JAGUH negara, Datuk Lee Chong Wei kini sudah bersedia untuk menggenggam gelaran juara pada Kejohanan Badminton Dunia di London, England Ogos depan.
Bukan sekadar omongan kosong, namun keyakinan itu disuarakan oleh Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj rentetan kejayaan Chong Wei merangkul kejuaraan ketiga berturut-turut pada Terbuka Indonesia kelmarin.
Menurut James, ketika ini tidak ada apa yang boleh menghalang Chong Wei bagi bergelar juara dunia berdasarkan prestasi semasanya dan juga sikapnya yang dilihat sentiasa dahagakan kemenangan.
“Chong Wei memang sudah bersedia untuk beraksi pada Kejohanan Dunia, malah dia mampu bergelar juara.
“Tidak ada orang yang boleh menghalang Chong Wei daripada mencapai matlamatnya itu dan saya tidak akan benarkan sesiapun pun menganggu fokusnya untuk bergelar juara dunia.
“Saya percaya, sikapnya yang sentiasa dahagakan kemenangan itu bakal membantu dia untuk melakar kejayaan nanti.
“Kini, apa yang saya harapkan Chong Wei mampu mengekalkan fokusnya sebelum Kejohanan Dunia bermula,” kata James semalam.
Sebagai rekod, pemain kelahiran Pulau Pinang itu masih belum pernah meraih gelaran juara pada Kejohanan Dunia.
Gelaran dunia pada tahun ini dilihat sangat penting buat Chong Wei memandangkan pemain No. 1 dunia itu dijangka akan ‘menggantung raket’ sebaik tamat temasya Sukan Olimpik 2012 di London.
Justeru, mahu atau tidak, Chong Wei perlu merealisasikan impiannya itu bagi meletakkan namanya sebaris dengan jaguh-jaguh badminton dunia seperti perseorangan China, Lin Dan dan Taufik Hidayat (Indonesia) yang terlebih dahulu telah melengkapkan koleksi kejuaraan mereka.
Lin Dan dan Taufik telah mencatat nama selaku juara pada Sukan Olimpik dan Kejohanan Dunia yang mana ia masih belum dinikmati oleh Chong Wei lagi.
Selepas Kejohanan Dunia, tumpuan Chong Wei akan beralih dalam usaha meraih pingat emas pada Sukan Olimpik di London kelak.
Diminta mengulas mengenai prestasi Chong Wei sepanjang beraksi pada Terbuka Indonesia, James berkata: “Secara keseluruhannya, dia beraksi dengan baik sekali dan itu memang jelas terbukti.
“Cuma, pada peringkat separuh akhir menentang Chen Long, dia menghadapi sedikit kesukaran kerana pemain itu menukar corak permainannya, namun Chong Wei tetap mampu mengatasinya.
“Apa yang menariknya mengenai corak permainan Chong Wei, dia tidak pernah fikir mengenai pemain lain kerana fokusnya tertumpu terhadap corak permainannya sendiri,” ujar James.
Pada aksi final di Stadium Istora Senayan kelmarin, Chong Wei membuktikan statusnya selaku jaguh No. 1 dunia apabila mudah membenam cabaran pemain vateran Denmark, Peter Hoeg Gade 21-11, 21-7.
Ia merupakan gelaran keempat Chong Wei pada Terbuka Indonesia selepas kali pertama dia muncul juara pada 2007.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: