Thursday, June 2, 2011

Detik bersejarah Rentap Futsal Kosmo! disaji melalui panorama 360 darjah


PANORAMA Maya Rentap Futsal Kosmo! menyediakan pemandangan kejohanan dengan lebih dekat di laman web www.kosmofutsal.com/maya.


KUALA LUMPUR – Orang ramai yang tidak berpeluang menyaksikan kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! baru-baru ini tidak perlu kecewa kerana momen-momen penting acara itu telah dirakam dari pelbagai sudut sepanjang kejohanan tersebut berlangsung.

Detik bersejarah acara sukan itu dirakam oleh seorang jurufoto berpengalaman dari Petaling Jaya, Jimin Lai, 36, dalam bentuk istimewa iaitu memotret foto dengan imej 360 darjah yang pertama kali diperkenalkan di Malaysia.

Jurufoto bebas itu berkata, melalui laman interaktif Panorama Maya Rentap Futsal Kosmo!, orang ramai boleh menyaksikan melalui Internet suasana kejohanan itu secara radius yang merangkumi sudut atas dan bawah.

“Untuk melihat panorama itu, orang ramai boleh lawati laman web http://www.kosmofutsal.com/maya/.

“Pengguna akan disajikan dengan pelbagai gambar menarik sepanjang kejohanan berlangsung seolah-olah mereka berada di Kompleks Futsal 1Malaysia, Putrajaya.

“Melalui imej itu juga, pengguna turut diberi pilihan menukar mod imej yang dikehendaki dan mereka boleh membuat pilihan lokasi yang diinginkan di bahagian menu sebelah kiri skrin,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Jimin yang merupakan pengasas 360 VR Shots dan memiliki VR Panorama Studio pernah berkhidmat di The Star, Reuters, AFP dan beberapa penerbitan majalah seperti Asiaweek.

Antara detik yang menjadi pilihan Jimin ialah rakaman gambar secara 360 darjah ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyepak bola, suasana pertandingan pada waktu malam serta kemeriahan di sekitar gerai pameran.

“Walaupun Panorama Maya Rentap Futsal Kosmo! menggunakan perisian Adobe Flash, pengguna komputer tablet iPad dan iPhone tidak perlu risau kerana ia juga boleh dilihat melalui gajet tersebut setelah proses ubah suai dilakukan,” ujarnya.

Orang ramai yang inginkan maklumat lanjut mengenai perkhidmatan Panorama Maya Rentap Futsal Kosmo! boleh menghubungi Jimin di talian 012-656 3535.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: