Monday, April 18, 2011

Terasa seperti juara


Pelancaran Chevrolet Cruze di Rayong Thailand.


DIBERI peluang menaiki kereta juara Kejohanan Jelajah Kereta Dunia (WTCC) 2010, sememangnya sesuatu yang tidak pernah terlintas di fikiran apatah lagi yang memandu disebelah pula adalah juara dunia.

Pengalaman berkereta bersama-sama Yvan Muller, 41, juara WTCC 2010 yang memandu Chevrolet Cruze 2.0 di seluruh musim lalu, amat mengkagumkan dan memberikan pengalaman berharga buat penulis.

Walaupun sekadar mengelilingi dua pusingan di Litar Perlumbaan Bira, Pattaya, Thailand, baru-baru ini, gaya pemanduan oleh juara bertahan WTCC ini cukup tenang ketika menukar gear dan mengambil selekoh dengan kelajuan tinggi, sehingga penulis sendiri tidak berasa gugup.

Malah, lebih seronok apabila dapat merasakan tekanan graviti yang kuat apabila badan melekat pada tempat duduk terutama ketika memecut dan mengambil selekoh tajam.

Mungkin pengalaman selama 22 tahun dalam sukan permotoran menjadikan Muller yang berasal daripada Altkirch, Perancis, lebih matang dalam bidang berkenaan.

Kesemua wakil media yang diterbangkan khas dari Malaysia, Jepun, Filipina, Indonesia dan Thailand diberi peluang untuk duduk di sebelah juara itu.

Selain itu, wakil media juga dijemput oleh General Motors Thailand untuk menyaksikan lebih dekat keluaran jentera perlumbaannya yang diasaskan kepada kenderaan sedan iaitu Chevrolet Cruz.

Ketika ditanya tentang jentera lumbanya, Muller mengakui bahawa beliau begitu kagum dengan Cruze dan menyifatkannya sangat sesuai dengannya, sambil menyatakan bahawa WTCC 2011 ini akan menggunakan enjin baharu 1.6 liter berkuasa turbo.

Jentera itu dijanakan enjin terbaru empat silinder, sesaran 1.6 liter dengan pengecas turbo yang berkeupayaan menghasilkan 310 kuasa kuda (hp) dan turut dipadankan transmisi jujukan enam kelajuan.

Berat 1,150 kilogram itu mampu menstabilkan kenderaan tersebut untuk memecut sehingga 268 kilometer sejam.

Bagaimanapun, bentuknya lebih besar sedikit berbanding model asal dengan struktur yang diperkuatkan serta diterapkan rekaan aerodinamik.

Muller berkata, bimbingan dan kerjasama berpasukan adalah faktor penting untuk memenangi kejuaraan itu walaupun baru setahun beliau menyertai pasukan Chevrolet Cruze WTCC.

"Untuk mengekalkan kejuaraan tahun ini, saya perlu bersikap tidak yakin kerana ia akan membantu supaya tidak melakukan kesilapan dalam pertandingan," katanya.

Beliau mula berjinak-jinak dengan sukan permotoran sejak berumur 19 tahun dalam Formula Renault dan Formula Tiga Perancis sebelum beralih arah kepada perlumbaan jelajah selepas enam tahun kemudian.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: