EMPAT tahun lalu, penulis pernah menulis mengenai hiasan dalaman kediaman flet Shahril Suleiman di Sentul, Kuala Lumpur. Ketika itu, gaya penataan rumahnya jelas dipengaruhi tema hiasan Jepun yang dizahirkan melalui pengalaman serta pemerhatian selama enam bulan berkursus di Kitahanada, Osaka, Jepun.Kini, selepas beberapa kali mengubah gaya penataan pun, konsep kediaman di negara matahari terbit itu masih kuat mempengaruhi pertimbangannya menentukan hiasan dalaman. Yang sedikit berubahnya hanya garapan ruangnya yang menyelitkan sentuhan majoriti pangsapuri moden di Shanghai, China.
Menamakan praktik gaya berkenaan sebagai kontemporari Oriental, luas terhad pelan lantai cuba dikaburi menerusi susun atur perabot rapat ke dinding. Maka, selain sofa tiga tempat duduk, kedudukan meja konsol jati turut dipastikan menyentuh rapat permukaan dinding ruang tamu.
“Ruang lapang di tengah rumah diwujudkan dengan cara menempatkan perabot dekat dengan dinding. Namun, meja kopi diletakkan di tengah ruang selayak fungsinya selain dijadikan pelengkap gaya,” katanya yang mengutarakan kesinambungan tema Jepun melalui pilihan cat dinding warna semula jadi.
Rona redup yang menjadi sanjungan pendukung gaya Zen memberi ilham kepadanya memilih warna tanah liat melatari dinding tumpu ruang tamu. Namun, supaya ruang nampak luas lagi harmoni, dinding selebihnya dicat dengan putih polos.
Malah, demi keserasian, sofa dan ambal dipastikan mengemukakan tema warna sama dengan dinding tumpu manakala pilihan perhiasannya terhad kepada himpunan warna semula jadi.
“Demi kelainan dan agar suasana tidak hambar, aksesori merah dramatik diselitkan biarpun jumlahnya boleh dibilang dengan jari. Memahami hijau penting bagi membangkitkan kesegaran, ia saya tampilkan melalui pokok hiasan yang ditempatkan di beberapa sudut strategik,” kata Pengurus Peruncitan rangkaian gedung beli-belah terkemuka yang turut mengabadikan omiyage (cenderahati dari Jepun) sebahagian perhiasan rumahnya sekarang.
Aksesori lain turut menyumbang pembentukan karekter kediamannya termasuk bangku dan pasu bunga Oriental, kelengkapan menghidang antik China, cerek lama Indonesia, beg pakaian antik daripada kayu jati buatan Indonesia dan baldi antik kayu dari China.
“Selera dan cita rasa saya menjurus kepada produk hiasan antik dan unik. Tengok sajalah penyeri dinding berupa bingkai dari Sarawak disulami selendang ole-ole Vietnam itu. Saya memilih menggantungnya di situ kerana percaya ia membawa kelainan selain mengubah wajah ruang tamu. Ruang yang sama juga dihiasi piring porselin merah dan sebuah bingkai besar selaku tarikan utama dinding tumpu,” ujarnya.
Selain itu, Shahril yang berpendapat ruang tamu sewajarnya dijadikan tempat beristirahat serta menenangkan fikiran segera tampil dengan gaya penataan tersendiri. Baginya, kunci menyediakan gaya santai bukan ditentukan pilihan perabot sebaliknya diutarakan menerusi koleksi buku dan perhiasan yang disusun secara rawak namun mematuhi konsep kediaman secara menyeluruh.
“Susunan buku dan perhiasan secara tidak menentu bukan menandakan suasana tidak kemas tetapi meminjamkan gaya santai di ruang terbabit. Ini cara saya mendefinisikan konsep hiasan dalaman santai dan mententeramkan jiwa,” katanya yang membahagikan ruang dapur kepada basah dan kering.
Di satu sudut ruang dapur kering, ditempatkan sebuah meja makan kayu getah padu dilengkapi kerusi daripada spesis kayu sama. Ini diiringi kabinet dapur, peti sejuk serta ketuhar bagi tugasan ringan misalnya memanaskan lauk dan hidangan lainnya.
Menariknya, sebuah jendela dibina bagi menghubungkan ruang dapur kering dengan basah sekali gus melambangkan penghuninya mempunyai cita rasa unik.
Menepati gaya serta fungsi, sepasang rak disediakan di ruang dapur basah khusus menyimpan perkakasan dan kelengkapan menghidang. Selaku jejaka bujang, Shahril nyata berpuas hati dengan perencanaan ruang dapurnya dan ia dibuktikan menerusi kata-katanya, “meskipun ruangnya sangat kecil namun saya selesa dan suka berada di sini. Belum terlintas lagi di hati ini untuk mengubah segala yang dirancang di sini.”
INFO: Kediaman Shahril
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: