Thursday, June 2, 2011

24 PATI nyaris lemas bot karam


SEORANG anggota TLDM membawa sebahagian PATI yang diselamatkan selepas bot pancung yang dinaiki karam di Tanjung Ayam, Pengerang, Kota Tinggi semalam.


KOTA TINGGI – Tindakan sekumpulan 24 pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia untuk menyeludup keluar dari negara ini mengundang padah apabila bot pancung yang mereka naiki karam di perairan Tanjung Ayam, Pengerang dekat sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu, 17 daripada PATI berusia di antara 24 dan 46 tahun berjaya diselamatkan manakala tujuh lagi masih belum ditemui.

Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim Malaysia (APMM) Tanjung Sedili, Komander Abdul Razak Johan (GAMBAR KECIL) berkata, daripada jumlah terbabit, seramai tujuh mangsa diselamatkan kapal dagang dari China MT Huo Tuo, APMM (6), bot Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) CP90 (3) dan seorang lagi oleh Pasukan Pengawal Pantai Singapura.

Katanya, semua PATI lelaki tersebut sebelum itu berlepas dengan sebuah bot pancung tidak berdaftar dari Sungai Rengit menuju ke Batam, Indonesia pada pukul 2 pagi.

“Bagaimanapun, bot itu karam selepas dipukul ombak di 3.5 batu nautika dari Selatan Tanjung Ayam. Ia berlaku apabila bot itu dimasuki air selepas terkena ombak kuat akibat pergerakan laju sebuah feri berhampiran.

“Sebaik mendapat maklumat pada pukul 7.45 pagi daripada pihak berkuasa Singapura, kita telah mengerahkan seramai 80 anggota dengan menaiki tujuh buah bot dan dua helikopter untuk operasi mencari dan menyelamat,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: