![]() |
| |
LAMAN sosial Twitter kini jelas membantu peminat merapati selebriti kegemaran mereka. Malah, ia turut mendekatkan emosi para selebriti dengan khalayak.
Baru-baru ini, Diva terbaca status Twitter pelakon popular Fasha Sandha. Fasha seakan-akan kesal dengan sikap seorang pelakon lelaki yang datang lambat ke set penggambaran.
Diva tahu yang Fasha terkenal dengan disiplin yang tinggi dalam bab masa di lokasi penggambaran mahupun sesi fotografi.
Diva sebenarnya tidak tahu siapa gerangan aktor yang menyusahkan kerja pelakon lain dan pihak produksi itu. Diva tidak mahu tahu pun.
Cuma Diva ingin berkongsi rasa dengan Fasha. Diva faham bagaimana menunggu itu boleh melengahkan kerja dan membantutkan perancangan kita yang lain.
Teman-teman Diva juga sudah sering melalui insiden yang sama khususnya artis datang lambat ke sesi fotografi media.
Yang pandai minta maaf dan datang dengan alasan atau sebab yang munasabah itu, memang wartawan faham.
Cuma ada segolongan artis yang masih menganggap masa itu tidak penting dan membuatkan orang menunggu itu bukan satu kesalahan. Sudahlah datang lenggang kangkung, tiada satu pun kata maaf keluar daripada mulut mereka.
Sebenarnya Diva susah juga untuk dapat artis yang betul-betul menepati waktu.
Tetapi Diva tidak nafikan ada selebriti yang begitu menghargai masa malah datang awal ke lokasi yang dijanjikan.
Selebriti jenis ini pasti menyenangkan kerja dan tidak menyebabkan wartawan berfikir dua kali untuk bekerjasama dengan mereka lagi.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: