Sunday, April 17, 2011

Tiz Zaqyah tak terkilan


TIDAK pernah ada istilah cemburu dalam diri Tiz zaqyah apabila melihat kejayaan artis lain.


SUDAH tertulis ia bukan rezeki saya.” Demikian ringkas gadis cantik ini menuturkan jawapan saat diusik mengenai kekalahannya dalam persaingan merebut gelaran Pelakon TV Wanita Popular dalam Anugerah Bintang Popular baru-baru ini.

Dia kalah di tangan Fasha Sandha, aktres yang pernah ‘bertelingkah’ dengannya sebelum ini gara-gara dakwaan merebut cinta lelaki yang sama.

Kalah di tangan pihak yang tidak berseteru, tidak cemburukah dia? Atau tidak terkilankah dia kerana kalah di tangan musuh?

Itu antara soalan-soalan yang muncul selepas lampu sorot majlis anugerah dipadamkan dan penonton mula melangkah keluar dari dewan gah yang terletak di puncak Genting Highlands itu.

Dalam reaksi tenang, gadis yang mesra disapa Tiz ini menjelaskan, di dalam hatinya tidak timbul sedikit pun rasa cemburu atau terkilan kerana baginya semua itu sudah ditentukan oleh-Nya.

“Buat apa saya nak cemburu dengan dia (Fasha). Lagipun kemenangan ditentukan oleh undian peminat, jadi untuk apa ia nak dipertikaikan.

“Malah, terus-terang saya katakan, saya pun tak mengharapkan apa-apa pada malam itu. Saya memang reda.

“Malah, semasa saya menang anugerah yang sama tahun lepas pun ia memang di luar jangkaan saya.

“Bukan apa, bila saya fikir semula, ada ramai lagi artis yang lebih senior dari saya yang layak untuk merangkul anugerah begitu. Mereka patut diberi peluang,” katanya.

Cukup tegas menyatakan prinsipnya, kata Tiz, dia tidak pernah meletakkan sebarang sasaran untuk menang anugerah dalam mana-mana majlis meski sedar memenangi trofi merupakan sesuatu yang penting dalam kerjayanya.

Tutur Tiz, sama ada memang atau kalah, dia mahu memandang semuanya dari sudut positif.

Bahkan katanya, dia tidak mahu dikaitkan dengan cerita lapuk yang mengheretnya kembali untuk mengingati sejarah hitam mengenai kes ‘perebutan’ lelaki dengan aktres tersebut.

Kata pelakon drama bersiri Gemilang ini lagi, usahkan cemburu, dendam pun tidak disimpan di lubuk hatinya.

“Sebetulnya, saya tak mahu merasa terganggu dengan cerita-cerita lama. Sebab saya tahu, tak elok pun kalau kita simpan sifat-sifat marah atau dendam dalam hati. Tak sihat!

“Apa yang penting, kita teruskan sahaja hidup ini dan cari lebih banyak perkara baik untuk diisi dalam hidup.

“Alhamdulillah juga sebab saya ini seorang yang cepat lupa. Saya sendiri dah lupa mengenai hal dulu itu. Kalau tak ada orang bertanya, memang saya tak ingat pun,” katanya jujur.

Sedar diri dikritik

Selama enam tahun menghirup nafas

sebagai seorang pelakon, Tiz kini melebarkan pula sayapnya dengan menceburi bidang nyanyian.

Percubaan pertamanya menerusi lagu tema filem Nur Kasih dan menjadi pasangan duet dengan penyanyi Yassin ternyata melahirkan pro dan kontranya.

Ada yang suka, ada yang mengkritik nyanyiannya.Ada yang cadang Tiz jadi pelakon sajalah, tak perlu jadi penyanyi kalau suara sekadar ada.

“Saya tahu ada yang suka dan ada yang kritik cara nyanyian saya. Itu semua terpulang kepada mereka untuk menilai.

“Saya pun tak berkecil hati kalau ada yang kata suara saya tak sedap. Saya terima kritikan itu dengan hati yang terbuka.

“Lagipun saya tahu, lagu itu memang sudah sinonim dengan Yassin, jadi mungkin ada yang tak boleh terima bila saya pula yang menyanyikannya,” katanya yang sehingga hari ini belum mahu terlalu serius ke bidang nyanyian. “Buat masa sekarang saya mahu beri sepenuh tumpuan kepada lakonan.

“Saya senang dengan karier sekarang dan tidak bercadang untuk aktif menyanyi kerana tidak mahu tumpuan terganggu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: