Monday, June 20, 2011

Cukup memukau




JIKA berhasrat mencari atau ingin bertukar kereta, Peugeot, suatu antara nama yang terkenal di dunia, juga menawarkan pelbagai pilihan menarik dan terbaik.

Kereta buatan Perancis yang menjadikan singa berdiri sebagai ikonnya telah bertapak kukuh di Malaysia, sebelum 1980an sehinggalah kehadiran kereta Jepun dengan pelbagai model dan murah harganya, mengubah selera dan minat rakyat tempatan.

Ketika itu, kereta Peugeot 204 dan 504 bersama-sama kereta VW beetle dan Fiat 600D menguasai jalan-jalan raya sebelum disingkirkan oleh tiga jenama utama, Toyota, Datsun (kini Nissan) dan Honda (Big 3) selain kemunculan kereta buatan nasional Proton Saga.

Namun begitu, kegilaan rakyat Malaysia terhadap kereta buatan Eropah itu yang pernah dilihat sebagai pilihan janggal sebelum ini, kini kembali menyemarak.

Salah satunya kereta Peugeot 207 yang dipasarkan oleh Kumpulan Naza sebagai saingan kepada kereta-kereta seperti Toyota Vios, Honda City dan Mazda2. Setakat ini, sejumlah 900 buah Peugeot 207 berjaya dijual sejak diperkenalkan akhir tahun lalu.

Peugeot, terus menonjolkan kehebatannya dalam 'mewujudkan cinta pada pandangan pertama', ia jarang gagal menambat hati sesiapa sahaja kerana reka bentuk moden yang ditawarkan cukup menawan sekali dan setiap aspek kenderaan itu dipastikan berkualiti tinggi.

Ketika memandu, Peugeot 207 yang disasarkan untuk orang muda dan pasangan berkeluarga dengan dua anak, ternyata tidak mengecewakan terutamanya kemampuan daya pecutan dan kendalian kemas serta mantap. Ia menyediakan paparan pelbagai fungsi untuk memaklumkan pelbagai maklumat menjadikan pemanduan satu pengalaman menyeronokkan.

Dengan kehebatan reka bentuk, teknologi dari Perancis, Peugeot 207 yang diperkenalkan untuk menguasai pasaran lebih besar di Malaysia dan ASEAN, mungkin kereta ini menjadi pilihan anda.

Enjin

KERETA ini digerakkan dengan enjin petrol 1.6 L diperlengkapkan dengan gear automatik elektronik iaitu sistem Tiptronic yang menawarkan kepada pemandu corak pembawaan kereta sama ada secara aktif ataupun sebaliknya. Ia juga menyediakan mod sport bagi pemanduan sporty yang mengutamakan prestasi kereta selain juga lebih cengkaman ketika di jalan yang licin.

Gaya badan

TIADA yang tidak menoleh dua kali ketika nampak kelibat Peugeot 207. Kereta itu cukup elegan, dinamik dan mewah, selain memperlihatkan kesinambungan model Peugeot 308 dengan reka bentuk menyerlahkan kualiti dan kekuatan rangka bina. Bahagian depan ditampilkan dengan jeriji krom dan mempunyai nama Peugeot, membentuk satu kesatuan kepada keseluruhan reka bentuk supaya lebih menonjol. Bentuk bamper bahagian hadapan yang berjaya diterapkan secara cukup kemas, menawarkan perlindungan terbaik.

Ruangan dalaman

PEUGEOT 207 mempunyai ruang yang luas dengan reka bentuk dashboard turut menawarkan tahap penglihatan lebih jelas kepada penumpangnya. Bahagian panel instrumen juga ringkas, jelas dan mudah dibaca. Untuk menjadikan ruang dalaman lebih menarik dan sporty, steringnya juga disaluti dengan kulit.

Keselamatan

KESELAMATAN pemandu dan penumpangsememangnya diutamakan. Kereta ini antara lain dilengkapkan dengan beg udara pintar yang boleh tidak diaktifkan jika tempat duduk kanak-kanak dipasang pada kerusi hadapan sebelah pemandu. Malah, ia dipermudah dan lebih selamat dengan pemasangan ISOFIX.

Selain pintunya akan berkunci secara automatik apabila kereta bergerak pada kelajuan 10 kilometer, Peugeot 207 juga mengaktifkan lampu kecemasan atau hazard light secara automatik sekiranya kenderaan itu dibrek dengan mengejut dan mendadak, sebagai memberikan amaran kepada pemandu-pemandu di belakang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: