PESONA Aaron Aziz, 35, dalam industri seni semakin memikat hati penonton. Setelah empat tahun mencari tapak di Kuala Lumpur, lakonan lelaki dari Singapura ini jarang mendapat kritikan.
Buat masa ini, namanya sedang menjadi sebutan menerusi drama popular Nora Elena di TV3. Selain itu, dia bakal muncul dalam filem KL Gangster mulai 9 Jun ini dan sibuk dengan pementasan teater Badai Semalam bermula November depan.
Bukan itu sahaja, terdapat beberapa drama dan filem lagi yang akan menampilkan Aaron seperti Stanza Cinta, Tahajud Cinta dan filem Ngorat.
Menyentuh tentang cabang lakonan, lelaki ini menganggap bidang teater yang baru diceburinya seperti jodoh ‘terpaksa’. “Dulu saya terpaksa berlakon teater pertama saya iaitu Natrah sebab Erra Fazira paksa saya. Kali ini saya pula rasa tertekan untuk berlakon Badai Semalam mendapat watak utama,” kata Aaron kepada OopStarz!.
Tergoda
Selain lakonan, ramai wanita tergoda dengan susuk badan Aaron yang tegap dan sasa.Namun begitu, Aaron akui badannya sudah semakin susut. Disebabkan kesibukan kerja, dia tiada masa untuk mengatur jadual pemakanan dengan baik dan melakukan senaman di gimnasium.
“Sebelum kahwin, saya gemar pergi gimnasium tetapi selepas mempunyai anak, saya sudah malas untuk melakukannya.
“Sekarang cara senaman saya di rumah adalah dengan mendukung anak-anak,” kata bapa kepada tiga anak ini sambil ketawa.
Anak sulung lelakinya berusia 7 tahun manakala dua anak perempuannya masing-masing berusia lima dan satu tahun.
Aaron menambah, kerana jarang melakukan senaman, dia turut mengambil kesempatan dengan melakukan aksi-aksi yang boleh mengeluarkan peluh ketika di set penggambaran terutamanya untuk adegan-adegan yang memerlukan dia berkasi ganas.
Sebagai contoh katanya, dalam filem KL Gangster dia menggunakan peluang sepenuhnya untuk melakukan senaman bersesuaian dengan watak yang diberikan itu.
“Berat badan saya pula jenis yang cepat naik dan turun. Tetapi seumur hidup ini, saya tak pernah gemuk.
“Pemakanan saya semenjak dua hingga tiga tahun ini, tidak terjaga kerana saya terpaksa makan makanan yang disediakan di set penggambaran.
“Bagaimanapun, saya hanya makan nasi dua hingga tiga kali seminggu disebabkan nasi tinggi karbohidrat dan boleh membuatkan badan ‘mengembang’. Tetapi saya tidak boleh mengelak untuk sarapan pagi,” katanya.
Sebagai ganti, Aaron mengamalkan makan sayur-sayuran, buah-buahan dan roti.“Saya tidak bersenam, jadi saya perlu mengelak makanan yang menggemukkan.
“Saya sudah tiada jiwa untuk bersenam dan hidup saya sekarang ini hanya tertumpu kepada isteri dan anak-anak,” katanya.
Aaron mengandaikan dirinya sudah tua walaupun usianya baru menginjak 35 tahun. Dia merasakan dalaman dirinya seolah-olah tidak seiring dengan umurnya sekarang berbanding lelaki lain yang aktif melakukan aktiviti kegemaran masing-masing.
“Walaupun umur saya masih muda, tapi dalaman saya sudah tidak aktif lagi seperti dulu kerana sibuk dengan kerja dan anak-anak. Mereka semakin membesar.
“Banyak hati orang yang saya kena jaga terutama keluarga dan bukan mudah untuk memuaskan hati mereka semua dalam satu-satu masa.
“Sekarang, saya, isteri dan anak-anak berpindah ke Kuala Lumpur tetapi emak saya masih berada di Singapura. Jadi, sesekali dalam sebulan saya perlu balik ke sana untuk melawatnya,” ujar Aaron.
Kebersihan rumah
Tidak dinafikan, lelaki zaman sekarang begitu mementingkan penjagaan dan kebersihan rumah. Sama seperti Aaron, dia agak menitikberatkan kebersihan lantai rumah agar sentiasa bersih dan tidak berhabuk.
“Saya akan mengelap lantai jika tiada orang melakukannya dan memastikan ia dilakukan pada setiap hari. Biasanya pembantu rumah saya lakukan, tetapi jika tidak baru saya akan ambil alih kerja itu.
“Saya sangat mementingkan kebersihan lantai sebab anak-anak suka baring dan duduk atas lantai.
“Jadi, saya anggap mengelap lantai seperti aktiviti wajib tetapi perkara lain saya serahkan kepada isteri dan pembantu rumah,” ceritanya.
Jelas Aaron mungkin aktiviti tersebut menjadi tabiatnya kerana sejak kecil lagi dia sudah dilatih oleh ibunya untuk mengelap lantai dan mencuci dapur.
Beralih kepada penjagaan kulit muka, disebabkan tiada masalah serius pada kulitnya, Aaron tidak terlalu obses untuk membeli produk penjagaan kulit.
Dia juga mengelak daripada di solek apabila berlakon kerana lebih selesa wajahnya bebas daripada kosmetik.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: