
NAMA pelakon Evan Rachel Wood mungkin agak asing bagi peminat hiburan di negara ini. Namun di Amerika Syarikat, dia merupakan antara pelakon yang sedang mencipta nama untuk berdiri sebaris dengan pelakon Hollywood yang terkenal.
Dilahirkan pada 7 September 1987, pelakon yang kini berusia 24 tahun itu berkecimpung dalam dunia lakonan sejak kanak-kanak lagi menerusi beberapa drama televisyen.
Pembabitannya sebagai pelakon bermula ketika berumur lapan tahun apabila memegang watak kecil dalam sebuah drama seram berjudul American Gothic.
Kariernya dalam lakonan semakin berkembang tiga tahun kemudian apabila ditawarkan berlakon dalam sebuah filem fantasi berjudul Practical Magic yang turut dibintangi Sandra Bullock dan Nicole Kidman.
Hanya pada tahun 2002, barulah Evan mendapat tawaran untuk berlakon dengan memegang watak utama iaitu menerusi Little Secret, sebuah filem indie yang diarahkan oleh Blaire Treu.
Kemudian setahun selepas itu, dia sekali lagi diberikan peranan utama dalam filem yang berjudul Thirteen. Menariknya, filem berkenaan telah memberi impak yang cukup besar buat dirinya.
Meskipun filem itu mencetuskan kontroversi kerana memaparkan adegan seks bawah umur, ketagihan dadah dan arak, namun dia telah dicalonkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik untuk banyak anugerah, termasuklah pencalonan di Golden Globe Award.
Terbaharu, dia akan tampil dalam sebuah drama mini bersiri terbitan HBO berjudul Mildred Pierce yang akan ditayangkan bermula 9 Jun ini di saluran HBO (Astro 411) dan HBO HD (Astro 431).
Ditayangkan selama dua jam sebanyak lima siri, drama berkenaan adalah berdasarkan kepada novel hasil nukilan penulis James M. Cain pada tahun 1941. Malah, ia juga pernah diangkat sebagai sebuah filem dengan judul yang sama pada tahun 1945.
Ia mengisahkan mengenai seorang wanita, Mildred Pierce yang terpaksa menyara kedua-dua orang anak, ketika suaminya sibuk berfoya-foya dengan wanita lain.
Pada masa yang sama, Mildred juga dicemuh oleh anak perempuannya sendiri iaitu Veda, hanya kerana pekerjaannya sebagai seorang pelayan. Namun, dia juga mempunyai impian untuk membuka sebuah restoran sendiri suatu hari nanti.
Berikut adalah transkrip interviu dengan Evan:
Boleh jelaskan dengan lebih lanjut watak anda dalam drama Mildred Pierce?
Evan: Saya membawakan watak sebagai Veda Pierce, anak kepada Mildred Pierce yang dilakonkan oleh Kate Winslet. Drama ini mengisahkan mengenai permasalahan dalam hubungan antara ibu dan anak. Mengenai watak Veda, saya digambarkan sebagai seorang anak yang hidup dalam keadaan dikongkong oleh ibunya sehingga dia sanggup melakukan apa sahaja agar dapat hidup bebas.
Adakah anda dan Kate berbincang agar masing-masing dapat menjiwai watak ini dengan lebih berkesan?
Walaupun watak yang saya bawakan ini agak menakutkan, namun bekerja dengan aktres yang hebat seperti Kate menjadikan kerja saya mudah. Memang ada perbincangan yang dilakukan, tetapi untuk membawakan watak yang diberikan kami merujuk kepada pengalaman peribadi masing-masing. Pada kami setiap orang akan mempunyai konflik dengan ibu terutamanya anak perempuan.
Bagaimana pandangan anda sendiri tentang watak Veda?
Tidak dinafikan Veda adalah seorang gadis yang jahat dan sangat menjengkelkan. Namun dia menjadi sebegitu adalah disebabkan faktor-faktor tertentu, terutamanya kehidupan pada masa tersebut yang mementingkan kasta. Jadi saya sendiri tidak pasti sama ada sesuai atau tidak untuk menilai tentang diri Veda itu sendiri.
Apakah yang mendorong Veda menjadi sebegitu rupa?
Segala permasalahan mula timbul apabila dia dan ibunya berhijrah dari tempat tinggal mereka di Glendale, manakala ibunya pula berasal daripada golongan kelas bawahan. Sebenarnya dia mempunyai impian untuk menjadi seorang pemain piano yang terkenal dan telah berlatih sepanjang masa, tetapi peluang yang ada telah diragut dalam sekelip mata.
Tentunya anda merujuk kepada adegan di mana seorang guru muzik, Treviso yang merosakkan persembahan Veda. Jadi peluang yang telah diragut itu merupakan satu kejadian yang dahsyat buat dirinya?
Saya rasa dia memang sangat mencintai dunia muzik dan tentunya kejadian itu sangat meremukkan hatinya. Muzik adalah satu-satunya cara untuk dia melupakan segala masalah. Jadi, apa yang saya lihat dia mula berubah selepas kejadian itu. Dia menjadi seorang gadis yang liar, suka berparti dan keluar dengan ramai lelaki.
Namun selepas Treviso mengkritik persembahannya, Veda telah memarahi Mildred kerana seolah-olah kekurangan bakat yang ada pada dirinya itu adalah kesalahan ibunya. Boleh anda jelaskan?
Sebagai seorang ibu, Mildred melakukan suatu perkara yang cukup sinonim seperti ibu-ibu yang lain dengan memberi kata-kata semangat dan mengatakan anaknya itu adalah seorang yang paling berbakat di dunia. Sedangkan bukan itu yang Veda ingin kerana sememangnya ia tidak benar. Itu yang membuatnya betul-betul kecewa.
Adakah Veda menyayangi ibunya?
Mungkin di dalam hati Veda sangat menyayangi ibunya, tetapi dia tidak mahu nasibnya itu menjadi sama seperti ibunya. Saya rasa tindakan meninggalkan ibunya adalah kerana dia sangat menyayangi ibunya dan dengan cara tersebut tentu dia tidak perlu bimbang untuk menyakiti hati ibunya lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: