Thursday, June 2, 2011

Anak berkhemah ibu bapa berehat


Program Camp Out For Kids yang dianjurkan oleh Hotel Palm Garden , Putrajaya dipenuhi pelbagai aktiviti menarik.


SELAIN melancong, beriadah atau menyertai kem motivasi bagi memenuhi aktiviti cuti sekolah, ibu bapa juga boleh mencuba mendaftar anak mereka menyertai perkhemahan kanak-kanak yang dianjurkan oleh Hotel Palm Garden, Putrajaya.

Menariknya aktiviti perkhemahan Camp Out For Kids sempena cuti sekolah ini ialah apabila ibu bapa tidak perlu berjauhan dari anak-anak mereka.

Ini kerana, sementara anak berkhemah ibu bapa boleh berehat di bilik tidur hotel yang berwajah baru dan serba lengkap dengan kemudahan yang menarik.

Menurut Pengurus Perhubungan Awam Palm Garden Hotel, Audrey Yap, pihak hotel menerusi jabatan rekreasi menyediakan khemah, beg tidur, sarapan, makan tengah hari dan makan malam.

Lebih istimewa seorang jurulatih disediakan untuk mengajar dan menjalankan aktiviti kepada kanak-kanak terbabit.

"Memang tidak membebankan ibu bapa kerana kanak-kanak ini cuma perlu membawa pakaian seperti baju hujan, pakaian renang yang sesuai, baju salinan, seluar trek panjang dan baju tangan panjang, selipar, kasut dan baju panas untuk waktu malam," ujarnya yang ditemui baru-baru ini.

Menurut Audrey, antara aktiviti yang telah dirangka adalah seperti mendirikan khemah, membuat unggun api, aktiviti membina kendiri dan pelbagai lagi.

Malah aktiviti terbahagi kepada luaran dan dalaman dan juga bergantung kepada cuaca.

"Setiap aktiviti berbeza untuk usia kanak-kanak, jadi mereka tidak akan bosan dengan aktiviti yang telah ditetapkan untuk usia mereka.

"Bagi kemudahan tandas pula tidak perlu risau kerana semuanya disediakan berhampiran khemah.

"Jika anak jatuh sakit tidak perlu khuatir kerana jurulatih telah dilatih dengan latihan bantuan kecemasan dan hotel juga mempunyai seorang doktor dan boleh merujuk kepada Hospital Serdang," ujarnya.

Perkhemahan seperti ini bukan sahaja memberikan satu pengalaman baru kepada kanak-kanak, malah yang lebih penting ia mengajar semangat berkerjasama, berdikari dan merasai satu pengalaman yang jauh dari kehidupan sebenar mereka..

Untuk maklumat lanjut tentang perkhemahan kanak-kanak ini boleh hubungi 03-89432233.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: