Thursday, June 16, 2011

1MDB bangun Bandar Malaysia

LAPANGAN Terbang  Sungai Besi akan menjadi kawasan perumahan, komersial dan rekreasi, selain kawasan hijau yang lapang serta ruang terbuka untuk kegunaan orang ramai beriadah.
LAPANGAN Terbang Sungai Besi akan menjadi kawasan perumahan, komersial dan rekreasi, selain kawasan hijau yang lapang serta ruang terbuka untuk kegunaan orang ramai beriadah.
Projek akan mengubah wajah kawasan Lapangan Terbang Sungai Besi

1MALAYSIA Development Bhd (1MDB) akan mengubah wajah kawasan Lapangan Terbang Sungai Besi lama kepada sebuah perbandaran baru bersepadu yang akan dikenali sebagai Bandar Malaysia.
Ia adalah kali ketiga kawasan bersejarah itu ditukar kegunaannya selepas menjadi lapangan terbang antarabangsa pertama Malaysia pada 1956 yang telah mencetuskan perkembangan industri penerbangan, pengangkutan, pelancongan dan hospitaliti di negara ini.
Dalam satu kenyataan semalam, 1MDB sebuah syarikat milik penuh kerajaan yang ditubuhkan bagi melaksanakan projek yang boleh menjana peluang berimpak tinggi kepada ekonomi negara berkata, Bandar Malaysia itu apabila siap kelak akan mengukuhkan lagi daya saing global Kuala Lumpur untuk menarik lebih ramai pelabur dan perniagaan antarabangsa.

Bagi merealisasikan matlamat itu, katanya, Bandar Malaysia akan menempatkan kawasan perumahan, komersial dan rekreasi, selain kawasan hijau yang lapang serta ruang terbuka untuk kegunaan orang ramai beriadah.

“Selain bentuk pembangunan asas, bandar yang dibangunkan khusus bagi membudayakan konsep ‘livability’ sebagai ciri utama Greater Kuala Lumpur itu akan turut menempatkan institusi pengajian tinggi bertaraf antarabangsa,” kata kenyataan itu.

Bagi membuka laluan ke arah pembangunan Bandar Malaysia itu, 1MDB semalam memeterai perjanjian dengan beberapa pihak berkaitan.
Perjanjian pertama ialah dengan Suruhanjaya Tanah Persekutuan, iaitu bagi pemindahan tanah Lapangan Terbang Sungai Besi seluas 196.6 hektar kepada 1MDB, manakala yang kedua dengan Menteri Besar Diperbadankan Negeri Sembilan bagi pembelian tanah seluas 300 hektar di Sendayan yang akan berfungsi sebagai tapak ganti bagi pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Perjanjian ketiga pula ialah bagi membangunkan lapan tapak ganti untuk Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri.

Pada majlis di Putrajaya itu, 1MDB diwakili Ketua Eksekutifnya, Shahrol Halmi.

Menteri Besar Diperbadankan Negeri Sembilan diwakili Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamed Hasan; dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan, manakala Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Mahmood Adam; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Dr Ismail Ahmad; dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan, Datuk Azemi Kasim, yang juga Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, mewakili kementerian dan jabatan masing-masing.

Ia disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: