INSAF...antara bekas penagih menceritakan detik hitam zaman lampau mereka kepada wartawan Metroplus (dua dari kiri) di Klinik Cure & Care 1Malaysia.
KUALA LUMPUR: “Saya serik dengan pengalaman sebagai penagih sejak 20 tahun lalu. Biarpun dibesarkan dengan didikan agama dan kasih sayang ibu bapa, saya abaikan mereka hingga meminta wang setiap bulan semata-mata untuk membeli dadah.
“Malah, saya tergamak melihat ibu terjatuh di dalam hujan lebat ketika menghantar duit kepada saya yang menunggu di dalam kereta. Saya harap peluang kedua ini, dapat saya gunakan untuk menjalanii hidup lebih gembira dan tenang,” kata bekas penagih dadah, Hazmi Ismail.
Hazmi, 46, yang juga seorang penjawat awam berkata, semuanya bermula kira-kira 20 tahun lalu ketika baru tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia bersama rakan ingin mencuba sesuatu yang baru dengan mengunjungi kelab malam dan mengamalkan gaya hidup bebas.
Aktiviti itu diteruskan sehingga dia mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di peringkat diploma dan sarjana muda di sebuah institusi pengajian tinggi awam di ibu negara dan terbawa-bawa ke alam pekerjaan mengakibatkan semua wangnya habis dibelanjakan untuk membeli dadah.
“Kemuncak ketagihan kepada heroin menyebabkan saya menghabiskan RM1,000 bagi mendapatkan bekalan selama seminggu. Ibu bapa pula terpaksa memberikan wang kepada saya semata-mata mengelakkan saya terjebak ke kancah jenayah.
“Saya langsung tidak ambil peduli kesusahan mereka. Selama beberapa bulan, saya tidak pulang ke rumah dan hanya mengambil wang yang dihantar di pintu pagar. Ibu tidak membantah atau merungut kerana bimbang dengan sikap saya yang mula panas baran,” katanya ketika ditemui di Klinik Cure & Care 1Malaysia, Sungai Besi, baru-baru ini.
Menurutnya, kini dia tidak akan mensia-siakan ‘kehidupan kedua’ yang diberikan selepas menjalani proses pemulihan di Klinik Cure & Care 1Malaysia dengan menumpukan sepenuh masa kepada keluarga untuk menebus segala kesilapan lalu.
Seorang lagi bekas penagih, Murugan, 36, berkata, pengalaman sepanjang menjalani pakej rawatan di klinik berkenaan akan digunakan sebaik mungkin selepas keluar dari pusat itu.
“Saya berterima kasih kepada pegawai dan kaunselor yang memberi bantuan kepada semua penghuni di sini. Suasananya begitu berbeza dengan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen),” katanya.
Murugan yang dipenjara empat tahun kerana kesalahan mengedar dadah berkata, keazaman untuk bebas daripada pengaruh dadah membuatkan dia menjalani sesi pemulihan di klinik berkenaan.
“Lebih penting ialah kejujuran pada diri sendiri. Kebanyakan penagih tidak mampu menahan nafsu untuk kembali menagih kerana tidak jujur. Sebab itu, sebaik keluar, mereka akan mencari rakan yang boleh memberikan mereka stok,” katanya.
Sementara itu, bagi Mira Ahmad, yang menjadi antara penagih termuda menerima rawatan di situ, kegagalan untuk mendengar nasihat ibu bapanya yang melarangnya bergaul dengan remaja nakal menyebabkan keseluruhan hidupnya hampir musnah akibat dadah.
Dia yang berusia 16 tahun, terpengaruh pujukan teman lelakinya supaya mencuba ‘keasyikan’ berada dalam pengaruh dadah berkata, kerana perasaan sayangnya terhadap lelaki terbabit, dia bukan saja mencuba bahan terlarang itu, malah mencuri wang ibunya semata-mata untuk mendapatkan bekalan.
“Kali pertama saya dimasukkan ke sini, arwah ayah masih ada. Selesai menjalani pemulihan, saya berjumpa semula teman lelaki dan terjerumus buat kali kedua. Saya berharap ini yang terakhir kerana saya ingin pulih sepenuhnya dan menjadi anak yang baik,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: