
SERAMAI 12 orang wakil media dari Kuala Lumpur, sama ada dari media cetak mahupun elektronik, diterbangkan ke Kuching untuk membuat liputan Karnival Belia 1Sarawak baru-baru ini .
Tarikh 9 April merupakan berakhirnya karnival tersebut yang berlangsung selama empat bulan, bermula sejak 7 Januari lalu.
Yang menarik mengenai karnival tersebut bukan kerana bilangan artis yang lebih 80 orang atau kesukaran penyelaras merangkap penasihat karnival, Hattan, yang perlu membawa antara 30 hingga 40 artis seminggu untuk menghiburkan belia Sarawak.
Tetapi cerita di sebalik bilik penginapan yang menempatkan para wakil media dari Kuala Lumpur iaitu sebuah hotel lama di bilik 1404.
Sebelum ini, penyanyi lagu Biso Bonar, Hattan bersama para petugasnya pernah duduk di bilik 1404 yang mempunyai tiga bilik tidur besar, ruang tamu yang luas lengkap dengan dapur dan satu bilik air.
Usikan dari dalam bilik 1404 bermula dengan komputer riba yang diletakkan di ruang tamu, digunakan oleh 'seseorang' untuk menaip sesuatu sedangkan tiada sesiapa antara petugas yang menggunakan komputer riba pada ketika itu.
Tidak cukup dengan usikan komputer riba, kelibat seorang wanita mendukung anak kelihatan melintas di dalam bilik tersebut yang dihuni oleh petugas lelaki sahaja.
Ekoran itu, kedengaran cerita, ada petugas yang meremang bulu tengkuk, berlari keluar meninggalkan bilik tersebut dengan hanya bercelana dalam.
Ketibaan sembilan wakil media yang ditemani oleh penyelaras media, Aida Husin petang Jumaat, 8 April dibawa ke tempat penginapan, terpilih untuk menginap di bilik 1404.
Hampir detik pukul 12 tengah malam, kedengaran pintu bilik dihempas empat kali. Walhal yang berada dalam salah satu bilik hanya penyelaras media yang kebetulan duduk di atas katil kerana menunggu ketibaan tiga lagi wakil media dari Kuala Lumpur yang menaiki penerbangan pada sebelah malam.
Bagaimanapun, usikan 'penghuni' 1404 terhenti setakat itu sahaja.
Berbalik kepada Karnival Belia 1Sarawak, konsert terakhir yang diadakan di tujuh lokasi berakhir dengan konsert di Semariang, Santubong yang dihoskan oleh Isma Halil Hamzah.
Antara artis yang mengadakan persembahan di situ ialah Farah Ashikin, Zizie The Fabulous Cat, Daus dan Maro serta Ucop Baji.
Sebelum tiba acara kemuncak iaitu kemunculan Papa Rock Ramli Sarip bersama gitaris handalan kumpulan Lefhanded, Man Kidal, petir berdentum disusuli dengan kilat dan hujan turun dengan lebatnya.
Persembahan tetap diteruskan kerana kata Ramli, ada di antara peminatnya yang hadir di tapak konsert pada malam itu, menunggu selama 33 tahun untuk dihiburkan.
"Persembahan harus diteruskan. Insya-Allah, semuanya akan dilaksanakan," kata Ramli yang mendendangkan tujuh lagu kerana melihat 10,000 peminat tidak berganjak untuk menyaksikan persembahan artis-artis walaupun dalam keadaan basah kuyup.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: