![]() |
| PENYANYI tetap, Budin (kiri) dan Shaikh Ali menghiburkan pengunjung di Restoren Elizzat, Jalan Hang Tuah, Melaka. |
JIKA anda berkunjung ke Melaka terutama jika berpeluang berada di Jalan Hang Tuah atau lebih dikenali Hang Tuah Mall, tidak sempurna tanpa singgah menjamu selera di Restoran Elizzat.
Restoran tersebut sama seperti yang lain. Namun keunikannya ialah konsep santai buat pengunjung bersama keluarga menikmati makanan sambil berhibur.
Menggabungkan suasana santai, Restoran Elizzat memang cukup sesuai buat seisi keluarga menjamu selera sambil dihiburkan dengan persembahan unplug, sekali gus menjanjikan suasana mengalu-alukan kedatangan anda.
Alunan piano bekas pemuzik berpengalaman yang merupakan anggota Flying Colours dan Histree di awal 1980-an, Ramlan Ab. Rahman atau lebih dikenali Lan, menjadi santapan telinga dengan lagu pelbagai rentak sama ada slow rock, balada, mambo, rhumba, rock dan irama Malaysia.
Menyerikan gandingan Ramlan ialah kehadiran penyanyi lagu jenaka, Shaikh Ali Shaikh Abdullah, suara lunak Isa Senin, manakala gandingan Mohd. Ali Hussin dan Uncle Chua yang popular dengan lagu-lagu berirama Hindustan membuatkan pengunjung tersenyum puas.
Shaikh Ali terkenal dengan lagu-lagu jenaka seperti Mak Datin, Kahwin Bersepah, Aku Lelaki dan sebagainya membuatkan pengunjung sering ketawa menghayati setiap baris lirik yang mencuit hati mereka yang mendengarnya.
Isa pula mempunyai vokal lunak dan mantap setiap kali mengalunkan lagu-lagu dari koleksi penyanyi popular Jamal Abdillah, Datuk Ahmad Jais, kumpulan Spring dan banyak lagi.
Lebih mencuri perhatian ialah Uncle Chua, satu-satunya individu Cina yang fasih mengalunkan lagu Hindustan sekitar awal 60-an dan 70-an. Apabila digandingkan dengan Mohd. Ali, pastinya pengunjung terhibur.
Ditambah pula dengan gelagat seorang lelaki kurang upaya yang dikenali Budin yang menari tanpa henti membuatkan konsep santai di Restoran Elizzat tambah 'berseri'.
Kesemua mereka boleh dilabelkan sebagai penghibur tetap di restoran tersebut.
Dibantu sistem bunyi yang baik, ia menghasilkan kualiti akustik menjadikan suasana tidak terlalu bingit atau berdengung sekali gus memuaskan hati pelanggan ketika menjamu selera.
Keunikan tempat itu biarpun berstatus restoran, namun ia sering menjadi kunjungan artis popular bukan sahaja untuk menjamu selera tetapi turut mengambil kesempatan untuk membuat persembahan.
Antara artis yang pernah menyanyi di Restoran Elizzat ialah Yuna, Mus, Lan Kristal, Rahmat Ekamatra, Bloodshed, Ali Terra Rossa, Sham Kamikaze, komposer terkenal S. Atan, Joey Exist, Joey BPR, Nash, Allahyarham Samerin Fotograf dan ramai lagi.
Terbaru, restoran itu menjadi tempat menjamu selera kepada 11 artis yang membuat persembahan konsert Pancaindera sempena Pesta Sungai Melaka 2011 di Taman Rempah pada 4 Jun lalu.
Antara artis yang hadir ialah Shahir, Fazli Zainal, Roslan Shah, Didie Alias, Adira, Jehan Miskin, Fizo Omar, Kamal Adli, Kumpulan Kristal, Sivakumar dan Super Girls.
Restoran yang boleh memuatkan 100 orang pengunjung dalam satu-satu masa itu menyediakan pelbagai pilihan masakan tempatan dan moden termasuk cita rasa Barat yang 'dienakkan' lagi dengan alunan muzik sebagai santapan halwa telinga.
Untuk menjamu selera, pelbagai menu masakan disediakan bagi sarapan, makan tengah hari, minum petang dan makan malam.
Restoran tersebut dibuka 24 jam manakala persembahan hiburan bermula pada pukul 10 malam hingga 2 pagi setiap hari.
Situasi itu akan dirasai dan mengikat hati pengunjung apabila singgah di Restoran Elizzat yang terletak di kawasan yang merupakan laluan ke pusat bandar, sekali gus memudahkan pengunjung memilihnya sebagai destinasi pilihan untuk bersantai.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: