MENGENALI aktor yang memiliki senyuman manis ini, tidak pernah sekali dia berahsia dan menyembunyi sebarang ceritanya meskipun sesekali persoalan itu merentasi sudut peribadinya.
Walaupun ada kalanya ia mengundang rasa kurang selesa, Fizo Omar bijak menyusun bicara dan menepis persoalan dengan mengukir senyuman panjang meleret.
Pertemuan dengan anak muda kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini di lokasi penggambaran filem terbaru lakonannya, 7 Petala Cinta di Riverstone Eco Resort, Hulu Yam, Selangor, baru-baru ini, memberi ruang untuk merakam�kan gambarnya berakit menongkah arus sungai sementara menunggu gilirannya di set penggambaran.
Meskipun panas terik, graduan jurusan Kejuruteraan Awam dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Arau, Perlis ini gigih mencari sudut terbaik agar wajahnya dirakam dengan sempurna.
Sambil berbual kosong bercerita soal lakonan dan wataknya dalam 7 Petala Cinta, perlahan-lahan soalan peribadi menjerat bintang yang juga pengacara program 3 Hari 2 Malam di TV9 ini. Meskipun diasak berkali-kali, anak kedua daripada empat beradik ini tetap memberikan jawapan yang sama setiap kali didatangi persoalan mengenai kekasih.
“Bagaimana untuk saya berkongsi kisah cinta jika memang tiada kekasih buat masa ini. Usah ditanya mengapa tiada teman istimewa kerana saya sendiri sukar menjawab persoalan itu.
“Namun saya akui yang memang ramai kenalan wanita namun semuanya hanya sekadar teman biasa. Bukan kerana terlalu memilih atau kesibukan masa, namun perasaan itu jarang sekali timbul kerana saya hanya meletak sepenuh fokus pada kerjaya.
“Tipu jika saya katakan tidak pernah teringin untuk bercinta namun biarlah ia datang sendiri tanpa perlu ada perancangan kerana bimbang ia tidak kekal nanti. Malah saya sendiri bukanlah terlalu sunyi atau kosong jika tiada teman istimewa kerana alhamdulillah setiap hari ada saja kerja yang perlu saya lakukan.
“Setidak-tidaknya, ia memenuhi waktu terluang itu dan mengelak untuk berasa bosan. Insya-Allah jika ada calon yang sesuai atau datang jodoh itu nanti, saya tidak akan berahsia atau menyorok. Tunggulah masanya nanti dan saya pasti akan berkongsi saat bahagia itu bersama peminat yang tidak henti menyokong,” katanya.
Petang itu, Fizo lebih bersemangat bercerita mengenai wataknya dalam filem terbaru lakonannya sentuhan pengarah Azahari Zain kerana disifatkannya benar-benar memberikan satu dimensi baru dalam kerjaya lakonannya.
Kata Fizo, ini kali pertama melakonkan watak budiman yang penuh keagamaan melalui watak Hamka. Selain menyifatkan permainan emosi yang perlu diterjemahkan begitu kuat hingga ada kalanya hatinya terusik, bintang muda berusia 26 tahun ini gigih menjadikan watak Hamka sesuatu yang begitu dekat dengan dirinya dan percaya ia akan memimpin lakonannya ke fasa yang seterusnya.
“Janggal juga saya melihat wajah dan penampilan �begi�ni, namun itulah �perjuangan seorang anak seni. Saya sukakan pembaharuan dan nafas baru dalam sesebuah watak yang ingin dilakonkan.
“Alhamdulillah, pihak penerbitan percaya dan membuka ruang untuk saya menghidupkan watak ini. Tambahan pula watak sebagai seorang yang penuh �agama dan lelaki warak �seperti ini antara impian yang lama tersembunyi. Insya Allah peminat akan melihat kelainan dan sesuatu yang berbeza selepas ini,” katanya.
�Filem 7 Petala Cinta mengisahkan kehidupan anak remaja yang mendapat pendidikan dalam institusi keislaman. Pelbagai insiden dan suka duka yang berlaku di antara mereka selain berdepan dengan �kemelut yang akhirnya �mengundang perspektif berbeza.
Membariskan pelakon muda seperti Aeril Zafril, Diana Amir dan Shima Anuar, 7 Petala Cinta tidak hanya menyingkap kisah suka duka dunia remaja yang terperangkap dengan nafsu dan nilai budiman dalam jiwa namun turut memaparkan pengorbanan, erti persahabatan serta kisah cinta agung.
Fizo yang sebelum ini pernah membintangi beberapa filem termasuk Andartu Terlampau 21 Hari Mencari Suami, Kongsi dan Hello sendiri berkali-kali mengagumi plot cerita yang dipersembah serta garapan pengarahan yang benar-benar mencuit emosi penonton kelak.
“Jujurnya kisahnya lebih berkisar pada penantian dan kejujuran. Mana tidaknya, Hamka yang juga graduan syariah dari Universiti Al-Azhar ditunangkan dengan anak kepada guru di madrasah tempatnya menuntut ilmu, Saidatul Nafisah (Shima Anuar) dan kemudiannya berhijrah ke Yemen untuk menuntut ilmu.
“Namun sebaliknya, Hamka gigih menulis al-Quran �dengan tulisan �tangannya sendiri bagi dijadikan �hantaran perkahwinannya kelak.
“Namun sayangnya, entah mana punca, berita mengenai Hamka terbunuh di Yemen tersebar selepas negara itu dilanda perang saudara dan konflik politik. Tunangnya, Nafisah menanti dengan setia dan muncul pula watak Attar (Aeril) yang sudah lama �me�mendam perasaan kepada Nafisah.
“Di situlah wujudnya nilai kesetiaan seorang wanita yang mengagungkan seorang lelaki yang dicintai walaupun apa saja yang melanda.
“Filem ini menuntut saya untuk membuat sedikit kajian dan persediaan seperti memahami al-Quran dan cuba bermain dengan imaginasi bagi merealisasikan watak Hamka serta menonton beberapa karya Indonesia termasuk Ayat-Ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih. Saya mengharapkan peminat dan penonton akan dapat melihat mesej yang cuba kami sampaikan di sebaliknya nanti,” kata anak kacukan Melayu, Siam dan Arab ini.
PROFIL
Nama Sebenar: Wan Hafizol Wan Omar
Tarikh Lahir: 19 Julai 1985
Umur: 26 tahun
Asal: Kota Bharu, Kelantan
Keluarga: Anak kedua daripada empat beradik
Pendidikan: Diploma Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Arau, Perlis
Pengacaraan: 3 Hari 2 Malam (TV9), Pakar Kejelitaan (TV3), Gen X (RTM)
Teater: Siti Di Alam Fantasi
Drama: Jersi 9, Spa Q Musim Ke-2, Awan Dania Musim Ke-2, Suraya & Bila Musang Berjanggut, Siti Kelembai, Mistik Alam Hitam, Bionik, Cahaya Berbisik, Matahari, La Dolce Amira, Cinta Sempurna, Keliwon, Keliru, Kau Laksana Bulan, Suraya, Suatu Hari Di Hari Raya, Bonanza, Rumi Dan Juli, Gadis Merah Jambu, Bisikan Subuh, Tak Serupa Tapi Sama, Elite, Kau Curi Cintaku, Dendam, Puteri Salju.
Filem: Andartu Terlampau 21 Hari Mencari Suami, Kongsi, Hello, Halim Munan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: