Daripada gosip dia membonceng motosikal dan mempamerkan aksi mesra dengan seorang jejaka misteri sehinggalah isu dia berubah sikap semuanya terpalit pada diri Ana.

Bagaimanapun, ramai yang terpancing untuk mengetahui cerita lanjut mengenai lelaki misteri yang dipercayai merupakan teman lelaki Ana itu.

Menurut khabar, wajah lelaki tersebut kacak persis bintang Bollywood dengan memiliki kulit putih dan bertubuh tinggi lampai.

Kepada Ana, Pancaindera layangkan beberapa soalan cepu emas buat buat dirinya.

Amboi...dengan siapa Ana membonceng motosikal hari tu? Motosikal berkuasa besar lagi. Bukan main mesra lagi dengarnya!

Apa? Bonceng motor? Kelakarnya. Bila masa pula Ana membonceng motor? Setahu Ana, masa gosip itu dikeluarkan, Ana berada di Istana Budaya (IB) menjayakan pementasan teater Kenangan Mengusik Jiwa 60-an (KMJ60-an). Bayangkan kalau Ana dah sibuk dengan teater tu, macam mana pula Ana boleh ada masa untuk keluar makan angin. Naik motosikal pula tu? Tak logiklah kak.

Habis tu, wartawan buat gosip semata-matalah? Begitu? Kalau tak betul tak akan lah orang nak mengata Ana oi...

Saya bukan nak tuduh wartawan, tapi apa yang didakwa tu tak betul. Nama pun gosip. Ana rasa orang yang buat cerita tu tak tahu perkembangan semasa Ana. Gosip tu juga ada sebut yang Ana membonceng motosikal menghala ke selatan negara. Tolonglah, selama 10 hari Ana terlibat dengan KMJ60-an, macam mana Ana ada masa nak ke sana pula?

Habis,betul ke Ana sekarang berpacaran dengan seorang jejaka berasal dari Singapura?

Ana langsung tak tahu dari mana datangnya gosip lelaki Singapura ni. Tak kenal langsung mana-mana lelaki dari negara itu. Apa yang boleh dikatakan ini semua salah faham. Perempuan yang dimaksudkan wartawan itu bukanlah Ana.

Kalau bukan Ana siapa pula? Nak lepaskan diri ke ni?

Entahlah kak. Mungkin muka macam Ana ni bersepah-sepah kot. Sampai orang boleh tersalah anggap. Benda ni tak mustahil berlaku.

Kalau lelaki Singapura tu bukan teman lelaki Ana, habis siapa pula yang bertakhta di hati Ana sekarang ini? Bila nak kenalkan pada peminat?

Bukan mahu sorok, Ana cuma belum bersedia untuk memperkenalkan dia kepada semua. Ini permintaan Ana sendiri. Lagipun kami belum punya ikatan yang sah. Kalau sudah berkahwin tu bolehlah nak umumkan pada semua. Jadi biarlah begini saja.

Teman lelaki Ana tu mesti artis juga bukan?

Tidak. Dia orang biasa saja. Kami dah kenal sejak tahun 2005 lagi. Zaman saya belum berdiri sebagai seorang Ana Raffali yang sekarang.

Okey, macam mana pula dengan dakwaan mengenai kelakuan Ana yang semakin dingin dengan bekas pengurus, Aidit Alfian dan isterinya Zaza?

Bila masa pula Ana ada masalah dengan mereka? Tak tahu mana datangnya cerita begini padahal Ana dengan abang Aidit dan Kak Zaza okey sahaja. pelik macam mana isu ini timbul. Mungkin sebab saya dah ada syarikat pengurusan sendiri maka orang ingat saya terus melupakan syarikat pengurusan Indah Karya yang dimiliki oleh Aidit. Tolonglah, saya bukan begitu. Saya masih lagi bekerjasama dengan abang Aidit. Yang membezakan cuma saya kini diuruskan oleh syarikat pengurusan About The Letter A yang ditubuhkan sejak April lalu.

Habis tu kenapa sampai nak diuruskan secara berasingan pula? Mesti ada masalah kan?

Bukan begitu. Saya rasa dah tiba masanya untuk saya melangkah satu tapak ke depan dan membina platform sendiri. Syarikat About The Letter A merupakan pelaburan jangka masa panjang untuk mengembangkan kerjaya saya sekarang. Ini bukan bermakna saya dan Indah Karya sudah tidak terikat. Saya masih ada komitmen dengan mereka.

Apa komitmen yang Ana maksudkan?

Syarikat Indah Karya menguruskan hal-hal berkaitan penerbitan album dan karya-karya muzik manakala About The Letter A pula lebih bertumpu pada pengurusan jadual dan aktiviti seni saya. Sebab itu saya tak faham macam mana orang boleh kata saya dan Aidit tak sebulu lagi walhal saya masih lagi di bawah label mereka. Bezanya saya membantu mengurangkan bebanan Aidit dalam bab pengurusan artis.

Ala Ana..kalau tak ada angin, masakan pokok boleh bergoyang bukan?

Saya tak boleh terima kalau orang gunakan istilah begitu sebagai lesen untuk membenarkan perkara yang tak benar. Ini tak adil. Saya dah jelaskan sejak awal tadi yang hubungan antara saya, Aidit dan Zaza okey saja. Selain keluarga, mereka berdua adalah orang yang banyak menyokong penubuhan syarikat saya. Di situ kita boleh lihat betapa mereka merestui tindakan saya. Kami juga sedang dalam perancangan untuk menghasilkan album kedua saya, jadi tak timbul soal saya dah dingin dengan mereka.

Ada yang kata Ana berlagak sopan walhal karakter sebenar terselindung di sebalik imej baju kurung yang dipakai. Komen?

Rasanya orang yang tak kenal siapa Ana Raffali mereka inilah yang mudah memberi hukuman. Saya tahu ada yang kata saya gedik, pura-pura sopan dan sebagainya, tapi siapa mereka untuk menghukum? Kalau saya gedik sekali pun, adakah itu satu jenayah besar? Apa-apa pun, kenal lah saya dulu. Tentang baju kurung, saya memang dah pakai baju kurung sejak di awal kemunculan lagi. Tak kisahlah ia idea siapa pun, apa yang pasti Aidit adalah insan yang banyak memberi sokongan dalam perjalanan karier seni saya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: