Tuesday, June 7, 2011

Disiplin ND Lala


ND Lala mendendangkan lagu ciptaannya, PM Kita, sempena majlis pelancaran albumnya itu baru-baru ini.


BERAYAHKAN seorang insan seni bernama ND Lala bukanlah suatu perkara yang mudah untuk ditangani oleh Nur Shahila Amir Hamzah atau nama pentasnya, Sheila Amzah.

Setiap gerak langkah anak dara itu sering menjadi perhatian ayahnya termasuk kesilapan yang tidak disengajakan seperti terlupa lirik ketika mengadakan persembahan.

Walau pun Sheila, naib juara program realiti One In A Million (OIAM) musim kedua kini bergelar penyanyi namun itu tidak menjadi tiket baginya untuk merasakan dirinya hebat.

Sebaliknya, Sheila mengakui, dia masih terus belajar untuk memperbaiki pencapaiannya dan sekali gus, kekal sebagai artis di persada seni tanah air.

Mengimbau kembali peristiwa dimarahi oleh ayahnya, sambil ketawa, Sheila membuka cerita kepada Hits ketika bertemu dengannya pada majlis pelancaran album terbaru ND Lala, PM Kita di Restoran Warisan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

"Abah sangat cerewet orangnya. Dia paling tidak suka kalau kerja bertangguh.

"Selain itu, abah amat pentingkan disiplin dan itulah yang diterapkan dalam diri kami adik-beradik," kata anak sulung daripada empat adik-beradik itu.

Kata Sheila, teguran daripada ayahnya dengan nada yang tegas, bukan keras, sentiasa tersemat dalam sanubarinya.

Justeru, katanya, dia akan sentiasa membuat persiapan awal sebelum mengadakan sesuatu persembahan.

"Apabila membuat persiapan awal, besar kemungkinan kesalahan yang dilakukan di atas pentas, dapat diminimakan.

"Itulah disiplin yang abah selalu bebelkan kerana katanya, bukan mudah untuk mengekalkan kedudukan sebagai seorang artis.

"Mungkin mudah untuk muncul sebagai artis atau penyanyi tetapi paling mencabar ialah bagaimana mahu memastikan kehadiran kita sebagai penyanyi terus mendapat sokongan daripada peminat," ujarnya.

Kata Sheila, dia tidak dapat menyembunyikan rasa bangga apabila menjadi insan pertama yang dapat mendengar lagu terbaru yang dirakamkan oleh ayahnya, PM Kita.

"Sebagai anaknya, saya bangga ada ayah seperti dia... Lagu itu digubahnya sendiri dan ia membawa seribu makna.

"Bukan mudah bagi abah untuk menghasilkan lagu tersebut kerana dia mengambil masa yang agak lama untuk menyiapkannya.

"Hasilnya, itulah yang diperdengarkan dan secara peribadi, saya sukakan lagu PM Kita," katanya.

Ahli politik jadi sasaran?

Sementara ITU, ND Lala atau nama sebenarnya, Amir Hamzah berkata, dia selesa menghasilkan judul lagu yang bersandarkan kepada tokoh politik negara.

Jika pada tahun 2005, lagu Diari YB meletup di corong-corong radio, tahun ini pula, PM Kita disasarkan menjadi pilihan deejayradio termasuk deejay stesen radio swasta.

Sebagai artis yang pernah dinobatkan sebagai juara bagi kategori Irama Malaysia di Anugerah Juara Lagu (AJL) dua tahun berturut-turut (1995 dan 1996), ND Lala berkata, ada kisah di sebalik pemilihan judul lagu terbarunya itu.

"Judul lagu itu melambangkan dedikasi pemimpin nombor satu negara yang banyak menyumbang demi pembanguan dan kesejahteraan rakyat negara ini.

"Ada mesej yang tersirat dalam lirik lagu itu tetapi jangan pula ada yang salah anggap dengan judul lagu itu.

"Saya mohon pendengar dan peminat semua agar dengar dan hayati liriknya. Pasti anda semua akan dapat gambaran yang jelas tentang maksud yang cuba disampaikan melalui lagu PM Kita," katanya.

Majlis pelancaran album itu disempurnakan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: