
FORD Motor Company (Ford) bakal menawarkan enjin EcoBoost dalam pasaran tempatan menerusi dua model kenderaannya menjelang pertengahan tahun ini. Dua model tersebut ialah kereta sedan/salon Ford Mondeo Titanium dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Ford S-Max.
Enjin EcoBoost Ford berupaya menghasilkan kuasa dan prestasi terbaik dalam kelasnya secara efisien. Ia juga mampu meningkatkan kecekapan penggunaan bahan bakar sehingga 20 peratus dan merendahkan kadar emisi kepada 15 peratus.
Enjin 2.0L I-4 EcoBoost dilengkapi pengecas turbo tunggal dengan sistem pancitan terus bahan bakar. Ciri itu sama seperti enjin asal binaan Ford iaitu 3.5-Liter EcoBoost V-6. Enjin itu menawarkan kuasa tambahan, pecutan pantas dan kelajuan tinggi selain hadir bersama teknologi Ti-VCT (Twin Independent Variable Camshaft).
Secara amnya, pengecas turbo menyalurkan lebih banyak aliran udara ke dalam enjin untuk meningkatkan kuasa. Sumber udara yang disalurkan pengecas turbo diperoleh daripada ekzos. Untuk menyejukkan semula sumber udara ekzos yang semestinya panas, sistem pendingin digunakan. Pancitan terus pula membolehkan pembakaran bahan api yang lebih efisien.
Sistem pembakaran telah direka semula untuk disesuaikan dengan peningkatan prestasi enjin. Pam bahan api bertekanan tinggi beroperasi sehingga 2,200psi, iaitu lebih 50 kali ganda norma enjin konvensional I-4. Pam bahan api itu dipacu secara mekanikal menerusi sebuah omboh tunggal. Sementara injap elektronik pula mengawal berapa banyak petrol disalurkan kepada penyuntik bahan api.
Operasi pengecas turbo dengan padanan sistem pancitan terus membantu menghapuskan turbo lag. Pengecas turbo berputar sehingga 200,000rpm dan memiliki jangka hayat sehingga 10 tahun atau jarak melebihi 150,000 kilometer.
Pengurus Serantau Asia Pasifik Operasi Eksport Ford, David Westerman berkata, pihaknya gembira mengenai kemasukan enjin EcoBoost dalam model baru Ford Mondeo Titanium dan S-Max untuk pasaran tempatan.
“Enjin EcoBoost akan menawarkan penggunaan bahan bakar lebih ekonomikal dan mengurangkan kadar pelepasan karbon. Ia juga memberikan prestasi seperti sebuah enjin yang besar,” katanya dalam satu kenyataan.
Berperanan sebagai kunci utama dalam rangka tindakan Ford, syarikat itu rancang untuk menawarkan penggunaan enjin tersebut sehingga 80 peratus kenderaannya. Jumlah itu menyokong jualan global kenderaan EcoBoost sebanyak 1.5 juta setahun.
“Komitmen Ford adalah untuk mengaplikasikan teknologi ini ke dalam pelbagai jenis kenderaan agar lebih ramai pelanggan dapat merasai sendiri keunikan enjin EcoBoost,” katanya.
Sebagai sokongan terhadap enjin EcoBoost di negara ini, satu laman web disediakan di alamat: www.ecoboost.com.my.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: